NUFFNANG

Ahad, November 13, 2011

Menjejaki puncak Adam

Kesempatan berada di atas puncak tidak disia-siakan apabila ada dalam kalangan anggota kembara melaungkan azan, bersolat sunat, berzikir dan membaca al-Quran.


PEMANDANGAN puncak Adam diseliputi awan dan kehijauan yang menawan hati pendaki.



SEJARAH turunnya Nabi Adam a.s di puncak Adam yang dipercayai terletak di Sri Lanka dan kesan tapak kakinya menjadi misi utama kami untuk menawan puncak di ketinggian 2,243 meter (7,359 kaki) dari paras laut ini.

Lebih menjadikan kami tidak sabar untuk menjejak kaki ke puncak itu adalah ia bukanlah sebarang tempat, sebaliknya dikatakan sebuah gunung yang mempunyai pemandangan yang sangat indah.
Di situ juga terabadinya tapak manusia yang panjangnya 5 kaki 7 inci dan lebar 2 kaki 6 inci. Pengembara Arab mendakwa tapak kaki itu milik Nabi Adam a.s.


BEKAS tapak kaki Nabi Adam a.s di puncak Adam, Sri Lanka.



Kembara kami diketuai oleh Kharul Amali Daharun dan 17 rakan lain. Kami berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang pada 9 Mei, pukul 9 pagi ke Trichy, di selatan India.
Sebaik pesawat mendarat, kami terus ke Nagore dan disambut rakan, Shahul Hameed bersama keluarganya. Kami menghabiskan dua malam di sana dan sempat menziarahi makam wali besar, Sheikh Abdul Qadir Shahul Hameed.
Perjalanan diteruskan ke Colombo pada 11 Mei dan kami menginap semalaman di Hotel Sansu. Tidak dinafikan, perasaan sedikit gundah berikutan kehadiran kami di kancah pergolakan politik di negara itu.


PENULIS mengambil kesempatan bergambar berlatarbelakangkan makam Sheikh Abdul Qadir Shahul Hameed Nagore.



Namun, ia tidak menghalang kami untuk memanfaatkan masa di Colombo dengan bersiar-siar di ibu negara Sri Lanka itu yang masih meriah dengan perayaan Hari Wesak berikutan majoriti penduduknya beragama Buddha.
Keesokannya, kami meneruskan perjalanan menaiki bas menuju ke Dafter Gilani. Perjalanan memenatkan hampir lapan jam itu tidak menghalang kami singgah menziarahi tempat suluk (mengasingkan diri) Nabi Allah Khaidir a.s, Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Gilani dan Sheikh Abdul Qadir Shahul Hameed.
Pengalaman memasuki gua sedalam 50 meter dalam keadaan gelap gelita dan di selang-seli dengan kehadiran kelawar membuatkan kami terasa betapa hebatnya para Nabi dan aulia bermunajat terhadap Allah yang Maha Esa.
Pada petang 13 Mei, kami meneruskan perjalanan sejauh 175 kilometer menaiki bas dari Dafter Gilani ke Ratnapura.Sepanjang perjalanan, kami merasakan seperti berada di Cameron Highlands kerana jalan yang berliku serta keindahan lereng bukit yang dilitupi pepohon teh.
Kira-kira pukul 9 malam, kami tiba di destinasi dan mendaftar masuk di Hotel Punsisi. Kami hanya mempunyai waktu selama lima jam untuk berehat dan tidur sebelum memulakan pendakian ke puncak Adam pada hari esok. Seawal pukul 2.00 pagi, kami bersedia untuk memulakan pendakian dengan berbekalkan sedikit makanan, baju sejuk dan lampu suluh.


PENULIS (kiri, depan) bersama pendaki bersorak gembira selepas berjaya menawan puncak Adam di Sri Lanka.






Selepas melakukan sedikit senaman dan membaca doa, kami memulakan pendakian pada pukul 2.30 pagi. Tempoh satu jam pertama tidak begitu mencabar kerana laluan masih mendatar, tetapi cabaran mulai terasa pada pertengahan jalan apabila terpaksa mendaki anak tangga yang kelihatan seperti tidak berpenghujung dalam cuaca sejuk, hujan renyai serta angin yang kuat.
Memandangkan saya mempunyai pengalaman mendaki gunung, saya kerap memberi semangat dan tip-tip kepada rakan-rakan supaya terus bersemangat. Sebelum ekspedisi ini, mereka telah menjalani latihan mendaki di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor. Para pendaki seperti Kharul Amali, Shamsuddin Jaafar, Ishak Darus dan Razak Mohamad mendaki agak perlahan dan mungkin kerana faktor usia melebihi 50 tahun.
Beberapa rakan lain juga agak keletihan ketika mendaki anak tangga yang kecuramannya di sesetengah tempat mencecah hampir 70 darjah. Cabaran lain adalah menahan kesejukan yang suhunya mencecah lima darjah selsius dan tiupan angin yang agak kencang. Keadaan itu hampir mematahkan semangat kami.
Saya terpaksa meninggalkan kelompok pendaki di belakang kerana saya nekad untuk sampai ke puncak Adam sebelum matahari terbit. Satu demi satu anak tangga saya daki dan hati saya berkata, betapa hebatnya gunung Adam ini. Sebelum ini, saya pernah menjejak kaki ke Everest Base Camp dan gunung Kalapathar di Banjaran Himalaya, Gunung Kinabalu dan Gunung Trusmadi di Sabah, dan Gunung Tahan di Pahang. Tetapi mengapa pendakian kali ini dirasakan begitu sukar untuk sampai ke puncak Adam. Namun, keinginan melihat sendiri bekas tapak kaki Nabi Adam a.s kembali menguatkan semangat saya sehingga akhirnya saya sampai ke puncak gunung itu tepat pukul 6 pagi, 14 Mei 2009.

Saya menjadi orang ketiga sampai di puncak Adam dalam ekspedisi ini, selepas Yazid Rasad dan Rosli Rahmat. Saya melaungkan 'Allahhu Akbar' sebaik sahaja kaki menjejak puncak Adam dengan linangan air mata. Ini kerana, bagi saya puncak Adam sangat istimewa khususnya untuk umat manusia di dunia ini.
Seorang demi seorang rakan-rakan lain tiba diikuti Ishak Darus, Saiful Shahul Hameed Amran Yunan, Shahul Hameed, Shamsul Bahari Tokit, Marzuki Hamzah, Zolkepeli Darus, Radzi Rashidi, Samsuddin Jaafar, Mazlan Harun, Razak Mohamad, Samsuddin Ahmad, Khairul Amali Daharum dan akhir sekali, Nordin Rahmat.
Kami berpelukan dengan linangan air mata sebagai tanda bersyukur. Terbukti semangat yang tinggi dan keazaman yang kuat membolehkan saya dan rakan-rakan menawan puncak Adam.

Kesempatan berada di puncak tidak disia-siakan apabila ada anggota kembara melaungkan azan, solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran sambil menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan yang disulami dengan sinar mentari yang mula menampakkan diri.
Selepas puas bergambar dan bersantai, kami meninggalkan puncak mulai pukul 9 pagi sambil membawa pulang pengalaman jasmani dan rohani yang tidak ternilai.



2 ulasan:

anak beringin berkata...

assalamualaikum...

Tuan ,
Alhamdulillah... pengalaman yg menarik...
minta izin share dalam blog .

terima kasih

namialus67 berkata...

Silakan tuan,jangan lupa berikan link blog ini.

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: