Nuffnang Ads

Jumaat, September 16, 2011

Kepercayaan karut air mani


Pendidikan seks yang rendah dan ditambah pula dengan pelbagai kepercayaan karut telah meningkatkan jumlah penghidap AIDS di Papua.

ADA yang percaya sekiranya air mani dipancut di luar vagina, ia boleh merosakkan tanaman.

KURUS kering dan dipenuhi kudis, Christina Mabele, 20, menjadi satu contoh dalam krisis AIDS yang kian melanda benua terpencil Papua di timur Indonesia. Beliau tahu mengapa dirinya sakit.

Duduk dalam sebuah hospital di bandar tanah tinggi yang hanya dihubungkan melalui kapal terbang kecil, Mabele sempat mendapatkan rawatan.
Tetapi rakannya, Juliana Halo, tidak.
"Dia sahabat saya. Kami duduk bersebelahan di sekolah tetapi dia telah meninggal dunia semalam. Kami sebaya," kata Mabele.
Papua, sebuah wilayah luas yang dipenuhi hutan tropika dan kawasan bergunung di pinggir barat pulau New Guinea, telah melihat ledakan kes HIV/AIDS dalam kalangan populasi yang merupakan kumpulan termiskin di Indonesia.
Kadar jangkitan yang dianggarkan 2.4 untuk setiap 100 orang, merupakan salah satu yang tertinggi di luar benua Afrika. Jumlah itu dijangka meningkat.
Wartawan asing biasanya dihalang melawat Papua, yang telah berada di bawah kawalan Indonesia sejak tahun 1960-an dan merupakan tempat asal pemberontakan kebebasan tahap rendah.
AFP telah diberi kebenaran dengan ditemani seorang pegawai dari agensi perisikan negara Indonesia.
Sementara kadar HIV/Aids di tempat-tempat lain di Indonesia masih rendah, faktor kombinasi kemiskinan, jarak jauh, kurangnya pendidikan dan amalan seks tidak selamat menjadi pemacu jangkitan penyakit itu di Papua, menurut suruhanjaya AIDS kerajaan negara tersebut.
Penyakit itu paling teruk melanda wilayah-wilayah terpencil seperti Lembah Baliem yang tidak disentuh dunia luar sehingga selepas Perang Dunia Kedua di mana kaum lelakinya hanya menutup kemaluan dengan buah labu yang telah dikeringkan.
Amos Alua, seorang petugas organisasi bebas Yukemdi yang cuba mendidik penduduk tanah tinggi mengenai penyakit itu, memberitahu, skala masalah meliputi seluruh puncak bukit berhutan di sekitar lembah itu.

PENDUDUK Papua masih percaya virus HIV tersebar melalui hinggapan lalat, berkongsi makanan ataupun puntung rokok.

Di kawasan gunung yang luas dan hanya boleh ditempuhi oleh pesawat ringan atau berjalan kaki selama berhari-hari di laluan berbahaya di pinggir lembah itu, penduduk di situ kian menemui ajal mereka tanpa mengetahui mengapa ia berlaku, kata Alua.
"Di sebalik gunung-ganang ini, mereka masih tidak tahu mengenai HIV/Aids. Mereka tidak sedar bahawa diri mereka telah dijangkiti," kata beliau lagi.
Menurut pakar kesihatan, punca yang menjadikan masalah HIV/Aids bertambah teruk ialah seks.
Penggunaan jarum suntikan yang merupakan sumber penyebaran utama di tempat-tempat lain, bukanlah faktor yang serius di wilayah ini.
Meskipun dilanda kemiskinan, industri seks berkembang pesat di pekan-pekan seluruh Papua dengan kemasukan wang daripada sumber-sumber semula jadi di bawah satu sistem 'autonomi istimewa' dengan Indonesia, kata Jack Morin, ketua penyelidikan populasi di Universiti Cendrawasih yang terletak di Papua.
Terdapat sekumpulan minoriti lelaki Papua mengembara jauh, biasanya dengan berjalan kaki untuk bekerja atau ke pasar dan kemudian mengadakan hubungan seks dengan pelacur-pelacur di bandar. Kemudian, mereka membawa jangkitan itu ke kampung halaman, kata Morin.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan amalan seks berisiko tinggi di kawasan kampung.
Penduduk Papua tidak mempunyai pengetahuan mengenai kondom. Di kebanyakan tempat yang mengamalkan kehidupan tradisi serta tempat lain yang mendekati kemodenan, muncul kumpulan minoriti yang mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pelbagai pasangan.
"Sebilangan puak masih percaya sekiranya air mani dipancut di luar vagina, ia boleh merosakkan tanaman, ladang mereka akan ketandusan, menyebabkan serangan penyakit kepada individu atau digunakan untuk ilmu hitam," katanya.
Di sebuah persidangan yang disertai organisasi-organisasi bukan kerajaan, pihak kerajaan dan penyumbang antarabangsa di ibu wilayah Jayapura menunjukkan bahawa dunia kian sedar akan krisis yang melanda. Puluhan juta ringgit dijangka akan masuk untuk rawatan dan pencegahan.
Gabenor Barnabas Suebu telah menyatakan sokongan beliau terhadap beberapa rancangan yang memusykilkan seperti sebuah skim untuk meletakkan cip mikro ke dalam mangsa HIV/Aids.
Sesetengah pemimpin tempatan mudah berasa marah mengenai stigma terhadap penduduk Papua yang dianggap sebagai tidak bermoral atau primitif, kata Helena Picarina, yang mengetuai program HIV/Aids Papua oleh Family Health International, sebuah badan bukan kerajaan.
"Ia satu isu yang sangat sensitif. Jika anda berbicara mengenainya, sesetengah mereka, individu gereja dan ahli-ahli politik akan menolaknya dan berkata 'ia bukanlah sikap kami'," kata beliau.
Sebahagian besar penduduk kampung Balien masih tidak sedar akan kewujudan virus itu dan mengatakannya ia tersebar melalui hinggapan lalat, berkongsi makanan ataupun puntung rokok.
Parti, seorang pelacur berusia 40 tahun yang berasal dari pulau Jawa, mengadakan hubungan seks dengan lelaki di sebuah pondok buruk tepi jalan yang menjual minuman ringan.
Beliau mengetahui bahawa kondom mampu mengelakkan penyebaran HIV tetapi sering kali membenarkan lelaki mengadakan hubungan seks dengannya tanpa memakai kondom.
"Kami memerhati penampilan mereka, untuk melihat sama ada mereka bersih. Kami boleh tahu sekiranya mereka dijangkiti," kata wanita itu sambil menambah beliau mengambil antibiotik sebagai langkah berjaga-jaga. - AFP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: