NUFFNANG

Isnin, Ogos 01, 2011

Sering tersadung

MALU mungkin perkara pertama yang terlintas di benak sesiapa saja yang melihat kaki Shaliza Shah Zulkarib, 38. Malu jugalah yang berkunjung ke dalam pemikiran pemilik tubuh itu ketika pertama kali beliau disahkan menghidap Lymphedema praecox iaitu sejenis penyakit untut.


Berupa luar biasa dengan bonjolan, bengkak dan kulit yang berlipat, kedua-dua belah kaki Shaliza membengkak sehingga menghilangkan bentuk asalnya. Tiada lagi kakinya yang panjang atau betisnya yang bagaikan bunting padi yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu.
Jangankan hendak menyarung seluar jean yang menjadi kegemaran ramai wanita pada hari ini, kain atau skirt yang dipakainya juga perlu ditempah khas kerana saiz kakinya yang tidak menentu bentuknya dan terus membesar itu.
“Mula-mula saya dapat tahu saya menghidap untut, dua bulan saya menangis dan tidak keluar rumah. Saya tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Rasa malu dan kecewa.


“Saya betul-betul terkilan sebab hajat saya hendak tolong keluarga,” ceritanya yang kini mempunyai berat badan 160 kilogram.
“Kami enam beradik, semuanya bersekolah. Ayah kerja kerani di Jabatan Meteorologi. Emak tak kerja. Selepas tamat sekolah menengah, saya cuba nasib di MAS dan pada masa yang sama bercita-cita untuk menyambung pelajaran hingga ke peringkat universiti,” tambah Shaliza.
Sebulan selepas mula bekerja sebagai krew kabin, ibu kepada lapan orang anak ini menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka.
“Perakaunan adalah kursus kegemaran saya. Tapi saya tolak kerana mahu melihat abang dan adik-adik saya habiskan pengajian. Fikir saya, selepas bekerja lima tahun, mungkin dapat sambung belajar semula,” kongsinya.
Belum pun lima tahun bekerja, kaki Shaliza pula membengkak.
MUNGKINKAH Shaliza akan mendapat semula kakinya yang cantik bagaikan bunting keladi itu?


“Jadi cita-cita (untuk sambung belajar) itu sampai di situ saja.
“Nasib baiklah MAS membenarkan saya terus bekerja,” katanya yang sempat menjadi pramugari selama lima tahun sebelum ditugaskan di pejabat pentadbiran bahagian komunikasi Penerbangan Malaysia (MAS).
Berdengkot-dengkot dari dapur ke ruang tamu rumahnya di Kajang, Selangor, sambil mengusung set cawan dan teko berisi milo panas, Shaliza nyata belum hilang semangatnya biarpun sudah berada dalam keadaan ini sejak 19 tahun yang lalu.
“Banyak yang perlu saya fikirkan untuk akhirnya membuat keputusan mahu dibedah sebab kata doktor, selepas saya dibedah, saya akan terlantar di hospital enam bulan sebelum sembuh.
“Kalau tidak beransur baik, kaki saya mungkin akan bengkak semula atau lumpuh sebab urat yang berselerakan atau tersumbat.
“Mungkin juga saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada berbagai jenis ubat bagi mengelakkan kaki kembali membengkak. Saya juga berisiko mengalami pendarahan dalaman,” katanya.
“Lagipun, tidak ada susulan kisah penghidap untut lain yang sebelum ini pernah dikeluarkan media yang mengatakan mereka akan menjalani pembedahan.
PENANTIAN sehingga 19 tahun untuk mendapatkan semula kaki yang normal diharap akan berakhir.


“Malaysia pula, 10 tahun yang lalu, tidak mempunyai pakar seperti di India atau UK yang memang sudah biasa menerima kes seperti ini. Jadi lebih susah untuk saya percaya atau menyerahkan nasib kepada mana-mana pihak,” ujarnya.
Sekarang, anak-anak sudah besar. Sudah boleh menjaga diri sendiri. Sudah boleh berdikari, kata Shaliza. Teknologi perubatan juga sudah semakin canggih.
Dengan sokongan yang diterima keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga dan tidak kurang juga mereka yang pernah senasib dengannya, kini Shaliza lebih tenang memikirkan masa depan anak-anak dan suami.
“Adik saya sudah habis belajar. Mungkin dia boleh tolong tengokkan anak-anak saya nanti. Anak-anak pun sudah boleh jaga diri sendiri. Jadi sekarang masa sudah sesuai,” katanya.
Kos pembedahan dan rawatan susulan untuk kedua-dua kaki Shaliza dianggarkan RM500,000.
Banyak tersenyum ketika berkongsi cerita, ada ketika mengalir juga air mata, terutama ketika berbicara tentang tanggungjawabnya sebagai isteri, ibu dan ahli keluarga.
KAKI kirinya yang semakin lemah menyebabkan Shaliza sering hilang imbangan dan terjatuh.


“Saya pun teringin juga hendak melayan keluarga seperti wanita lain. Bila cukup bulan, teringin nak keluar berjalan-jalan, berpiknik di taman, membeli-belah di gedung beli-belah yang besar-besar itu.
“Tapi dalam keadaan ini, saya menjadi cepat letih. Kalau duduk terlalu lama, ngilu mula terasa di bahagian lutut. Kalau berjalan, tapak dan tumit kaki memanglah tidak terkata sakitnya.
“Pinggang pula lenguh-lenguh,” kongsi Shaliza yang kini hanya berkunjung ke pasar raya hiper dan menunggu anak-anak dan keluarga di mana-mana bangku yang ada sementara mereka mencari barang keperluan masing-masing.
Dalam keadaan sekarang, setiap kali melihat kapal terbang melintas, Shaliza hanya dapat memikirkan rasa ngeri sekiranya pesawat itu jatuh terhempas.
“Dulu sewaktu bekerja, memang saya tidak takut langsung. Tetapi apabila melihat ia dari bawah, itulah yang saya rasa,” ujarnya.
INFO
- Shaliza sudah tidak bertemu dengan doktor pakar sejak lima tahun yang lepas. “Cadangan terakhir yang doktor beri ialah membedah kaki ini. Selain itu memang tidak ada ubat untuk merawat untut. Jadi saya sekadar meneruskan hidup dengan keluarga, kerana ada banyak perkara lagi yang perlu difikirkan,” katanya.
- Suaminya, Safuan Abd. Rahim, 43, pernah bertanya kepada Shaliza, kenapa gaji yang diperoleh tidak digunakan untuk membeli barang kemas untuk diri sendiri. “Saya tak pernah terfikir untuk membeli apa-apa untuk diri sendiri. Semuanya memang saya habiskan untuk keluarga,” katanya.
- Semasa bernikah dengan Safuan, Shaliza tidak meminta sebarang duit hantaran. Sebaliknya beliau meminta agar suaminya menggunakan duit itu untuk menghantar kedua ibu bapanya menunaikan fardu Haji.
- Shaliza dan Safuan bertemu jodoh di Jabal Rahmah, Mekah, ketika membawa ibu masing-masing menunaikan umrah.
- Sepanjang 19 tahun menghidap untut, berpuluh kali beliau menjadi mangsa penipuan bomoh dan dukun. Ia sedikit sebanyak membuatkan beliau semakin berputus asa.
“Banyak duit dihabiskan di situ. Sekarang, apabila ada yang menawarkan rawatan sebegitu, kami sudah lebih berhati-hati,” ujarnya.
- Kerana bentuk badan yang tidak seimbang dan kaki kirinya yang lemah, Shaliza sering jatuh, walaupun tersadung permaidani. Pengalaman paling teruk dialaminya ialah jatuh dan terhantuk ke gril pintu sehingga patah gigi hadapan.
- Shaliza tidak boleh makan makanan yang panas seperti berempah kerana ia akan menyebabkan suhu badannya naik dan kemudiannya demam. “Bila demam, kaki akan naik bintik-bintik merah. Kadang-kadang sampai berbisul dan bernanah. Kalau demam, siapa pun tidak boleh sentuh kaki saya.”

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: