Nuffnang Ads

Sabtu, Oktober 08, 2011

Muslihat belaan setia

Toyol dan kejahatan yang ditugaskan kepadanya adalah berpunca daripada niat sesat si pemuja. Seperti yang dialami penduduk kampung di Kuantan, Pahang baru-baru ini, rata-rata percaya kecurian itu bukan dilakukan manusia.
SEPERTI kanak-kanak biasa, Mohd. Amirul Mohd. Zainuddin, 11, gemar bermain pada waktu petang bagi merehatkan fikiran selepas mengikuti sesi persekolahan yang memenatkan.


Justeru, menjadi rutin bagi pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Pandan itu untuk segera menyiapkan kerja rumah sebaik pulang dari sekolah agar tidak ketinggalan menyertai rakan lain bermain.
Namun pada Ogos lalu, dia tidak menjangka aktiviti yang dilakukan setiap petang itu secara kebetulan telah mengheretnya untuk melalui satu pengalaman yang amat menakutkan.


LAKARAN Mohd Amirul Mohd Zainuddin, 11, mengenai toyol yang dilihatnya mengintai di belakang tingkap jirannya baru-baru ini.


"Pada hari itu, saya tidak sabar untuk keluar dari rumah. Siap sahaja kerja sekolah, saya terus bergegas ke halaman rumah jiran yang terletak selang sebuah rumah dari rumah saya," katanya ketika ditemui Kosmo!  di Kampung Baru Pandan 2, Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Apabila sampai, Mohd. Amirul memberitahu, dia bersama beberapa rakannya mula bermain sehinggalah tiba waktu senja.
"Ketika asyik berkejaran, timbul rasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu sedang memerhatikan saya dari celah tingkap rumah yang terletak bertentang dengan halaman kami bermain," ungkapnya.
Tambah anak kedua dari tiga beradik ini, badannya juga secara tiba-tiba berasa seram sejuk bagaikan dapat mengesan kehadiran entiti misteri.
"Hati saya berat untuk melihat ke arah tingkap itu tetapi kerana ingin tahu saya cuba memberanikan diri.
"Apabila dipandang, darah saya berderau apabila mendapati satu wajah aneh berwarna hijau, bertelinga panjang, bermata merah dan bergigi tajam menyeringai sambil merenung tepat ke arah saya," ujarnya.


RUMAH salah seorang mangsa di Kampung Baru Pandan 2, Kuantan yang sering berlaku kecurian pelik.




SESETENGAH orang sanggup memuja toyol dan mendapatkan syiling toyol untuk mengaut wang segera.



SALAH seorang mangsa yang mengesan kecurian oleh toyol melalui kesan lipatan pada wang kertasnya.



RAFEAH menunjukkan tempat dia menyimpan duit sebelum hilang dikebas toyol di rumahnya.





Tanpa berlengah, Mohd. Amirul menyatakan dia bertindak melarikan diri dengan pulang ke rumah ekoran terlalu takut.
"Saya sempat jerit pada kawan ada hantu dekat tingkap. Selepas kejadian itu, saya tidak ceritakan kepada sesiapa sehingga emak dan beberapa penduduk lain kecoh mengenai toyol yang mencuri duit di sekitar kampung," tuturnya lagi.
Bisnes lingkup
Sebelum peristiwa dialami oleh Mohd. Amirul, pemilik rumah berkenaan, Roslan Ismail, 42, mengakui dia mungkin mangsa pertama gangguan toyol di kampung itu. Sehingga kini, dia sudah kehilangan puluhan ribu ringgit.
"Saya percaya toyol yang dilihat oleh anak jiran di rumah saya ini sudah mencuri duit kami sejak tiga tahun lalu. Sebelum ini saya tidak percaya, tetapi apabila mengalami sendiri kejadian aneh itu baru saya yakin ia bukan kerja pencuri," katanya.
Mengimbas kembali antara kejadian itu, Roslan menyatakan dia pernah kehilangan wang tunai RM150 walaupun diletakkan di atas televisyen yang ditonton oleh ahli keluarga.
Rentetan kerja toyol itu, dia berkata, perniagaannya lingkup, memiliki hutang keliling pinggang dan gagal membesarkan rumah miliknya.
"Saya sudah putus asa untuk berniaga, apatah lagi wang berniaga dan wang simpanan telah habis dicuri. Saya juga sering bergaduh dengan anak dan isteri sebelum ini kerana mengesyaki itu perbuatan mereka," ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Rafeah Wan Abdul Kadir, 59, memberitahu, dia langsung tidak berenggang dengan wang simpanannya selepas mengalami sendiri peristiwa aneh di kediamannya.
"Dalam tak sedar, hampir RM10,000 wang makcik hilang sejak dua tahun lalu tetapi kita tak berani hendak tuduh sesiapa.
"Sehinggalah baru-baru ini, makcik terjumpa kesan tapak kaki kecil aneh sebesar dua jari di atas lantai dan kipas. Sejak itu makcik sekeluarga percaya ia dilakukan oleh toyol," ceritanya.
Dayang Musa, 55, pula berkata, walaupun tidak pernah terserempak dengan toyol, dia mengesyaki wangnya dikebas makhluk halus itu berdasarkan tanda yang ditinggalkan.
"Toyol itu tidak curi semua tetapi hanya mengambil sebahagian kecil wang hampir setiap hari. Contohnya kalau kita ada RM1,800 dia akan curi RM200.
"Tapi saya perasan ia kerja makhluk halus itu apabila dia seperti pandai pula melipat bucu salah sekeping wang yang terikat sesudah mencuri," tegasnya.
Dijaga seperti bayi
Menurut seorang pengamal ilmu perubatan tradisional, Drs. Mohammad Idrus Abu Hanifah, 'salasilah' toyol itu bermula daripada hasil pemujaan bayi yang baru mati. Kubur bayi itu dibongkar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk upacara 'menghidupkan' semula.
"Konsep 'diberi' nyawa itu bermakna fizikalnya digerakkan dengan kemasukan sesuatu yang bukan roh muqaddas (suci), sebaliknya tipu muslihat jin atau syaitan yang mendampingi niat pemujanya.
"Mengetahui ia sudah dipunyai tuannya, toyol itu akan diajar kaedah tertentu kepadanya, khususnya mencuri," jelasnya yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Idrus ini.
Lazimnya, si pemuja adalah di kalangan lelaki yang mempunyai isteri yang belum atau tidak akan langsung dikurniakan zuriat.
"Ini sebagai syarat agar toyol itu berasa lebih dimiliki oleh tuannya dan akan betul-betul menjaganya laksana anak sendiri. Seperti hubungan bayi dengan ibunya, kali pertama toyol dibawa pulang, ia perlu 'disemayamkan' iaitu dibiar tidur bersama isteri si pemuja itu untuk disusukan," terangnya.
'Keakraban' hubungan antara toyol dengan pasangan itu turut bergantung kepada sama ada si ibu memiliki susu badan yang banyak.
Tambahnya, toyol yang mungkin berasal daripada sebentuk janin ini boleh muncul sebesar botol kicap secara perbandingan. Ia hanya ditugaskan untuk mencuri kerana hanya itu yang boleh dilakukan lantaran saiznya yang kecil dan tidak berdaya. Itulah sebabnya toyol tidak dikaitkan dengan perbuatan jahat lain," terang Pak Idrus.
Sebab itulah, seperti kes yang menggemparkan penduduk di Kuantan minggu lalu, mangsa-mangsa kecurian mendapati wang mereka susut sedikit demi sedikit dan tidak hilang semuanya sekali gus.
"Ada juga toyol yang diajar untuk mencuri rokok. Barang kali ia boleh mengambil sekotak rokok, tetapi tidak dengan pemetik apinya sekali," jelasnya lagi.
Jual beli di Parangtritis
Pensyarah Universitas Pembinaan Masyarakat Indonesia, Medan itu juga mendedahkan tentang keanehan jual beli di suatu kawasan pinggir laut bernama Pantai Parangtritis di Jogjakarta.
"Di situ, sesiapa sahaja boleh membeli toyol untuk dijadikan belaan mereka. Harga jualannya adalah berdasarkan usia dan kemahiran mencuri yang diajarkan oleh penjualnya. Sejurus urus niaga, toyol yang dibeli itu akan setia kepada tuan barunya.
"Harga toyol baru adalah sekitar tujuh juta Rupiah (RM2,510) manakala toyol yang lebih 'hebat' mencapai harga 20 juta Rupiah (RM7,180) untuk dimiliki," akui Pak Idrus yang kesal apabila mengetahui bahawa kebanyakan penjual toyol adalah beragama Islam.
Namun begitu, setiap yang diperhamba atau yang dibebani dengan permintaan dan tugas tentu ada tuntutan pulangan. Masyarakat Melayu mempercayai tuan toyol memberi habuan makanan seperti ayam kepada peliharaannya itu.
"Lebih daripada itu, kita bimbang jika tipu daya toyol ini akan membuatkan pemujanya menerima kecelakaan yang mengakibatkan kecederaan ataupun kematian. Tanpa tuan, toyol itu akan bebas dan mencari tempat tinggal sendiri," katanya.
Tambah Pak Idrus, ahli keluarga atau penduduk kejiranan yang mendakwa diganggu toyol boleh menduga kehadirannya dengan menabur kacang hijau di perkarangan rumah.
Apabila diperiksa corak taburan biji kacang itu berubah tanpa disentuh manusia, ia menunjukkan bahawa toyol itu telah bermain dengannya. Dipercayai, sifat keanak-anakan toyol itu membuatkan ia melihat kacang hijau tersebut sebagai permainan yang melekakan.
Usaha menangkap toyol mungkin sukar bagi yang kurang berpengalaman mengenai sifat dan kaedahnya. Namun, gangguan toyol yang hakikatnya jin dan syaitan itu boleh dihindari dengan mengamalkan bacaan ayat al-Quran di rumah.
"Selain ayat Qursi, bacaan surah Thoha juga membantu. Surah Thoha antara lain mengingatkan manusia bahawa setiap yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Tiada syarat ayat itu perlu diulang mengikut kekerapan tertentu. Bacalah seikhlas hati dan mohon perlindungan daripada Allah," pesan Pak Idrus.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: