NUFFNANG

Isnin, Disember 26, 2011

Gurun Sahara pernah hijau





SEORANG wanita bertubuh kecil dengan dua kanak-kanak disemadikan dengan hamparan bunga-bungaan pada kira-kira 5,000 tahun lalu di satu lokasi yang siapa sangka, kini merupakan kawasan tandus, Gurun Sahara.

Lengan kurus kanak-kanak tersebut masih 'memeluk' wanita itu apabila para pengkaji menemui rangka mereka dalam satu kawasan perkuburan purba, sekali gus memberi bayangan akan peradaban manusia pada ribuan tahun lalu di kawasan tersebut yang pernah subur dan hijau.
Paul Sereno dari University of Chicago, Amerika Syarikat dan rakan-rakannya ketika penemuan itu sebenarnya sedang mencari fosil tinggalan dinosaur di kawasan gurun tersebut di negara Niger. Namun, pencarian mereka berakhir dengan satu penemuan yang menakjubkan.
Penemuan itu telah diperincikan dalam satu sidang akhbar di Chicago baru-baru ini.
"Kami telah menemui sesuatu yang paling tidak kami jangkakan. Apabila kami menemui perkara seperti ini di tengah-tengah kawasan gurun ini, kami berasa aneh," katanya.
Kira-kira 200 kubur manusia telah ditemui dalam usaha pencarian fosil dinosaur di situ pada tahun 2005 dan 2006. Tidak ketinggalan juga, haiwan seperti ikan besar dan buaya.
"Di mana sahaja anda pergi, anda akan menemui tulang-tulang haiwan yang tidak mendiami gurun," kata Sereno. "Kami mula sedar bahawa kami berada di 'gurun' yang hijau."
Kubur-kubur tersebut yang tersembunyi di sebalik laluan angin gurun yang panas, dipercayai terletak berdekatan tasik pada masa itu.
Dahulu, perubahan orbit matahari menyebabkan angin monsun pernah bertiup jauh hingga ke utara yang membentuk landskap bertasik dan kawasan subur sekali gus menarik kedatangan haiwan dan manusia.
Kajian tersebut dibiayai oleh National Geographic, Yayasan Sains Kebangsaan AS, Island Fund of New York Community Trust dan Yayasan Penyelidikan Antropologi Wenner-Gren.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: