Nuffnang Ads

Selasa, Mac 05, 2013

FILIPINA SERAHKAN KEPADA MALAYSIA

JURUCAKAP Presiden Filipina, Edwin Lacierda

MANILA - Pentadbiran Filipina semalam menyatakan nasib Raja Raja Muda Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya yang merupakan adik Sultan Jamalul Kiram III di Sabah kini terletak di tangan pihak berkuasa Malaysia selepas mereka enggan meletak senjata dan menyerah diri, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam

"Malaysia sudah mengambil alih. Terdapat kematian di pihak mereka. Mereka mahu menyelesaikannya mengikut cara mereka," kata jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda kepada rancangan Mornings@ANC.

Lacierda berkata, pentadbiran Filipina banyak kali merayu kepada keluarga Kiram supaya meninggalkan Sabah.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa anggota polis Malaysia dan para pengikut raja muda itu mati akibat pertempuran yang berlaku di Lahad Datu.

Katanya, keengganan Kiram telah mengancam kehidupan 800,000 warga Filipina yang hidup dengan aman di Sabah.

Kiram yang mendakwanya sebagai Sultan Sulu telah mengarahkan para pengikutnya pergi ke Sabah pada awal bulan lalu untuk tinggal di sebuah kawasan yang dianggapnya sebagai milik kesultanan tersebut berdasarkan sejarah.

"Kami telah meminta mereka meletakkan senjata dan menyerah diri atau menghadapi kematian. Sekarang keluarga Kiram meminta ketenangan yang sepatutnya dilakukan sebelum ini. Kiram patut membawa pulang pengikutnya dan mengadakan dialog.

"Mereka (para pengikut Kiram) enggan mendengar rayuan kami. Mereka berdegil kerana ingin menuntut hak," tambahnya.

Ditanya apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Filipina untuk keluarga Kiram, Lacierda berkata, pihak pemerintah telah memastikan keselamatan 800,000 warganegara itu di Sabah terjamin.

Katanya, pemerintah turut memberi bantuan kepada pengikut keluarga Kiram di Tawi-Tawi dan Sulu.

Lebih 100 pengikut Agbimuddin kini berada di Sabah.

Dalam wawancara itu, Lacierda berkata, pihaknya telah menghantar utusan ke Kiram di Taguig, Manila sebagai usaha meyakinkan beliau untuk mengarahkan pengikutnya menyerah diri.

Antara mereka yang bertemu dengan keluarga Kiram termasuk Penasihat Hal Ehwal Politik Presiden, Ronald Llamas; Penasihat Keselamatan Negara, Cesar Garcia dan Gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao, Mujiv Hataman.

Lacierda berkata, Kiram kerap bertukar-tukar fikiran semasa peringkat awal rundingan.

Pada satu ketika, Lacierda berkata, pemerintah dan keluarga Kiram hampir mencapai persetujuan sehinggalah satu panggilan telefon mengubah segala-galanya.

Katanya, hasil risikan mendapati terdapat pihak yang sengaja menghasut keluarga Kiram.

"Pada satu ketika kami hampir memeterai perjanjian dan secara tiba-tiba Kiram menghubungi seseorang, kemudian semuanya berubah. Kami sedang menyiasat perkara itu. Presiden berkata, kami tengah mencari siapa pihak itu tanpa menamakan sesiapa. Kamu menghantar 180 pengikut ke Lahad Datu dan menuntut Sabah. Itu tidak realistik," katanya.

Lacierda berkata, banyak pihak menuntut gelaran Sultan Sulu dan Kiram salah satu daripadanya.

Beliau berkata, isteri kepada pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro, Nur Misuari turut menuntut gelaran itu.

Jurucakap itu berkata, bapa Kiram telah dilucutkan gelaran sebagai putera mahkota oleh Sultan Sulu, Ismael Kiram.

Beliau berkata, mengikut catatan sejarah terdapat sembilan pihak menuntut gelaran itu.

Lacierda berkata, terdapat beberapa percubaan oleh pentadbiran Filipina untuk menyatukan kesemua waris dan mengukuhkan tuntutan ke atas Sabah.

Semasa Corazon Aquino menjadi Presiden, beliau cuba menyatukan semua waris tetapi Kiram merosakkan rundingan.

Ketika pemerintahan Presiden Fidel Ramos, Kiram sekali lagi menjadi dalang yang merosakkan rundingan.

Sementara itu, lebih 300 pendatang asing warga Filipina tiba dari Sabah pada malam Sabtu lalu dengan menggunakan feri di Zamboanga.

Menurut agensi berita AP semalam, sejumlah penduduk Filipina yang tinggal di Sabah tiba di sebuah pelabuhan Jolo semalam.

Jolo merupakan ibu negeri wilayah Sulu. - Agensi

SUMBER

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: