Nuffnang Ads

Sabtu, September 17, 2011

Paku, besi tajam perangkap jalan

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN


FARREL menunjukkan besi tajam dan span berpaku yang sengaja ditabur di atas jalan raya di Kuala Terengganu.




INILAH besi tajam yang sengaja ditabur oleh individu tidak bertanggungjawab di atas jalan raya 
di Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU - Tanpa memikirkan nasib ribuan pengguna kenderaan yang pulang berhari raya, ada pihak tergamak meletakkan pelbagai jenis 'perangkap' di laluan-laluan utama negeri ini.
Antara perangkap tersebut ialah span berpaku, besi tajam, minyak petrol serta pasir yang sengaja ditabur di jalan raya sama ada untuk membocorkan tayar atau membuat kenderaan terbabas.
Lokasi yang kerap menjadi sasaran ialah laluan Kuala Terengganu-Kuantan, Jerangau-Jabor, jalan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dan jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu melalui Bandar Permaisuri.
Kewujudan perangkap tersebut didedahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Farrell Charles Rasu yang berkata, kegiatan jahat itu berleluasa sejak awal Ramadan dan dijangka berterusan selepas cuti Aidilfitri ini.
Ujarnya, pihaknya mula mengesan taktik berkenaan selepas beberapa laporan diterima mengenai kebocoran tayar kenderaan dan kemalangan kerap berlaku di lokasi tertentu.
"Biasanya perangkap-perangkap ini diletakkan di kawasan selekoh dan laluan sunyi. Pemandu kereta atau penunggang motosikal yang tidak perasan dengan kehadiran objek itu akan melanggarnya.
"Kita dapati span berpaku sepanjang tiga inci dan besi tajam kadangkala hanya membocorkan tayar, tetapi tidak melekat pada tayar. Ia akan terus berada di atas jalan dan membocorkan tayar kenderaan lain pula selepas itu.
"Susah untuk mengesan lokasi spesifik di mana perangkap akan diletakkan kerana pihak terbabit boleh meletaknya di mana-mana jalan yang dilalui banyak kenderaan," katanya kepada Kosmo!.
Ditanya pihak yang bertanggungjawab memasang perangkap tersebut, Farrell percaya ia angkara pemandu trak tunda dan pemilik bengkel tayar yang mahu meraih untung daripada kesusahan pengguna jalan raya.
"Beberapa mangsa mendakwa sebaik kereta mereka bocor dan terbabas, pihak terbabit datang secara tiba-tiba menawarkan bantuan walaupun tidak dihubungi," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan penyamun turut menggunakan taktik serupa bagi menghentikan kereta mangsa untuk disamun.
Sementara itu, tinjauan wartawan Kosmo! bersama Farrell mendapati, perangkap seumpama itu bukan sahaja diletakkan di lokasi sunyi, malah sebiji span berpaku ditemui berdekatan simpang empat di Losong di sini.
Farrel berkata, beliau percaya banyak kemalangan berlaku disebabkan perangkap-perangkap tersebut, tetapi mangsa tidak menyedari perbuatan khianat itu adalah punca sebenar kemalangan.
Katanya, sepanjang cuti hari raya nanti, para pemandu dijangka semakin sukar mengesan perangkap-perangkap tersebut memandangkan jalan raya dipenuhi dengan kenderaan.
"Macam span berpaku ini, kalau di atas jalan paku-pakunya tak kelihatan, tetapi tanpa kita sedar di dalam span ada berpuluh-puluh paku tajam," ujarnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: