NUFFNANG

Sabtu, Mei 28, 2011

Seram Sarang penunggu



TERDAPAT beberapa kejadian histeria yang dikaitkan dengan makhluk halus yang menghuni pokok. - Gambar hiasan



POHON rendang di lokasi terpencil di kawasan tempat letak kereta Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu sudah lama dikaitkan dengan kisah seram. Keadaannya yang seperti ‘tidak boleh diusik’ membuatkan ada yang bertanggapan ia berpenunggu.

Ramai yang sekadar menyedapkan hati dengan membisu sehinggalah, baru-baru ini apabila tapak di kawasan itu hendak dibangunkan untuk satu projek baru.
Dua orang pekerja yang bertugas menebang pokok itu dikatakan ditimpa malapetaka. Yang seorang telah menemui ajal dan seorang lagi lebam-lebam di seluruh tubuh.
Kejadian kemalangan di tapak projek pembinaan bukanlah suatu yang asing.
Selain dilihat daripada perspektif teknikal seperti kecuaian atau penggunaan peralatan yang tidak berkualiti, tidak kurang yang mengaitkannya dengan perkara paranormal seperti gangguan makhluk halus.
Gangguan yang melibatkan tapak pembinaan juga pernah terjadi di kawasan sebuah sekolah menengah di Kuantan, Pahang, dua tahun lalu.
Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Tanjung Lumpur diserang histeria secara berterusan dan berulang sehingga ada yang terpaksa dipindahkan ke sekolah lain malah sekolah itu terpaksa ditutup sementara.
Ganjil
Salah seorang bapa kepada pelajar yang menjadi mangsa histeria itu berpendapat kejadian aneh tersebut berpunca daripada tindakan pihak sekolah merata dan membersihkan kawasan sekolah untuk membina bangunan makmal tiga tingkat di sebelah bangunan sekolah sedia ada.
Kejadian aneh juga banyak dikaitkan dengan tapak-tapak projek yang merupakan bekas hutan.
Pada tahun 1980-an, dua batang pokok besar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pernah dikaitkan sebagai punca gangguan histeria dan fenomena rasuk di kalangan pelajar dan pekerjanya.
Kontraktor pun tidak berani tebang walaupun diberikan ganjaran tiga kali ganda. Namun, dengan bantuan Datuk Dr. Haron Din akhirnya pokok tersebut dapat ditebang dan dibakar.
Haron memberi kenyataan pada sebuah akhbar pada tahun 2007 bahawa memang benar ada keganjilan pada pokok itu kerana ia tidak tumbang pada mulanya walaupun nampak hampir putus.
Di India, pada tahun yang sama, kecoh apabila panik melanda sebuah perkampungan di Orissa, Khurda apabila sebatang pokok dikatakan berhantu dan tidak boleh dimusnahkan.
Siapa sahaja yang cuba untuk menebangnya akan mati. Sebanyak tujuh orang dilaporkan mati di tangan ‘pokok pembunuh’ itu. Seluruh penduduk kampung takut mendekati pokok tersebut terutamanya ketika senja.
Seorang kakak kepada pemuda yang terbunuh memberitahu, selepas cuba menebang pokok itu, adiknya batuk berdarah dan melihat seekor kucing putih yang menyeramkan di pokok itu.
Pengamal perubatan Darussyifa’ yang enggan dikenali berkata, jin atau makhluk halus sebenarnya bukan sahaja mendiami pokok, sebaliknya ada di mana-mana sahaja termasuk di dalam bangunan dan di atas jalan raya.
Ini kerana bilangan jin adalah lebih ramai daripada manusia pada nisbah seorang manusia bersamaan 10 jin.


KEMALANGAN atau insiden buruk yang berlaku di tapak projek mungkin mempunyai kaitan dengan makhluk halus yang marah 'rumahnya' diceroboh.




Pemujaan
Namun katanya, pokok atau hutan, lombong dan paya merupakan antara tempat yang digemarinya. Di kawasan bandar, pokok yang digemarinya untuk ‘bersarang’ ialah pokok yang rendang dan terpencil atau pokok tunggal yang kawasan sekitarnya telah dibangunkan.
Ditanya mengapa pokok disukai makhluk halus, salah satu puncanya adalah kerana amalan sekelompok manusia dahulukala yang menyembah pokok, sekali gus membuatkan makhluk halus itu sehingga ke hari ini suka mendampingi pokok.
“Tempat-tempat pemujaan memang biasa dikaitkan dengan perkara seperti ini, bukan sahaja pokok, tetapi juga kubur dan sebagainya,” ujarnya ketika dihubungi Jurnal.
Berpengalaman selama 10 tahun dalam rawatan gangguan makhluk halus, beliau berkata, memang terdapat banyak kejadian malapetaka seperti kematian dan kemalangan akibat membangunkan sesuatu projek pembangunan.
“Ia boleh jadi kebetulan, tetapi tidak mustahil disebabkan kemarahan makhluk halus yang menghuni kawasan itu. Ia berasa dirinya diganggu.
Kemalangan
“Dalam dunia ini, manusia pun ada yang samseng, jin pun macam itu juga. Kalau ganggu jin yang samseng memang dia boleh ‘balun’ terus,” katanya sambil memberitahu jin tidak akan menunjukkan rupa sebenarnya melainkan secara jelmaan.
Oleh itu, beliau menyarankan sebaik-baiknya, sebelum sesuatu projek hendak dibangunkan, ambillah langkah-langkah perlindungan dan halau mereka secara lebih beradab.
Jangan terus dimusnahkan tempat mereka begitu sahaja. Membaca surah Yaasin mungkin boleh menjadi amaran kepada mereka supaya berpindah.
“Tetapi bukan mudah untuk menghalau jin atau iblis. Sedangkan hendak mengarahkan manusia berpindah misalnya dari rumah setinggan pun susah, inikan pula untuk menghalau makhluk yang lebih angkuh daripada manusia. Semua orang pasti tahu tentang peristiwa keangkuhan iblis bersujud kepada Adam,” katanya.
Ditanya bagaimana untuk kita ketahui sama ada sesuatu tempat itu dihuni makhluk halus, beliau berkata ia mungkin dapat dilihat dengan berlaku gangguan-gangguan seperti histeria, kehidupan yang tidak tenteram, selalu berlaku kemalangan atau pertengkaran.
Sementara itu, pegawai kastam di Pangkalan Marin Kastam di Tanjung Puteri, Syed Idid, 57 menceritakan, beliau telah mendengar bermacam-macam cerita pelik ketika projek pembinaan kompleks kastam di Tanjung Puteri, Johor dilaksanakan.
“Orang cakap ada kawasan berhampiran pokok besar itu tidak boleh dibangunkan. Diceritakan, jentolak terbalik ketika hendak meratakan kawasan itu,” ujarnya.
Arkitek Azman Md. Nor, 56, mempunyai pengalaman bekerja selama 24 tahun dengan Jabatan Kerja Raya. Kini menerajui Arkitek Azman Zainal, beliau tidak menolak kewujudan entiti asing dalam lapangan yang diceburi.
“Dalam banyak projek pembinaan, sudah beberapa kali juga saya berdepan dengan kemalangan di lokasi pembinaan. Ada yang sehingga mengakibatkan kematian.
“Tetapi yang paling kerap berlaku ialah pertelagahan antara pihak-pihak yang terlibat berikutan timbulnya masalah komunikasi,” ujarnya.
Kerana sudah begitu lazim dengan keadaan itu, Azman melabelnya sebagai pendekatan makhluk halus melaga-lagakan manusia.

2 ulasan:

Hazwan berkata...

dulu kt skolah dlu cmtu gk..lepas satu pokok kene tebang..hmpir smua pmpuan kena histeria

namialus67 berkata...

Kata orang2 tua,kalau kita hendak tebang pokok yang besar depan rumah ke,atau belakang rumah kita ke,kena paku dulu pokok tu pakai paku besar dalam-dalam.Esok pagi kalau paku tu ada kesan di cabut,atau tercabut bermakna pokok tersebut ada penunggu.Kena panggil orang yang pandai untuk tebang pokok tersebut....Jangan tebang sesuka hati.

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: