NUFFNANG

Selasa, Disember 27, 2011

King Ghaz pahlawan bangsa

Allahyarham Tun Ghazali Shafie telah meninggalkan kita tetapi peristiwa beliau terselamat daripada nahas kapal terbang dan menjadi perunding pembebasan tebusan Tentera Merah Jepun pasti tidak dapat dilupakan rakyat negara ini.


KING GHAZ ketika berehat di Hospital Kuala Lumpur selepas terselamat daripada nahas kapal terbang pada tahun 1982.


TUN Ghazali Shafie telah meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Wangsa Baiduri Subang Jaya, Selangor kira-kira pukul 7.45 malam 24 Januari lalu.

Jenazahnya kemudian dipindahkan ke rumah adik perempuannya, Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin Damansara Utama sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan bersebelahan Masjid Negara.
Allahyarham yang popular dengan gelaran King Ghaz kerana sikap tegasnya dalam menjalankan tugas itu sememangnya layak digelar seorang pahlawan.
Allahyarham menang pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO pada 1981 selain mempunyai rekod berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menggigil
Peristiwa terselamat dalam nahas kapal terbang Cessna 206 yang beliau pandu pada 10 Januari 1982 di Hutan Janda Baik di sempadan Selangor dan Pahang merupakan perkara ajaib yang terjadi kepada dirinya.
Namun, dalam nahas itu, dua insan yang lain iaitu Ketua Jurulatih Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Varghese Chacko dan pengawal peribadinya Charon Daan maut.
Menurut laporan akhbar, sebaik sahaja pesawat itu terhempas beliau serta-merta membuka pintu kapal terbang, menanggalkan tali pinggang dan melompat keluar.
"Saya berada dalam kebingungan dan yang terfikir ketika itu adalah untuk mencari orang menyelamatkan saya," ujarnya dalam laopran akhbar Utusan Malaysia bertarikh Selasa 12 Januari 1982.
Menurut sumber keluarganya, pesawat itu mendarat atas tumbuhan rotan dan King Ghaz telah melompat keluar.


PARA tebusan pengganas Tentera Merah Jepun dibawa keluar dari Bangunan AIA, Jalan Ampang.


Beliau kemudian menemui sebatang anak sungai dan peluang itu diambil untuk membersihkan dirinya sebelum mencari bantuan sehingga kegelapan malam menghalang beliau meneruskan perjalanan.
King Ghaz cuba melelapkan mata tetapi gagal kerana memikirkan nasib dua orang lagi penumpang pesawat selain bunyi babi hutan dan kancil yang mengganggunya.
"Malam itu begitu sejuk dan saya menggigil," katanya lagi.
Bagi menghilangkan haus dan membasahkan bibir, beliau minum sedikit air sungai.
Perjalanan diteruskan dengan harapan untuk mencari kampung bagi mendapatkan bantuan namun dalam usaha itu beliau terjatuh dalam gaung yang penuh dengan air.
Dengan pakaian yang basah kuyup, beliau keluar dari takungan air itu dan ketika itu beliau melihat sebuah helikopter di ruang udara.
"Tetapi saya berada di bawah pokok dan mereka (pekerja penyelamat dalam helikopter) tidak dapat melihat saya walaupun saya melambaikan sapu tangan," katanya lagi.
Hanya selepas dijumpai oleh beberapa penduduk kampung barulah beliau tersedar telah berjalan jauh dari tempat nahas.
Di tempat pendaratan helikopter itu, King Ghaz telah ditarik naik dan diterbangkan ke Kampung Janda Baik yang menjadi pangkalan gerakan mencari dan menyelamat.
Ajaibnya, peristiwa itu tidak menghalangnya untuk terus memandu kapal terbang.
"Sudah tentu saya akan terus memandu kapal terbang. Saya akan terus terbang selagi saya berkelayakan untuk mendapatkan lesen," katanya sambil memberitahu hanya dengan kehendak Tuhan beliau terselamat.
King Ghaz menerima lesen penerbangan pada tahun 1971 dengan mencatat hampir 2,000 penerbangan dalam tempoh 10 tahun.
Pakar runding
Satu lagi peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah kebijaksanaan King Ghaz menjadi perunding utama kerajaan dalam membebaskan sejumlah tebusan oleh lapan orang pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) pada Ahad 4 Ogos 1975. JRA menawan seluruh tingkat sembilan Bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Bangunan tersebut turut menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Sweden.
Puluhan kakitangan diplomatik dan orang awam ditawan kumpulan pengganas dari Negara Matahari Terbit itu.
Anggota JRA bertindak demikian kerana mahu memaksa kerajaan Jepun dan Sweden memenuhi tuntutan untuk segera membebaskan tujuh rakan mereka yang ditahan di penjara kedua-dua negara.
Seramai 53 orang termasuk pegawai Kedutaan AS dan Sweden dijadikan tebusan sebelum dibebaskan 79 jam kemudian dalam insiden penuh suspen yang turut mengejutkan seluruh dunia.
Kebijaksanaan King Ghaz terserlah apabila Perdana Menteri pada masa itu, Allahyarham Tun Abdul Razak mengadakan satu sidang akhbar khas di pejabatnya pada keesokan harinya membincangkan isu tersebut.
Tengah hari itu juga, King Ghaz yang merupakan Menteri Dalam Negeri tergesa-gesa pulang dari Jakarta untuk mengambil alih tugas Tan Sri V. Manickavasangam berunding dengan anggota Tentera Merah Jepun.
Malam berikutnya, sembilan orang dibebaskan oleh JRA, kesemuanya wanita dan kanak-kanak.
Setibanya pengganas JRA ke kapal terbang DC-8 rundingan berterusan diadakan oleh Tun Ghazali melalui telefon. Tanpa mempedulikan rasa penat dan letih, King Ghaz menggagahkan dirinya demi keselamatan tebusan.
Hasil kepintaran King Ghaz akhirnya pihak JRA bersetuju membebaskan semua tebusan. Akhirnya, empat hari selepas menawan tingkat 9 Bangunan AIA di Kuala Lumpur, rundingan diselesaikan dengan kesemua tebusan dilepaskan di lapangan terbang. Enam butir bom buatan sendiri kepunyaan JRA juga diletupkan di hujung selatan landasan Lapangan Terbang Subang, Selangor iaitu jauh daripada khalayak manusia.
Tepat pukul 5.45 petang hari itu, kapal terbang DC-8 meninggalkan Subang. Pengganas Tentera Merah Jepun itu berlepas ke Libya dengan pesawat Penerbangan Jepun.
Pengalaman yang dilalui Allahyarham Tun Ghazali Shafie menunjukkan beliau seorang ikon negara yang hebat. Beliau ibarat satu dalam sejuta dan pengorbanannya untuk bangsa, agama dan negara pasti terus terpahat dalam sejarah negara ini.

SOURCE LINK

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: