NUFFNANG

Ahad, September 25, 2011

Apabila daging babi dijual terbuka


Sudah namanya pasar, kesesakan lalu bukanlah satu perkara yang asing. Tetapi apabila ada peniaga daging babi menjual daging babi di kaki lima secara terbuka, ia ternyata mengundang rasa tidak senang di hati banyak pihak.

LAMBAKAN premis perniagaan tidak berlesen di luar Pasar Air Itam menyebabkan kesesakan lalu lintas.

MENYUSURI kesibukan pagi di pekan Air Itam, Pulau Pinang cukup menyeronokkan terutamanya melihat kerancakan para peniaga berurusan. Laluan trafik yang sesak disebabkan gerai-gerai niaga di kiri dan kanan jalan sebenarnya satu gambaran biasa bagi sebuah pekan kecil seperti itu.

Namun, sebaik melepasi pekan menghampiri jalan masuk ke Kampung Pisang, mata pasti tidak terlepas memandang deretan gerai-gerai kaki lima di situ yang menjual daging babi secara terbuka. Letaknya pula yang cuma 100 meter dari kawasan Masjid Jamek Paya Terubong terus menimbulkan tanda tanya.
Walaupun itu pemandangan biasa di pekan tersebut kerana rata-rata peniaga daging babi telah berniaga di tapak itu sejak lebih tiga dekad lalu, namun ramai yang kurang senang dengan sikap sambil lewa pihak penguat kuasa.
Meskipun hampir 70 peratus penduduknya terdiri daripada masyarakat Tionghua, tetapi Pasar Air Itam turut dikunjungi masyarakat pelbagai kaum. Justeru, kegiatan menjual daging babi secara terbuka dilihat tetap kurang wajar.
Pada masa sama, kedudukan gerai niaga di kaki lima jalan yang rata-ratanya tidak berlesen turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang melampau di kawasan di situ.
Tinjauan Detektif Urban ke pasar tersebut mendapati terdapat lebih 10 buah gerai menjual daging babi telah didirikan dan mereka memulakan perniagaan dari pukul 4 pagi hingga 12 tengah hari.
Malah difahamkan, sejak sekian lama kebanyakan pengguna jalan raya di situ terpaksa berdepan dengan situasi itu sehingga menyebabkan pengurusan trafik yang sesak di situ.

SELEPAS tiga dekad masalah peniaga daging babi tidak berlesen dan berniaga secara terbuka masih belum dapat diselesaikan.

Menurut seorang peniaga di restoran berhampiran, Rahim Jailani, 46, peniaga babi di situ seolah-olah tidak menghiraukan peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa walaupun peraturan perniagaan makanan tidak halal telah lama dikeluarkan.
"Mereka sepatutnya ditempatkan di kawasan lebih tertutup dan berasingan dengan peniaga lain di dalam pasar itu seperti mana yang dilakukan di pasar-pasar di tempat lain," katanya sambil meluahkan rasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil terhadap peniaga tersebut.
Sementara itu, Latif Hashim, 57, berkata, dia tidak faham dengan sistem penguatkuasaan di kawasan tersebut. Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan peniaga tersebut perlu dikenakan tindakan atau dipindah dari situ.
"Sebagai peniaga, mereka pun cari makan tetapi pihak berkuasa perlu peka sensitiviti kaum lain di sekeliling.
"Jika perlu, tempatkan peniaga daging babi ini di tempat yang lebih sesuai kerana kedudukan gerai sekarang tidak jauh dari masjid seolah-olah tidak menghormati sensitiviti umat Islam," jelasnya.
Peniaga tidak berlesen
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Chow Kon Yeo ketika diajukan soalan berhubung masalah tersebut memberitahu majoriti peniaga termasuk penjual daging babi di kaki lima jalan di situ disahkan tidak mempunyai lesen perniagaan.
Menurut beliau, walaupun pelbagai tindakan telah diambil oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) termasuk memberi penerangan, tetapi mereka tetap berniaga di situ tanpa lesen.
"Malah, setiap bulan penguat kuasa MPPP mengeluarkan saman ke atas mereka, namun sehingga hari ini masih tiada perubahan," katanya.
Kurang dari seminggu selepas isu tersebut dipaparkan Kosmo! baru-baru ini, masalah peniaga daging babi dan pasar Air Itam turut mendapat perhatian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Air Itam, Wong Hon Wai.
Katanya, menerusi peruntukan bajet tahunan bernilai RM1 juta oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pasar yang beroperasi hampir lima dekad lalu itu bakal berubah wajah mulai tahun ini.

JARAK premis peniaga daging babi hanya sekitar 100 meter dari sebuah masjid.

"Perkara yang dicadangkan ini adalah bagi meningkatkan taraf pasar awam sebagai pasar utama di Air Itam dan mengekalkan status 201 buah gerai yang sudah lama bertapak," ujarnya pada sesi lawatan ke Pasar Air Itam baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau sudah mencadangkan kepada peniaga-peniaga di kaki lima jalan termasuk penjual daging babi yang menjual secara terbuka supaya memohon mendapatkan gerai di pasar awam di Bandar Baru Air Itam.
"Namun begitu, majoriti mereka ketika ditemui agak keberatan untuk berpindah disebabkan lokasi yang agak strategik di luar. Tetapi mereka dinasihatkan agar berniaga mengikut peraturan," jelasnya.
Persoalannya sampai bilakah masalah itu bakal di atasi kerana jika begitu jawapan peniaga, nampaknya pembinaan pasar baru bukanlah satu penyelesaian.
Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: