Nuffnang Ads

Jumaat, Julai 15, 2011

Kenapa ramai warga Israel jadi penjual senjata haram?

GAMBAR menunjukkan anggota-anggota sebuah kumpulan militan Islam berbaris dengan memegang senjata api di sebuah kem latihan di Mogadishu, Somalia pada 23 Jun lalu.
BAITULMUQADDIS – Tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menangkap seorang rakyat Israel kerana menjual senjata ke Somalia di Afrika menimbulkan banyak persoalan dan memerlukan jawapan, lapor sebuah akhbar http://www.haaretz.com di negara Yahudi itu semalam.

Menurut akhbar itu, sekurang-kurangnya tujuh penjual senjata haram Israel kini dipenjarakan di empat buah negara iaitu AS, Rusia, Perancis dan Britain berhubung dakwaan menjual senjata api secara haram.
Sebahagian mereka menjadi suspek dalam jenayah seperti pemalsuan, rasuah, penggubahan wang haram dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Warga-warga Israel yang ditangkap itu mendapat liputan di negara Yahudi tetapi kemudian dilupakan. Namun, ia memberi kesan yang menjejaskan imej Israel.
Walaupun terdapat keraguan sama ada mereka yang dipenjarakan itu saling mengenali antara satu sama lain, penjual senjata haram tersebut mempunyai banyak persamaan.
Kesemua mereka yang ditangkap itu berumur dalam lingkungan 50-an dan 60-an.
Para penjual senjata haram itu juga membuat banyak keuntungan dalam penjualan senjata di peringkat antarabangsa atau mengeksport perkhidmatan keselamatan dan peralatan dari Israel.
Mereka juga pernah berkhidmat dengan Pasukan Pertahanan Israel dan menjawat pangkat dari Kapten hingga Leftenan Kolonel dan apabila ditahan, kesemuanya menafikan semua dakwaan menjual senjata.
Ketujuh-tujuh mereka merupakan orang yang dikenali dalam perkhidmatan pertahanan dan pada satu ketika pernah menerima permit penjualan senjata daripada Kementerian Pertahanan.
Semua mereka turut melanggar undang-undang antarabangsa dan tempatan.
Seorang daripada mereka, Shimon Naor-Hershkowitz kini ditahan di Perancis dan diekstradisi ke Romania yang akan menyebabkannya dipenjarakan 11 tahun.
Dia disabitkan kesalahan memalsukan beberapa dokumen yang kemudian digunakan untuk membeli senjata Romania bersama dengan seorang rakyat Romania.
Senjata-senjata yang diuruskannya itu kononnya akan dihantar ke Togo tetapi realitinya ia dihantar kepada pemberontak-pemberontak di Angola.
Seorang lagi rakyat Israel, Yair Klein telah ditahan di sebuah penjara di Rusia selepas ditangkap di negara tersebut atas perintah pihak berkuasa Colombia yang mahukannya berhubung dakwaan melatih pengawal-pengawal peribadi raja-raja dadah.
Dia yang berumur hampir 70 tahun pernah dipenjarakan di Sierra Leone.
Di sebuah penjara Britain, seorang warga Israel, Gideon Sarig yang berumur 58 tahun telah dihukum penjara tujuh tahun kerana menjual senjata dan peralatan ketenteraan lain kepada beberapa kumpulan pemberontak di Venezuela, Peru, Senegal, Nigeria, Gabon dan Sri Lanka.
Pada Januari lalu, seorang lagi warga Israel, Ofer Pazaf yang juga Presiden Kfar Saza iaitu sebuah syarikat yang yang digambarkan sebagai perunding keselamatan dan industri pertahanan telah ditangkap di Las Vegas, AS.
Turut ditangkap bersamanya ialah dua lagi rakyat Israel yang telah tinggal di AS selama bertahun-tahun lamanya iaitu seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat di San Francisco yang mengeluarkan peralatan keselamatan, Yohanan Cohen berumur 47 tahun dan Presiden sebuah syarikat di Miami, AS yang menjadi perantara untuk syarikat pertahanan, Haim Gary berusia 50 tahun.
Ketiga-tiga mereka ditangkap dalam satu operasi yang dilakukan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Salah seorang ejen FBI itu menyamar sebagai seorang wakil Menteri Pertahanan dari sebuah negara di Afrika dan berlagak seperti mahu membeli senjata dengan melibatkan rasuah.
Rasuah dalam penjualan senjata itu dikenali sebagai komisen.
Warga Israel terakhir yang berada di dalam penjara ialah Hanoch Miller yang berumur 53 tahun. Dia ditangkap beberapa hari lalu di AS.
Bersama dengannya ialah seorang bekas pegawai tentera udara AS yang sudah bersara, Joseph O'Toole. Hanoch Miller didakwa cuba untuk mendapatkan dan menjual ribuan senjata api AK-47 kepada kumpulan yang dikenali sebagai kerajaan Tanah Somali.
Kumpulan itu merupakan pejuang pemisah di utara Somalia.
Senjata-senjata itu telah dibeli di AS dan kemudian dihantar dengan menggunakan pesawat kargo ke Panama dan Bosnia sebelum dihantar ke Somalia.
Namun, rancangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana pihak ketiga yang sepatutnya membeli senjata api tersebut untuk Miller dan O’Toole sebenarnya ialah seorang pemberi maklumat untuk pihak kastam.
Menurut beberapa sumber Eropah yang melibatkan kakitangan keselamatan dan insurans di Somalia yang biasa dengan kawasan di negara itu memberitahu akhbar tersebut bahawa kisah penghantaran senjata berkenaan tidak masuk akal.
Menurut mereka, pihak berkuasa AS mungkin menyembunyikan cerita yang sebenar.
Sebagai contoh, pendakwaan terhadap mereka itu menyatakan bahawa senjata api tersebut akan dihantar ke sebuah bandar yang bernama Bandera di utara Somalia.
Namun, berdasarkan peta di Somalia, nama bandar itu sebenarnya direka-reka. Tidak ada bandar Bandera di Somalia.
Menurut dokumen penghantaran kapal, kargo senjata tersebut untuk Kementerian Pertahanan Republik Somalia.
Namun, kumpulan pemisah yang dikenali sebagai Tanah Somali itu tidak pernah menggelarkan kumpulan mereka sebagai Republik Somalia.
Sejak satu rampasan kuasa tentera berlaku pada 1969, nama Somalia dirujuk sebagai Republik Demokratik Somalia.
Lebih tidak masuk akal ialah, kenapakah kerajaan Tanah Somali perlu mengupah perkhidmatan warga Israel, Hanoch Miller untuk mendapatkan senjata api sedangkan ia boleh memperoleh senjata yang diperlukan dari AS atau Habsyah yang menyokong perjuangan kumpulan berkenaan.
Terdapat beberapa kemungkinan jawapan.
Jawapan pertama ialah Hanoch Miller yang memulakan urusan penjualan senjata itu mungkin berhasrat untuk membekalkan senjata kepada salah sebuah kumpulan bersenjata yang beroperasi di Somalia.
Namun, dia mungkin bermuslihat untuk melakukannya.
Somalia seperti yang diketahui ialah tempat wujudnya banyak kem latihan perjuangan jihad global.
Kemungkinan jawapan kedua yang membimbangkan ialah penghantaran senjata menerusi kapal itu merupakan satu penyamaran bagi membolehkan beberapa pesawat mendarat di Somalia sekali gus memuatkan bersama lain-lain barangan yang mempunyai harga tinggi di Eropah.
Satu-satunya jawapan yang boleh menenteramkan pihak yang mengambil berat mengenai reputasi Israel akan mendapati bahawa pada masa lalu, golongan penjenayah Israel mendapat bantuan daripada pegawai-pegawai kerajaan Israel, menteri-menteri dan bekas pegawai tentera.
Namun, kali ini, disebabkan Israel menyatakan komitmen untuk melaksanakan prinsip-prinsip Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada Mei lalu, penjual-penjual senjata itu kini tidak lagi menjadi kepentingan besar untuk dibantu golongan elit tersebut.
Penjual-penjual senjata haram itu kini terpaksa mendapat bantuan daripada saudara mara dan rakan-rakan berbanding golongan elit tersebut pada masa lalu. – Agensi Link

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: