NUFFNANG

Rabu, Mac 06, 2013

ATM SERANG MILITAN SULU JET BEDIL KUBU


FELDA SAHABAT (Sabah): Pasukan tentera Malaysia semalam melancarkan serangan habishabisan, termasuk menggunakan jet pejuang, ke atas penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Sehari setelah pemerintah Filipina menyeru agar semua pihak mengawal diri, Malaysia melancarkan serangan sekitar 7 pagi semalam ke atas sekitar 100 hingga 300 penceroboh itu yang menuntut supaya Sabah dikembalikan kepada pihak Kesultanan Sulu, yang kini tidak lagi berkuasa.
Jet pejuang mengebom Kampung Tanduo sebelum tentera darat menyerang kawasan itu, yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit yang luas.

"Semakin lama pencerobohan ini berlaku, semakin jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat meninggalkan Sabah," kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, lebih sembilan jam setelah serangan dilancarkan, ketua polis Malaysia, Tan Sri Ismail Omar, berkata bahawa operasi "pembersihan" masih tidak menemui sebarang mayat militan yang terkorban, lapor agensi berita AFP.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa sebahagian penceroboh yang mengaku pengikut Sultan Sulu mungkin telah dapat melarikan diri.

Perkara ini disahkan jurucakap kumpulan penceroboh itu, Encik Abraham Idjirani, di Manila.

"Mereka mendengar banyak letupan dan melihat dua bom digugurkan oleh pesawat Malaysia.

"Tetapi serangan itu jauh dari tempat ketua kumpulan dan pengikutnya berada," kata Encik Idjirani, yang bercakap dengan ketua kumpulan itu menerusi telefon pada 3 petang (waktu tempatan) semalam.
Datuk Seri Najib berkata beliau tidak ada pilihan kecuali menggunakan tindakan tentera bagi mengakhiri krisis keselamatan terbesar Malaysia itu.

Ini memandangkan penceroboh keturunan Sulu itu tetap enggan menyerah diri selepas lebih tiga minggu dan pertempuran setakat ini menyebabkan 27 orang terkorban.

Kesediaan pengikut Encik Jamalul Kiram III, 74 tahun, yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu, berkorban nyawa dalam perebutan wilayah itu telah mengejutkan Malaysia.

Di Manila semalam, Encik Kiram berkata bahawa para "pejuang'' Sulu, termasuk adik lelakinya, sedia berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi mencapai impian dan aspirasi mereka.

Kumpulan penceroboh itu telah bersembunyi di Kampung Tanduo sejak tiba di kawasan itu dengan menaiki bot bulan lalu.

Pengikut Encik Kiram, yang mengaku pewaris takhta Kesultanan Sulu, memberi amaran bahawa lebih ramai militan sedia ke Sabah.

Kesultanan itu, yang berpangkalan di pulau-pulau selatan Filipina, dahulu pernah menguasai sebahagian wilayah Borneo, termasuk Sabah.

Kuasa kesultanan itu mula lenyap seabad lalu tetapi pewarisnya terus bertegas bahawa mereka adalah pemilik sah negeri Sabah, yang kaya dengan sumber asli.

Mereka masih menerima bayaran pampasan nominal daripada kerajaan Malaysia di bawah perjanjian yang dibuat semasa zaman penjajahan British dahulu.

Sementara itu, ketika disoal tentang keselamatan pelancong di Sabah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed, yang ditemui di Singapura semalam, berkata:

"Tidak ada masalah, ini satu isu yang sedang ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa dan kami yakin ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat."

sumber : http://cyberita.asia1.com.sg

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: