NUFFNANG

Khamis, Mac 24, 2011

Punca rasa gatal

Kira-kira 42 peratus daripada pesakit yang menjalani dialisis buah pinggang akan menderita masalah gatal kronik berikutan kerosakan fungsi ginjal.


KAJIAN mendedahkan apabila seseorang menggaru, tahap emosi dan memori negatif mereka berkurangan.


DIANGGARKAN sekitar sembilan peratus daripada populasi dunia menggaru atau mengalami kegatalan kulit pada sebarang masa. Golongan wanita dikatakan lebih cenderung menggaru berbanding lelaki. Malah, ada ketikanya kanak-kanak juga tidak dapat menahan rasa gatal dan terpaksa menggaru.

Para saintis percaya tindakan menggaru terbentuk menerusi evolusi sebagai satu bentuk tindak balas tubuh bertahap rendah untuk melindungi tuan empunya badan. Ini bagi 'mengingatkan' badan terhadap sebarang ancaman kecil seperti kehadiran kutu atau hama.
Dengan menggalakkan mekanisme menggaru, manusia mahupun haiwan dapat menyingkirkan sebarang ancaman daripada serangga. Namun, dewasa ini, kita semua faham kegatalan kulit adalah lebih rumit daripada jangkaan.
Jenis gatal
Secara umumnya, terdapat tiga jenis kegatalan kulit. Jenis yang pertama berasal daripada persisian sistem saraf. Kegatalan jenis inilah yang mengakibatkan tindakan menggaru apabila kita berbaring di atas padang atau kawasan berumput.
Agen-agen penyebab alahan seperti debunga akan merangsang tindak balas yang dipindahkan menerusi saraf bernama C Fibres, sekali gus mengakibatkan tindak balas kegatalan beradang. Kegatalan seperti itu boleh dirawat menggunakan antihistamin.
Malangnya, bagi jenis kegatalan yang berpunca dari bahagian tengah sistem saraf, mampu mengakibatkan kerosakan saraf dan kesan psikologi yang lebih serius. Kegatalan yang dikenali sebagaipruritus dalam bahasa saintifik bermakna iritasi sedikit.
Iritasi tahap serius akan menjadi satu masalah kronik yang akan melemahkan semangat kerana melibatkan lebih daripada 50 jenis penyakit berbeza. Penyakit-penyakit ini termasuklah daripada ekzema sehinggalah kanser.
Kira-kira 42 peratus daripada pesakit yang menjalani dialisis buah pinggang akan menderita masalah gatal kronik berikutan kerosakan fungsi ginjal. Malah, sekitar 17 peratus daripada pesakit ini berkemungkinan mati akibat kekurangan tidur hasil daripada kegatalan berterusan.
Biarpun dengan kadar kelaziman masalah kegatalan yang agak ketara, tidak banyak yang diketahui tentang puncanya sehinggalah tahun 1990-an.
Penemuan
Satu kajian terbaru yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Kesakitan di Universiti Washington, St. Louis, Amerika Syarikat (AS), menemui maklumat penting tentang punca berlakunya kegatalan. Penemuan ini dianggap signifikan kerana ia membantu membawa para saintis mendekati aspek rawatan yang boleh diambil.

AGEN-AGEN penyebab alahan seperti debunga boleh mengakibatkan tindak balas kegatalan.


Sebelum ini, kegatalan hanya dianggap oleh para saintis sebagai satu tindak balas kesakitan yang tidak serius. Kini, kesakitan dipercayai 'senjata' yang boleh menghentikan rasa gatal sekali gus menjadi sebahagian daripada sebab mengapa kita menggaru.
Namun, pada tahun 2007, kumpulan penyelidik tersebut berjaya mengenal pasti sejenis gen gatal yang dinamakan GRPR. GRPR akan menghantarkan sensasi kegatalan dan bukannya kesakitan daripada tali pintal tulang belakang kepada otak.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, kumpulan penyelidik ini telah menyuntik sejenis toksin ke dalam tali pintal tulang belakang tikus-tikus makmal bagi membunuh sel-sel, tempat gen GRPR aktif, sekali gus menyingkirkan tindak balas menggaru.
Hasilnya mendapati, tikus-tikus makmal tersebut memberi reaksi normal apabila berlaku kesakitan. Ini membuktikan rasa gatal dan amaran kesakitan bukan berhubung kait tetapi merupakan sensasi tubuh yang berbeza.
Tindak balas
"Kajian ini adalah yang paling komprehensif dan menyakinkan kita bahawa rasa gatal dan kesakitan sememangnya tindak balas sensasi berbeza. Oleh kerana kita telah mengenal pasti sesetengah jenis neuron yang memindahkan rasa gatal, maka, kita boleh menyasarkan rawatan yang bersesuaian mengikut ubatan tertentu sekali gus membuka peluang untuk mencari rawatannya," kata Dr. Zhou-Feng Chen, ketua penyelidik.

KEGATALAN kulit adalah sesuatu yang rumit daripada apa yang dijangkakan.


Profesor John Hawk dari Persatuan Pakar-pakar Dermatologi Britain berkata, rawatan untuk kegatalan akan menjadi 'satu kemajuan yang sangat luar biasa dalam bidang dermatologi.' Jelasnya, rasa gatal yang boleh menjurus kepada masalah besar dalam gangguan kulit ini sepatutnya sangat mudah untuk dirawat.


Kenyataan ini benar. Lebih-lebih lagi untuk masalah seperti ekzema yang dialami oleh sekitar enam juta penduduk Britain.
Kulit hancur
"Menggaru akan menebal atau menghancurkan kulit. Ia menyukarkan lagi krim menyerap dan menyebabkan kawasan yang digaru terdedah kepada jangkitan, sekali gus membuatkan rawatan bertambah sukar.
"Jika ada rawatan untuk kegatalan, ini bermakna meskipun sesuatu gangguan kulit itu mungkin tidak dapat dirawat, sekurang-kurangnya simptom-simptomnya yang paling berbahaya boleh dielakkan," jelas Dr. Hawak.
Sementara itu, seorang pakar dalam kesakitan neuropatik dari Universiti Sheffield, Dr. David Andrew berkata, biarpun kajian tersebut memberikan berita kemajuan yang memberangsangkan, pihaknya telah mengetahui kesakitan serta rasa gatal adalah dua perkara berbeza.
"Kesan morfin menunjukkan bukti yang sangat jelas bahawa rasa gatal dan kesakitan adalah berbeza. Fentanyl telah diberikan kepada golongan wanita untuk melegakan rasa sakit ketika bersalin dan ia sangat berkesan. Tetapi, ia juga boleh mengakibatkan rasa gatal yang kronik. Ini menunjukkan bahawa ia adalah dua jenis sensasi berbeza," jelasnya.
Biarpun benar para saintis masih gagal memahami kegatalan, sekurang-kurangnya mereka tahu mengapa kita tidak dapat menahan untuk menggaru.
Golongan pakar dari Universiti Wake Forest di Carolina Utara, pula memantau perubahan yang berlaku pada aktiviti otak 13 peserta kajian sepanjang tempoh mereka menggaru. Mereka mendapati apabila menggaru, tahap emosi dan memori negatif seseorang berkurangan.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: