Nuffnang Ads

Isnin, September 19, 2011

Akibat bual seks

Hubungan rapat Hana dan Hakim tidak dapat dihidu oleh keluarganya...




HANA enggan berkahwin walaupun teman lelakinya sanggup bertanggungjawab.

HANA, 18 (bukan nama sebenar), sama sekali tidak menyangka ‘rutin mingguan’ bersama teman lelakinya, Hakim, 19 (juga bukan nama sebenar) akhirnya mengheretnya dan keluarganya ke lembah dosa yang sangat memalukan.
Dia kini hamil tujuh bulan selepas terlanjur dengan Hakim. Mempunyai kisah yang tidak banyak beza dengan gadis-gadis lain, dia sanggup menyerahkan perawan dan melakukan zina dengan teman lelakinya itu atas dasar cinta.
“Hakim tinggal satu kawasan dengan saya. Dia rajin menegur apabila terserempak. Mulanya saya buat tak endah sebab dia kaki lepak dan tidak bekerja.
“Namun, semakin lama, saya mula terhibur dengan cara dia. Pada waktu itu saya berada di tingkatan lima. Selepas dua bulan, hubungan kami semakin rapat,” ujar Hana yang berasal dari sebuah tanah rancangan di Negeri Sembilan.
Kerap bertemu selepas sekolah, dia dan Hakim terdorong untuk melakukan hubungan seks selepas berbual-bual mengenai rakaman aksi lucah melibatkan seorang rakan Hana yang tersebar.
Perbualan yang hangat itu membawa kepada aksi-aksi ringan sebelum Hakim membawanya pulang ke rumah.
“Petang itu, kami bersetuju untuk melakukan aksi-aksi ringan, hanya sekadar suka-suka dan tidak mahu terlanjur.
“Mulanya hanya baju terdedah dan seluar terlondeh, tetapi semakin lama, kami semakin asyik. Syarat untuk tidak berzina semakin kami lupakan sebaliknya kami terus hanyut.
“Selepas pulang ke rumah, saya mula rasa menyesal. Tetapi Hakim bijak memujuk dan memberi jaminan tidak ada apa-apa yang akan berlaku,” katanya ketika ditemui Jurnal di sebuah rumah perlindungan di Selangor.
Rakaman
Hubungan rapat Hana dan Hakim tidak dapat dihidu oleh keluarganya. Alasan pulang lewat kerana terlibat dengan kelas tambahan atau aktiviti sekolah cukup kuat untuk menutup sisi gelap Hana.
Selepas kali pertama terlanjur, bagaikan gian, jiwa dua anak muda ini sentiasa tidak boleh dipisahkan. Rembang petang sering menjadi saksi pasangan muda ini memadu kasih.
“Sejak terlanjur kali pertama, kami tidak serik malah sentiasa mencari peluang untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya.
“Untuk mengelak syak orang sekeliling, Hakim selalu bawa saya ke tempat sunyi untuk berasmara. Pada hujung minggu pula, kami akan bermotosikal ke sebuah kawasan rekreasi untuk mencari kawasan yang lebih privasi.
“Walaupun hanya beralaskan surat khabar atau baju, saya tidak merungut. Sekadar suka-suka, saya tidak kisah,” cerita Hana yang sebelum ini yakin dia boleh mengelak daripada hamil dan menurutnya, Hakim tangkas dalam bab itu.



Namun, kuasa Allah melebihi segalanya. Hana didapati hamil selepas hampir setahun menjalin hubungan intim dengan Hakim.
“Saya jadi tak keruan apabila tidak datang haid sekitar Januari lalu. Untuk kepastian, saya beli kit ujian kehamilan di farmasi dan keputusannya adalah positif, saya mengandungkan benih Hakim,” katanya.
Hana tidak berani buka mulut dengan keluarganya apatah lagi dengan bapanya yang disifatkan panas baran.
“Sejujurnya, selepas mengetahui saya hamil anak luar nikah, saya sangat menyesal. Apa yang pernah terjadi ini pernah terlintas dalam kepala saya masa mula-mula terlanjur dengan Hakim.
“Saya cuba memikirkan cara terbaik untuk merahsiakan kandungan ini, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menggugurkannya,” katanya.
Ibunya ada menyedari perubahan fizikal dan tingkah lakunya namun Hana masih berdiam diri.
“Dua tiga kali emak menegur perubahan saya. Katanya tubuh saya nampak berisi. Emak tidak terfikir kalau saya mengandung kerana lakonan sempurna saya sebelum ini.
Enggan kahwin
“Namun, masuk bulan ketiga, selepas berfikir panjang, saya buat keputusan untuk memberitahu emak. Saya tidak menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi adalah disebabkan kejahilan saya. Saya reda dengan apa yang telah terjadi dan sesuatu perlu dilakukan sebelum perut membesar.
“Emak menangis. Seminggu selepas itu, emak beritahu kepada abang dan kakak tetapi minta dirahsiakan daripada ayah sehingga jumpa jalan penyelesaian yang munasabah.
“Dua minggu selepas itu baru abang beritahu keadaan saya kepada ayah. Saya sudah bersedia jika ayah marah dan pukul saya namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Ayah terduduk. Hanya kalimah istighfar keluar daripada mulutnya. Ayah tunduk dan menekup muka. Ayah menangis dan terus keluar rumah,” ujarnya sebak.
Tidak mahu terus membebani keluarga dengan masalah kehamilannya, Hana rela jika dia dihantar ke rumah perlindungan.
Keluarga teman lelakinya telah dipanggil berbincang dan Hakim setuju untuk bertanggungjawab namun Hana enggan berkahwin.
“Kesilapan ini adalah pengajaran yang sangat besar ertinya untuk saya. Selepas ini saya tidak mahu silap lagi. Hidup saya masih panjang masih luas dunia ini untuk saya teroka,” ujarnya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan selepas habis berpantang nanti.


MEMILIH nafsu sebagai bukti ikatan cinta boleh membawa kepada penzinaan hingga menyebabkan kehamilan anak luar nikah.


Sebelum mengakhiri perbualan petang itu, Hana sempat menitipkan nasihat buat kaum Hawa.
“Anggaplah kisah saya sebagai pengajaran. Buat yang sedang bercinta, jangan mudah percaya dengan pujukan teman lelaki, apatah lagi jika mereka minta kita melakukan perkara yang bukan-bukan untuk membuktikan cinta kepada mereka.
“Jika mereka ikhlas menyayangi kita, mereka akan lindungi dan pertahankan kita, bukannya merosakkan,” ujar Hana.
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

1 ulasan:

hana berkata...

erm...
jangan mudah terpedaya...
takut betol kalau terjebak..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: