NUFFNANG

Khamis, September 15, 2011

‘Mereka ajak bermain’


Kalau pun tidak percaya, jangan pula mempersenda kemungkinannya.



‘TIDAK mungkin dia hilang begitu saja. Tadi dia ada dengan saya, betul-betul di belakang Ah Seng. Sibuk cari labah-labah katanya. Mana dia sembunyi ni?” Tuan Hashim seperti meninggikan suara kepada pemandunya dan juga beberapa orang kampung yang membantu mencari anaknya dalam gelap waktu Maghrib itu.
“Afi! Afi! Afi dekat mana?!” Dia menjerit lagi sekuat hati memanggil anak bongsunya yang berusia lapan tahun itu. Tidak mungkin akan diberitahu kepada isterinya di Kuala Lumpur tentang perkara itu, bimbang keadaan bertambah buruk.
Awal petang itu, Tuan Hashim bersama pemandu dan anak lelakinya itu tiba di kawasan pinggir hutan. Ia berdekatan sebuah kampung yang terletak di kaki gunung di satu daerah dalam negeri Pahang.
Kedatangannya kerana mahu berbincang dengan Ah Seng, kontraktor binaan yang dilantiknya, tentang banglo singgah yang mahu didirikan di sebidang tanah yang baru sebulan dimilikinya. Tidak disangka kekecohan itu berlaku.
‘Ah! Mana ada benda-benda karut tu. Anak orang kampung memang nakal, suka masuk hutan sendirian. Sebab itulah boleh hilang. Tidak apa, anak-anak saya mendengar kata.’
Teringat Tuan Hashim akan kata-katanya itu kepada seorang warga tua di kampung tersebut ketika dia mula-mula hendak membeli tanah di situ. Orang tua itu sekadar mengingatkan tentang kes kehilangan kanak-kanak yang sering berlaku di kampung tersebut.
Bila warga tua itu menyebut tentang kelompok bunian yang mendiami pinggir kampung itu, Tuan Hashim mentertawakannya. Namun, kali ini dia seakan mahu menelan semula kata-kata dan ketawanya itu.
“Afi! Afi! Mana kau, nak? Afi!” Tuan Hashim terus menjerit panik. Dia akhirnya melutut di tepi sebuah sungai. Bahunya menggigil kerana tidak dapat menahan air mata yang mengalir membasahkan egonya.
“Nanti dulu. Kalau menjerit macam tu anak awak tak akan dengar. Cuba panggil namanya cara berbisik. Bayangkan awak dekat dengan dirinya. Percayalah cakap saya. Berbisik saja. Panggil dengan hati, berserah pada Allah,” ujar seorang lelaki tua yang diperkenalkan kepadanya sebagai bomoh Fadhil.
“Afi, dengar cakap ayah. Ke mana pun Afi berjalan, patah balik,” Tuan Hashim yang akur dengan kata bomoh itu menurut saja. Dia berbisik seperti untuk didengar telinga sendiri.
Selang beberapa minit, orang kampung berteriak kepada Tuan Hashim kerana Afi ditemui duduk termenung dan bersandar di sebatang akar ara. Dia kelihatan lemah dan bingung tetapi boleh bercakap seperti biasa. Tiada ungkapan dapat menerangkan kelegaan Tuan Hashim.
“Puas Afi pusing cari ayah. Langsung tak nampak atau dengar ayah panggil. Lepas tu tiba-tiba dengar suara ayah kuat sangat. Ayah suruh Afi patah balik. Afi lari ikut suara ayah,” Afi yang comot pakaiannya menerangkan dalam nafas yang tersekat-sekat.
Afi juga bercakap tentang puluhan budak kecil dengan tubuh kerdil dan wajah manis yang mengajaknya bermain di halaman rumah mereka di dalam hutan itu. Kata Afi, pekarangan rumah mereka cantik, berkilauan dan bertingkat-tingkat.
Tuan Hashim hairan kerana anaknya itu bukanlah terlalu jauh meninggalkannya. Hanya beberapa meter dari tempat dia berdiri di hadapan Ah Seng pada ketika dia mula menyedari kehilangannya. Namun, dimensi yang satu lagi itu telah menutup jarak pandangan antara mereka berdua.
Dia juga menyedari kini akan pesan bomoh Fadhil. Bahawa semakin dia menjerit memanggil Afi, anaknya yang sedang digoda alam bunian itu hanya terdengar sayup-sayup. Tetapi kalau dia berbisik pula, anaknya akan mendengarnya dengan kuat.
Tuan Hashim menggeleng kepala dan beristighfar memikirkan betapa peliknya muslihat yang cuba dipermainkan alam mistik. Malam itu juga dia sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur. Dalam fikirannya terbangkit rasa kesal. ‘Mengapa aku beli tanah di situ?’.
– Diceritakan semula kepada A.H. HAMZAH

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: