NUFFNANG

Ahad, Mei 29, 2011

India kurang tandas



PEMANDANGAN orang ramai membuang air kecil di tempat awam adalah sesuatu yang biasa di Mumbai, India.


TIADA sesiapa yang boleh mengatakan Radha Jagarya seorang insan yang bertuah. Janda berusia 45 tahun yang mempunyai empat orang anak itu tinggal di kaki lima sebuah pasar di bahagian selatan luar bandar Mumbai. Dia menyara keluarganya dengan menjual bunga kepada penunggang motosikal yang lalu-lalang.

Tetapi, dari segi kemudahan tandas, keluarga itu patut bersyukur kerana disediakan fasiliti yang baik berbanding di tempat lain. Terdapat tandas-tandas mencukupi yang terletak lima minit dari konsultan Amerika Syarikat (AS) dan terdapat sebuah lagi di bawah jalan yang sibuk.
Sedangkan, di kawasan setinggan seperti di Mumbai yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai, purata 81 orang bergantung kepada sebuah tandas. Di sesetengah kawasan lain, bilangan itu boleh mencecah kepada 273 orang. Kiraan yang paling rendah adalah dalam lingkungan 58 orang, lapor sebuah majlis perbandaran.
Pada hari-hari biasa, jangan terkejut sekiranya anda terserempak dengan orang awam yang membuang air kecil di tepi jalan raya, landasan kereta api mahupun di pantai.
Perbuatan itu dilakukan secara terbuka biarpun Mumbai terkenal sebagai penggerak ekonomi India dan tempat kediaman kepada sebahagian besar golongan berada. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan bahawa 600 juta atau 55 peratus daripada warga India melakukan perkara tersebut di luar rumah.
Lebih menyedihkan ialah kejadian yang tidak bermoral itu masih berterusan walaupun telah dibangkitkan pertama kali lebih 60 tahun yang lalu oleh pejuang keamanan, Mahatma Gandhi demi mempraktikkan amalan pembuangan najis secara betul.
Risiko penyakit
Jack Sim melihat perkara itu dengan serius. Sebagai Pengasas dan Presiden Organisasi Tandas Sedunia (WTO), beliau menyatakan hasrat murninya untuk menambah baik kemudahan sanitasi di seluruh pelosok dunia.
Baginya, India perlu memperbaiki perkara itu bukan sahaja kerana ia menyebabkan impak ke atas penyebaran penyakit tetapi ia turut mencemarkan nama negara. Antara penyakit yang membimbangkan ialah cirit-birit kerana menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), seramai 1,000 kanak-kanak India di bawah umur lima tahun mati setiap hari disebabkan penyakit itu.
Sim yang mempromosikan Hari Tandas Sedunia pada 19 November yang lalu turut mempersoalkan sama ada pihak majlis perbandaran melakukan usaha dan tindakan yang setimpal bagi menyediakan kemudahan tandas yang mencukupi menjelang Sukan Komanwel 2010. Ia bakal menarik puluhan ribuan pengunjung dari seluruh dunia.
"Jika anda tidak mempunyai tandas yang bersih, mereka pasti tidak mahu datang dan melawat tempat-tempat yang cantik," katanya
Masalah itu dialami di hampir semua bandar di mana ia mengganggu pembangunan rumah, sistem air dan perkhidmatan lain. Semuanya kerana permintaannya melebihi bekalan. Populasi India juga semakin bertambah secara mendadak. Pada Mac lalu, pihak perbandaran mendapati terdapat 77,526 orang tinggal di kawasan rumah setinggan dan mereka masih memerlukan sebanyak 64,157 tandas baru. Kerja-kerja penambahan hanya tertumpu kepada 6,050 tandas.
Berdasarkan kepada laporan Pembangunan Manusia Mumbai PBB 2009 yang disiarkan pada awal bulan ini, kebanyakan tandas yang sedia ada tidak mempunyai air, bekalan elektrik atau sistem perparitan yang baik.
Ini menjadikan tempat itu tidak bersih dan tidak boleh digunakan. Paling memalukan ialah kaum wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa tunggu sehingga malam sebelum boleh menggunakannya. Ini secara tidak langsung menambah risiko jangkitan kuman, keganasan dan gigitan ular.

KAWASAN setinggan di Mumbai mempunyai bilangan penduduk yang ramai dengan purata 81 orang bergantung pada sebuah tandas.


Kerugian
Kemudahan tandas yang tidak sempurna dan penyebaran penyakit telah menyebabkan ekonomi India menanggung kerugian sehingga AS$255 juta dolar (RM876 juta) setahun. Sim yang berpendapat bahawa kebersihan tandas dan pembangunan sosial saling berkait rapat antara satu sama lain mahu isu itu dimasukkan ke dalam agenda politik.
"Pengalaman menggunakan tandas harus meninggalkan kesan yang baik, selamat, bersih dan tidak membuatkan seseorang rasa loya," kata Sim.
Sementara itu, pembabitan sektor swasta boleh mengurangkan pergantungan kepada kerajaan.
Di Haryana, utara India, sebuah kempen 'Tidak Ada Tandas, Tidak Ada Isteri' berjaya menarik perhatian wanita untuk mencari pasangan hidup yang menyediakan sebuah rumah dengan tandas.
"Semua masalah ialah satu perniagaan. Mereka yang sihat sejahtera boleh menyumbang kepada produktiviti negara, keluar daripada kancah kemiskinan, menaikkan status kehidupan dan mencari pendapatan yang lebih tinggi.
"Perniagaan bagi saya merupakan cara paling pantas dan murah. Sektor swasta boleh tampil dengan idea-idea inovasi menarik. Biarkan mereka bersaing untuk membantu rakyat miskin," katanya. - AFP

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ya, memang tak hairan. sebulan saya kat sana hari2 saya tgk org kencing kat tepi2 jln (highway)

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: