Nuffnang Ads

Sabtu, Ogos 27, 2011

Menghayati amalan petua

Amalan-amalan dalam Islam turut berperanan sebagai panduan untuk 
mendapatkan pahala dan menambah kebajikan
.


AMALAN dan petua orang dahulu dalam masyarakat mempunyai erti yang sangat simbolik. Umpamanya petua dalam perubatan tradisional dan tumbuhan herba yang memberi khasiat yang sangat penting untuk mengubat sesuatu penyakit atau meredakan simptom.

Antaranya ialah mengunyah daun jambu batu muda boleh merawat sakit perut dan cirit-birit, menggosok daun kapal terbang yang telah ditumbuk- tumbuk untuk merawat luka dan melecet, mengekalkan awet muda dengan meminum jus buah mengkudu dan mencantikkan kulit muka dengan menyapu susu segar selama dua minggu.
Terlalu banyak petua dalam masyarakat kita yang telah dibukukan dan boleh didapati di kedai-kedai buku. Walaupun pelbagai petua ini nampak mudah tetapi ia memberikan makna yang besar ke atassurvival masyarakat dahulu.
Selain daripada petua, masyarakat Melayu mempunyai adab yang membentuk peribadi yang mulia. Contohnya, makanan dan minuman yang diambil akan memberi kesan terhadap pembentukan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak. Salah satu caranya ialah meminta anak-anak menghabiskan makanan atau minuman di dalam bekas ibu atau bapa.
Tidak perlu dibuat selalu, cukup dua kali seminggu supaya hati anak-anak sentiasa melekat pada hati emak dan ayah. Semakin umur meningkat tua, hati anak-anak akan sentiasa kasih dan belas kepada ibu dan ayah.
Selain itu, solat berjemaah juga berfungsi menanam rasa hormat anak-anak kepada ibu bapa. Jika tidak sempat solat lima waktu, cukup dengan solat Maghrib berjemaah.
Peranan 'dapur' dan solat berjemaah sangat besar bagi mendidik ahli keluarga supaya hidup berkeluarga lebih bahagia.
Apabila kita kejar dunia, dunia akan lari. Apabila kita kejar akhirat, dunia akan mengejar kita.
Ketika bercakap, mengapa sesetengah orang begitu kuat suaranya seolah-olah berteriak? Adakah dengan berteriak akan menjadikan mesej lebih bertenaga daripada bersuara perlahan dan memadai untuk menyampaikan mesej?
Suatu hari, seorang guru bertanya kepada murid-muridnya. "Mengapa ketika seseorang sedang dalam keadaan marah, dia akan bercakap dengan suara yang kuat atau berteriak?" Seorang murid mengangkat tangan dan menjawab, "Kerana pada masa itu dia telah hilang sabar, sebab itulah berteriak."
"Tapi..." gurunya bertanya semula. "Rakannya berada di sebelah sahaja. Mengapa dia harus berteriak? Kenapa tidak dapat bersuara dengan lebih perlahan?"
Hampir semua pelajar memberikan jawapan yang dikira munasabah menurut pertimbangan mereka. Tetapi tidak ada satu jawapan yang memuaskan hati guru.
Lalu guru menerangkan: "Ketika dua orang yang sedang berada dalam keadaan marah, jarak antara kedua hati menjadi sangat jauh walaupun secara fizikalnya mereka begitu hampir. Jadi, untuk sampai ke jarak berkenaan, mereka mesti berteriak supaya didengari. Anehnya, semakin kuat dan keras berteriak, mereka menjadi semakin marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara kedua-duanya menjadi lebih jauh. Dan mereka terpaksa berteriak dengan lebih kuat."
Sambil merenung mata para pelajarnya, guru ini menambah:
"Sebaliknya, apa yang terjadi jika dua orang saling cinta mencintai? Mereka tidak pun berteriak tetapi membisikkan suara yang halus, kecil dan mesra. Sehalus manapun, mereka masih lagi mendengar suara masing-masing. Mengapa?"
Para pelajar nampak buntu dengan muka yang penuh tanda tanya. Kelihatan seperti berfikir tetapi tidak berani bersuara memberikan jawapan.
"Kerana hati mereka begitu dekat dan tidak berjarak. Hati mereka begitu hampir sehingga sepatah ucapan pun tidak perlu diluahkan, cukup dengan pandangan mata kerana mereka memahami apa yang ingin disampaikan."
Akhirnya guru membuat kesimpulan.
"Ketika sedang marah, janganlah kamu mencipta jarak hati. Lebih-lebih lagi jangan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan kerana ia melebarkan jarak hati kamu. Mungkin pada masa itu, yang terbaik ialah berdiam diri, duduk atau berbaring kerana waktu akan membantu kamu."
Amalan-amalan dalam Islam turut berperanan sebagai panduan untuk mendapatkan pahala dan menambah kebajikan. Antaranya ialah:
* Masuk ke bilik air dengan memakai alas supaya najis tidak mengotori seluruh rumah.
* Elak makan dan minum dalam bekas yang sumbing atau pecah kerana membahayakan dan makruh.
* Tidak membiarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh bagi mengelak kepapaan. Begitu juga memakai selipar yang berlainan pasangan.
* Tidak tidur selepas solat Subuh kerana pagi-pagi hari membawa rezeki.
* Makan dan minum bermula dengan Bismillah dan doa makan supaya tidak berkongsi dengan syaitan.
* Menjaga pandangan ketika dalam perjalanan supaya hati tidak diselaputi dosa.
* Elakkan mengumpat rakan-rakan supaya persahabatan tetap utuh dan kekal sepanjang hayat.
* Bersedekah kerana sedekah memanjangkan umur dan memurahkan rezeki.
* Sentiasa bertaubat dan ingat mati supaya hati sentiasa bersih dan suci.
Amalan, panduan dan nasihat yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada pada sahabat adalah untuk kemudahan mereka dan bukannya menghalang atau menyusahkan sebagaimana firman Allah yang bermaksud maksud :
"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." - Surah al- Ahzab : 71
Bila mereka tetap memelihara keimanan dan ketakwaan dan selalu mengatakan kebenaran, maka Allah akan memperbaiki amal dan mengampuni dosa-dosa mereka. Siapa yang menginginkan kebahagiaan di dunia dan akhirat, jalan yang harus ditempuh hanyalah satu iaitu dengan mentaati Allah dan Rasul-Nya. Insyaallah, mereka akan mendapatkan kemenangan dan kebahagiaan yang besar kelak. Menghargai petua sahaja tidak memadai untuk kita mengubah tabiat, apa yang penting, kita selalu menghayatinya dan amalkan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: