Nuffnang Ads

Selasa, Januari 08, 2013

Bermasalah dengan bos?

Nilai diri anda kenapa ia terjadi. Jika prestasi anda cemerlang, anda mungkin perlu bersemuka dengannya untuk menyelesaikan kemelut itu.

ISTILAH bos atau ketua membawa maksud seseorang yang diberi tugas untuk memimpin orang di bawah jagaan mereka demi mencapai sesuatu objektif. Selagi anda bekerja secara makan gaji, selagi itulah anda tidak dapat lari daripada melaporkan diri dan tugas kepada seorang bos.


Walaupun seorang pengarah urusan atau ketua pegawai eksekutif dianggap sebagai bos paling besar dalam sesebuah organisasi, beliau juga mempunyai bos yang perlu diberi laporan tentang perkembangan prestasi syarikat iaitu ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat tersebut.

Tidak kira apa pangkat anda, sama ada anda seorang kerani, eksekutif atau seorang pengurus, anda pasti mempunyai seorang bos yang akan menentukan dan memantau kerja-kerja yang perlu anda lakukan di pejabat.

Anda amat beruntung jika mempunyai bos yang tegas tetapi amat prihatin dengan prestasi dan masalah yang dihadapi oleh pekerjanya.

Tetapi ada juga pekerja yang tidak begitu bernasib baik dan terpaksa berhadapan dengan bos yang banyak kerenah dan sering membuat mereka hidup dalam tekanan.

Terdapat pelbagai jenis bos yang boleh menimbulkan masalah. Ini termasuklah bos yang suka mendesak, sombong, suka melakukan gangguan seksual terhadap pekerja, berat sebelah, hanya tahu mencari kesalahan pekerja, suka membesar-besarkan masalah kecil dan macam-macam lagi.

Kebanyakan pekerja beranggapan bahawa bos yang sering menyalahgunakan kuasa boleh membuat mereka berada dalam ketakutan dan mudah hilang keyakinan diri.

Kebanyakan bos pula merasa mereka mempunyai kuasa yang amat besar sehingga boleh mengakibatkan nasib dan periuk nasi pekerjanya tergugat

Bagi pekerja yang mempunyai masalah berurusan dengan bos, ingatlah! Anda mungkin tidak dapat merubah sikap bos anda, tetapi anda tidak boleh membiarkan diri anda berada dalam ketakutan.

Berikut ada beberapa tip bagaimana anda boleh menangani masalah dengan bos:

1. Sentiasa sediakan pelan B. Kebanyakan pekerja tidak berani untuk berbincang atau menegur sikap bos kerana takut akan dianaktirikan atau kehilangan kerja.

Jadi, sebelum anda bercadang untuk bersemuka dengan bos dan meluahkan perasaan atau ketidakpuasan hati anda terhadap beliau, seelok- eloknya anda sediakan pelan alternatif sekiranya tindakan anda tidak membuahkan hasil yang positif.

Pelan yang dimaksudkan adalah dengan memastikan anda sudah mendapat tawaran untuk bekerja di tempat lain agar anda tidak perlu risau tentang kehilangan kerja sekiranya bos tidak suka dengan tindakan anda.

2. Jangan cepat melatah dan terlalu emosi dengan sikap dan perangai bos yang sering menimbulkan masalah. Ini tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan mengundang masalah yang lebih besar. Jadi, seelok-eloknya anda bersabar dengan apa yang berlaku dan teruskan kerja harian seperti biasa.

Ini akan membuat bos anda rasa tindakan untuk menyakiti anda dan membuat anda melatah tidak berhasil. Lama-kelamaan mereka sendiri akan rasa malas untuk terus menimbulkan masalah dengan anda.

3. Terus-terang. Untuk menghentikan persengketaan dari terus berlaku, cara paling mudah ialah dengan meminta maaf dan bertanya pada bos apa yang membuat beliau rasa tidak puas hati terhadap anda. Minta nasihat daripada beliau tentang apa yang perlu anda lakukan untuk memperbaiki diri dan cara kerja anda.

4. Satu lagi keadaan yang boleh menimbulkan masalah adalah apabila jabatan anda menerima kedatangan pengurus baru. Kebiasaannya, bos baru yang dianggap sebagai penyapu baru mempunyai pelbagai idea yang ingin direalisasikan dengan membuat berbagai perubahan di pejabat.

Tanya pada bos baru bagaimana beliau mahu kerja-kerja di pejabat diurus agar tidak berlaku salah faham atau masalah dalam komunikasi.

5. Kekalkan tahap profesionalisma anda. Walaupun anda kurang senang dengan sikap bos, anda tidak perlu membenci mereka. Asingkan hal-hal kerja daripada hal-hal peribadi. Lakukan kerja anda seperti biasa dan ikut arahan yang diberi.

6. Nilai prestasi anda. Jangan hanya cari kesalahan orang lain tetapi lihat sendiri prestasi kerja anda. Adakah ia sudah cukup memuaskan atau sememangnya ada banyak lagi yang perlu diperbaiki. Dapatkan juga pendapat daripada rakan sejawat tentang prestasi anda sekiranya anda tidak nampak kelemahan diri anda.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: