NUFFNANG

Rabu, Oktober 26, 2011

Wakwak jadi busut

BENARKAH,Burung "Wak-Wak" mempunyai penunggu?

MALAM tadi Daud meronta-ronta minta dilepaskan. Peluhnya mengalir deras dari setiap inci tubuhnya yang kurus melengkung itu. Dia menjerit terlolong; "Lepaskan aku! Lepaskan aku! Aku minta maaf, minta ampun! Tak mahu lagi!"

Empat orang yang menekan tubuhnya di lantai beralas tikar mengkuang itu rasa tercabar juga dengan kudrat Daud. Isteri Daud, Milah, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan menangis teresak-esak melihatkan keadaan suaminya.
"Saya yang hendak sangat makan burung wakwak. Saya menyesal dia jadi macam ni. Tolonglah dia, Imam," rayu Milah.
Lalu Imam Jali memberi isyarat kepada isterinya Mak Som untuk membawa Milah meninggalkan ruang ibu rumah. Imam Jali bersama Pak Lang Yunos cuba mententeramkan Daud yang sejak Isyak tadi ditemui di tepi semak dalam keadaan terketar, menggerenyot, dan melolong tanpa maksud.
Terdengar ayat Qursi dan selawat diulang baca ke telinga Daud oleh Pak Lang Yunos. Disapukan juga mukanya dengan air yang sudah dijampi oleh Imam Jali. Daud akhirnya berhenti meronta, terdiam. Sejurus mengatur hela nafas yang kasar dan berat, dia akhirnya tertidur.
Siang keesokannya, Daud berupaya bangun perlahan-lahan. Enam rakan sembang kedai kopi sedia menunggunya di luar rumah untuk mengorek cerita daripadanya. Walau Daud keberatan pada mulanya, ditambah pula dengan rasa pening, dia masih mampu mengingati kisah semalam dan berasa perlu memberitahu rakan-rakannya.
Dia menerangkan betapa dia ingin menunaikan permintaan isterinya yang mengidam untuk makan wakwak panggang. Lalu dia meredah gelap belukar dekat tepi sungai di hujung jalan kampung pada waktu Maghrib untuk memasang jaring perangkap dan menekut.
"Aku dah dapat dua ekor, tapi aku tak nak balik. Sebab aku perasan makin banyak yang keluar dari balik pokok. Aku jadi tamak. Aku menekut lagi. Kalau dapat banyak mesti Milah suka," ujar Daud yang kelihatan masih pucat.
Daud memberitahu, semakin lama makin banyak wakwak yang datang kepadanya. Berpuluh-puluh bilangannya. Ada tersangkut di jaring, ada pula yang boleh ditangkap terus dengan tangan lalu dicampak ke dalam guni. Burung-burung itu seperti sudah khayal.
Dalam suram malam yang hanya diterangi cahaya bulan dia teringat bagaimana dia menghentak-hentak sedikit guni itu ke tanah apabila burung-burung itu semakin bising dalam guninya. Kata Daud, tanpa rasa bersalah, dia ketawa dengan perbuatannya itu.
"Dalam aku leka menangkap, entah macam mana aku tersadung sesuatu. Aku terjatuh dan guni tu terlepas. Burung-burung yang dapat keluar mula melompat-lompat memanjat antara satu sama lain. Aku yang terduduk, seperti tak boleh berbuat apa- apa.
"Burung-burung yang bertimpa-timpa itu menjadi tinggi. Jadi sebesar busut dan berwarna hitam pekat. Lebih hitam daripada malam. 'Busut' besar itu bergerak nak menimpa aku," ujar Daud yang menggigil semula, lalu ditenangkan rakan-rakannya.
"Hmm... kita beringatlah. Setiap makhluk dalam hutan ada penjaganya. Bukan boleh sembarangan. Bersyukur kalau dapat dua tiga ekor, cukuplah untuk dimakan.
"Lagi satu, jangan tamak ketika menekut. Tangkap yang hendak dimakan sahaja. Kalau semakin banyak yang datang secara tiba-tiba, cepatlah angkat kaki. Ada yang tak kena tu," pesan seorang rakan yang turut bercakap tentang petua lain iaitu melepaskan burung pertama yang tersangkut pada jaring.
Hari itu akhirnya beransur ke malam. Dalam remang senja, hati Daud tiba-tiba berdebar apabila telinganya menangkap bunyi burung wakwak bersahut-sahut dari dalam belukar belakang rumahnya. Daud tidak mahu terjumpa penjaga wakwak itu lagi! Cukuplah!
** Diceritakan semula kepada A.H. HAMZAH

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: