Nuffnang Ads

Sabtu, September 01, 2012

Manusia pertama jejak kaki ke Bulan


“LANGKAH kecil untuk seorang lelaki ini adalah langkahan besar bagi manusia sejagat,” demikian ungkapan emas Neil Armstrong atas kejayaan misi Apollo 11 mendarat di bulan pada 20 Julai 1969.

Mantan komander Apollo 11 itu meninggal dunia akibat komplikasi susulan pembedahan pintasan jantung yang dijalaninya pada awal bulan Ogos iaitu dua hari selepas beliau menyambut hari lahirnya pada 5 Ogos lalu.
Neil Alden Armstrong berusia 38 tahun ketika detik bersejarah itu. Walaupun berjaya merealisasikan impian negaranya sehingga meletakkan nama beliau di kemuncak kejayaan tertinggi, Armstrong tidak pernah rasa bangga diri.
“Saya rasa semua orang tidak hanya mahu dihargai berdasarkan pencapaian luar biasa, namun mahu dihormati atas usaha dalam kerja-kerja seharian yang dijalani,” luah Armstrong dalam satu wawancara bagi program 60 Minutes yang disiarkan stesen CBS pada tahun 2005.
Kejayaan misi Apollo 11 tersebut yang disertai dua lagi angkasawan, Buzz Aldrin dan Michael Collins menandakan kemenangan AS ke atas Perang Dingin dalam perlumbaan penerokaan angkasa. Ketegangan antara AS dan Kesatuan Soviet bermula pada 4 Oktober 1957 dengan pelancaran Sputnik 1, satelit seberat 184 paun milik Kesatuan Soviet.


Ketika mereka mendarat di kawasan yang dikenali sebagai Lautan Ketenteraman (Sea of Tranquility), minyak kapal angkasa tersebut hanya cukup untuk tempoh 30 saat sahaja. Armstrong kemudiannya menghubungi bilik kawalan di Bumi dan mengatakan: “Houston, pangkalan ketenteraman di sini, The Eagle telah mendarat.”
Apollo 11 menempuhi perjalanan sejauh 250,000 batu, bersamaan dengan empat hari untuk tiba ke bulan. Armstrong berada di permukaan bulan selama 2 jam 32 minit manakala Aldrin meluangkan masa kurang 15 minit daripada waktu Armstrong.
ARMSTONG mengambil foto sampel yang dikutip Edwin Buzz Aldrin dalam satu sesi latihan sebelum ke bulan.


Kedua-dua angkasawan itu mencacakkan bendera AS, mengambil beberapa sampel batuan bulan dan menjalankan eksperimen saintifik sebelum kembali ke kapal utama yang dikawal Collins. Ketiga-tiga mereka pulang dengan selamat dan dijulang sebagai wira.
Ia juga menjadi momen bersejarah di seluruh dunia. Detik pelancaran dan pendaratan disiarkan secara langsung di televisyen (TV) dan kira-kira 500 juta orang atau seperlima populasi manusia di dunia menonton dengan keterujaan ketika Armstrong berjalan di atas permukaan bulan.
Misi Apollo 11 menjadi penerbangan angkasa terakhir bagi Armstrong. Sekembalinya ke Bumi, beliau dilantik sebagai pentadbir aeronautik di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS dan meninggalkan agensi itu pada tahun 1971.
Sikap sederhana
Lelaki yang telah menerbangkan lebih 200 jenis pesawat termasuk jet, roket, helikopter dan peluncur (glider) itu kemudiannya memilih untuk keluar daripada lensa umum. Sifat beliau yang pendiam dan suka bersederhana mendorong Armstrong hidup menyendiri bersama keluarganya di kampung halamannya di Ohio.
Anak sulung daripada tiga beradik itu mendampingi kerjaya sebagai seorang profesor di Universiti Cincinnati pada tahun 1971 sehingga 1979. Tahun selebihnya banyak difokuskan kepada kerja-kerja di ladang miliknya dan hidup tenteram bersama isteri dan anak-anaknya.
Beliau pernah ditanya bagaimana rasanya apabila mendapat tahu kesan tapak kakinya kemungkinan akan kekal di permukaan bulan untuk ribuan tahun? “Saya berharap suatu hari nanti akan ada seseorang pergi ke sana dan memadamkan tanda yang ditinggalkan itu.”
Penulis buku First Man: The Life of Neil A. Armstrong, James Hansen memberitahu CBS: “Segala perhatian yang diberikan seluruh orang kepada gelaran manusia pertama berpijak di bulan tidak difahami Armstrong dan merasakan ia sesuatu yang tidak wajar untuk diperbesarkan.”
John Glenn, bekas angkasawan NASA yang juga sahabat Armstrong menyatakan: “Beliau bersedia menggalas misi negara dan bangga dengan pencapaian tersebut, namun masih mampu kekal sebagai individu yang sama. Sifat rendah diri beliau tidak pernah hilang.”
Luahan hati Amstrong
OBAMA (kanan) bersama Armstrong pada mesyuarat ulang tahun NASA ke-40 di Rumah Putih, di Washington, DC, tiga tahun lalu.


Selepas karier aeronautik Armstrong berakhir, beliau didekati beberapa kumpulan politik. Tidak seperti dua bekas angkasawan, Glenn dan Harrison Schmitt yang menjadi senator AS, Armstrong menolak kesemua tawaran tersebut.
Mereka yang mengenali Armstrong dengan rapat tahu bahawa beliau suka bermain golf, aktif dalam persatuan setempat dan kerap makan tengah hari di restoran yang sama di kawasan kediamannya.
“Armstrong tidak gemar ditemuramah namun beliau bukan lelaki yang pelik atau sukar dibawa berbual. Beliau hanya tidak suka menjadi sebutan ramai,” ujar rakannya dari Universiti Cincinnati, Ron Huston.
Dalam satu majlis sekitar bulan Februari 2000, Armstrong meluahkan kekecewaan beliau terhadap misinya ke bulan: “Secara jujur, saya tidak pernah memasang impian untuk ke bulan.”
Dilahirkan pada 5 Ogos 1930 di Wapakoneta, Ohio, Armstrong merupakan anak pertama kepada pasangan Stephen dan Viola Armstrong. Beliau berkahwin dengan Janet Sharon yang dikenali di kolej pada tahun 1956 dan bercerai pada tahun 1994. Beliau kemudiannya mengahwini Carol Knight pada tahun 1999.
Sejak kali pertama menaiki kapal terbang pada usia 6 tahun, Armstrong bertekad untuk mendalami dunia penerbangan. Zaman remajanya dihabiskan dengan mereka beberapa model kapal terbang dan berjaya memiliki perpustakaan penerbangan peribadi yang amat besar.
Duit yang diperoleh hasil pekerjaan di sebuah farmasi digunakan untuk mengambil kelas penerbangan dan ketika berumur 16 tahun, Armstrong mendapat lesen untuk terbang, lebih awal daripada lesen memandu kereta.
Zaman sekolah menengah pula menyaksikan kecemerlangan Armstrong dalam subjek Matematik dan Sains sehingga dianugerahkan biasiswa tentera laut AS untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Purdue, Indiana pada tahun 1947.
AKHBAR The New York Times menyiarkan berita kejayaan angkasawan Amerika Syarikat yang berjaya menjejakkan kaki ke bulan.


Sambung pengajian
Beliau meninggalkan universiti seketika bagi menjadi juruterbang tentera laut dan dilantik sebagai juruterbang misi pertempuran dalam Perang Korea dan menerima tiga pingat.
Usai peperangan, Armstrong menyambung kembali pelajaran di Purdue. Beliau tamat belajar pada tahun 1955 dengan ijazah kejuruteraan aeronautik. Beliau kemudiannya menyertai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada tahun 1958 yang kini dikenali sebagai NASA.
Pada bulan September 1962, Armstrong dipilih NASA sebagai angkasawan. Beliau menjadi juruterbang perintah bagi misi Gemini 8 dan juruterbang perintah sandaran untuk misi Gemini 11 yang dijalankan pada tahun 1966.
Dalam misi Gemini 8, Armstrong dan rakan angkasawan, David Scott berjaya melakukan cantuman kapal angkasa yang dipandu manusia dengan pesawat angkasa lain. Ia merupakan yang pertama dalam sejarah.
Ekoran kematian Armstrong, keluarganya telah mengeluarkan kenyataan rasmi: “Kami berasa amat sedih untuk memberitahu Neil Armstrong telah meninggal dunia. Beliau merupakan seorang suami, ayah, datuk, abang dan sahabat yang penyayang.”
Keluarga Armstrong berharap golongan muda di seluruh dunia dapat meminjam inspirasi Armstrong yang sering mencabar diri melakukan perkara mustahil.
“Apabila anda berjalan di luar rumah pada malam terang dan terlihat bulan tersenyum kepada anda, ingatlah kepada Armstrong dan kelipkan mata anda kepada bulan,” ujar keluarganya lagi.
Presiden AS, Barack Obama menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Rumah Putih menyatakan, Armstrong ialah wira Amerika yang terhebat bukan sahaja untuk waktu ini malah sampai bila-bila.
“Hari ini, semangat penerokaan Armstrong menyala di dalam diri mereka yang mengabdikan hidup meneroka dan mengkaji rahsia alam agar kita mampu menuju lebih jauh dalam dunia angkasa,” ujar Obama.
Aldrin yang juga manusia kedua berjalan di bulan sebelum ini berharap Armstrong dapat bersama-sama menyertai sambutan ulang tahun ke-50 kejayaan misi Apollo 11 pada tahun 2019.
“Setiap kali saya melihat bulan, ia mengembalikan memori bermakna itu. Saya sedar walaupun kami berada jauh dari Bumi, kami tidak bersendirian. Seluruh dunia mengambil bahagian dalam perjalanan terhebat itu.
Bekas angkasawan yang juga manusia terakhir pergi ke Bulan, Eugene Cernan berkata: “Armstrong merupakan epitome kepada tamadun manusia hingga ke hari ini.”
Armstrong meninggalkan dua orang anak lelaki, dua orang anak tiri, 10 cucu dan seorang adik lelaki dan adik perempuan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: