Nuffnang Ads

Selasa, Mei 17, 2011

Taktik si penarik kereta






BAGI pengendali trak penunda swasta, kemalangan jalan raya adalah rezeki. Sama ada kehadiran mereka diundang atau tidak di lokasi kejadian, kedatangan mereka dapat membantu menyelesaikan runsing di hati pemilik kenderaan yang rosak.

Malangnya, tidak semua pemandu mempunyai pendapat yang sama. Malah, ramai yang menggelar penyedia perkhidmatan trak penunda atau turut dikenali sebagai callman itu 'cekik darah' kerana mengenakan caj melampau.
Justeru, ada yang sanggup menunggu lama di tepi jalan, menanti bantuan daripada ahli keluarga atau rakan bagi mengelak ditipu.
Bagi pemilik bengkel yang turut menyediakan perkhidmatan trak penunda, Aw Yong Sin Cheah, 34, dia sudah lali dengan tanggapan buruk itu.
"Label itu sudah lama melekat dan susah untuk dibuang daripada semua pemilik kenderaan.
"Mereka hanya percaya kepada syarikat penunda yang besar seperti AAM.
"Realitinya, tidak semua pengendali trak penunda cekik darah dan mengenakan bayaran yang tidak masuk akal.
Senyap-senyap
"Sebaliknya, kami menawarkan bantuan daripada menunda kenderaan ke bengkel, membuat laporan polis, tuntutan insurans dan membaiki kenderaan pada harga yang munasabah.
"Malah, jika kenderaan tersebut memiliki perlindungan insurans, pemilik tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran," katanya yang pernah 'nakal' satu masa dahulu.
Sebelum memiliki perniagaan sendiri lapan tahun lalu, berbagai pekerjaan dilakukan Sin Cheah termasuk menjadi geng penarik kereta.
"Taktik mengambil kereta secara senyap memang kepakaran saya.
"Ada masanya mudah saja untuk menemui kereta yang dikehendaki pihak bank. Tapi ada juga kereta yang disorok hingga ke kawasan pedalaman.
"Pemilik juga ada banyak taktik bagi mengelak kenderaan mereka ditarik, antaranya menukar nombor plat.
"Jika bernasib baik, mungkin mereka terlepas. Tetapi banyak kali saya buat kerja secara senyap-senyap. Apabila kereta telah dikenal pasti, saya semak dengan pihak bank.


MASIH ramai pengendali trak penunda yang ikhlas membantu. – Gambar hiasan




"Jika betul, saya akan perhati keadaan sekeliling dan jika line clear, saya akan buka bonet depan kereta terbabit untuk melihat nombor casisnya.
"Andai sama dengan yang diberikan pihak bank, saya akan terus tarik kereta itu walaupun nombor platnya sudah ditukar dan tuannya tiada," ceritanya.
Selain sering bertekak dengan pemilik kereta, Sin Cheah juga tidak lepas daripada adegan pujuk rayu yang cukup melemaskannya.
"Pernah saya hendak tarik kereta, pemilik merayu agar kereta mereka ditarik minggu depan kerana isterinya sudah menunggu hari untuk bersalin.
"Mulanya saya bertegas untuk menarik sahaja kereta tersebut. Sedang suaminya sibuk merayu, isterinya yang berada di dalam rumah benar-benar sakit untuk melahirkan anak.
"Dalam keadaan suaminya yang panik, saya yang tidak sampai hati terus mempelawa untuk menghantar mereka ke hospital.
"Ketika dalam perjalanan, keadaan lalu-lintas sesak dari Jalan Kuching menghala ke Hospital Kuala Lumpur memaksa si isteri bersalin di dalam kereta saya.
Callman
"Peristiwa itu memang saya tidak boleh lupakan. Menurut kepercayaan orang Cina, bersalin dalam kenderaan akan membawa tuah kepada pemiliknya.
"Saya masih gunakan kereta itu sampai sekarang dan ia jarang meragam," katanya yang menolak dakwaan semua penarik kereta adalah gengster.
Demi mendapatkan hidup yang lebih baik, Sin Cheah membuat keputusan untuk berhenti menjadi penarik kereta dan bekerja dengan sebuah bengkel kereta.
Kini, dia sudah memiliki bengkel sendiri dan mengendalikan trak penunda di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Cerita Sin Cheah, sepanjang mengendalikan trak penunda, dia sudah banyak kali terserempak dengan kemalangan ngeri.
Namun, antara yang paling diingatinya ialah kemalangan yang melibatkan seorang pemandu mabuk.
"Pada masa itu saya sedang memandu lori. Tiba-tiba sebuah kereta Mercedes di laluan bertentangan hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan saya.
"Mujur saya berada kira-kira 20 meter di belakang, jadi saya sempat menekan brek.
"Kereta yang dinaiki pasangan Cina itu remuk teruk. Sebahagian cermin hadapannya pecah manakala kepala pemandu lelaki itu tersembul daripada kereta.

SESETENGAH callman memang berlagak samseng. – Gambar hiasan



"Selepas keadaan tenang, saya dekati kereta itu untuk melihat sekiranya ada mangsa yang selamat.
"Namun tidak semena-mena, sebahagian cermin hadapan kereta yang masih melekat tertanggal dan terjatuh ke atas leher si pemandu.
"Apa yang saya ingat sampai sekarang, serpihan cermin yang besar itu telah memenggal kepala pemandu tadi hingga kepalanya jatuh tergolek di atas jalan," katanya yang demam selama beberapa hari selepas kejadian itu.
Dalam perbualannya bersama Jurnal baru-baru ini, Sin Cheah sempat memberitahu bahawa tidak semua penarik kereta atau pemandu trak penunda itu gengster.
"Masih ada yang ikhlas membantu walaupun ramai yang cuba mengambil kesempatan.
"Pesanan saya, jika berlaku kemalangan, perkara yang paling utama perlu dilakukan ialah membuat laporan polis seberapa segera yang mungkin.
"Sekiranya kereta masih boleh berfungsi, terus pandu ke balai polis berhampiran.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


1 ulasan:

EX-callman Highway yongpeng-Pagoh berkata...

bila kemalangan, callman yang sampai dulu dari polis,bomba, ambulan pon callman yang call.. selalunya, callman yang hantar mangsa kemalangan ke klinik..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: