Nuffnang Ads

Isnin, Mac 17, 2014

MH370: Saya Tak Peluk Islam Kalau Tengok Perbuatan Syirik Ini...

RIDHUAN TEE ABDULLAH
MENGGUNAKAN bomoh dan sihir mencari MH370 telah menjadi bahan ketawa dunia. Rakyat Malaysia di luar negara, termasuk anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan kejadian ini.

Kita sering mendakwa, kita adalah negara Islam contoh. Hari ini, kita sedang ditertawakan kerana percaya kepada perkara-perkara khurafat, tahyul dan tidak masuk akal.

Persoalannya siapakah yang memanggil bomoh tersebut?
Apakah orang tersebut pernah menggunakan khidmat bomoh? Apakah tujuan khidmat bomoh itu digunakan? Jika benarlah ‘kesaktian’ bomoh tersebut, buatlah di tempat tertutup, bukanlah tempat terbuka sebegitu, hingga menjadi perhatian dunia, dengan alat lucu seperti teropong buluh, tikar, kelapa, labu sayung dan lain-lain.

Kejadian ini mengingatkan saya kenapa ajaran sesat berleluasa? Walaupun tidak masuk akal, tetapi ramai yang mempercayainya, terutama kalangan orang Melayu.

Bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai ada orang mengakui diri dia tuhan, Imam Mahdi, Rasul dan sebagainya.

Pengikut Ayah Pin mempercayai Ayah Pin boleh hidup di alam langit. Begitu juga pengikut Harun yang percaya Harun boleh menjadi tuhan. Ini tidak termasuk orang Jawa yang mengakui Imam Mahdi.

Jika ditanya orang kafir sekalipun, walaupun mereka sudah syirik, mereka tidak akan mempercayai perkara tersebut. Dalam isu kehilangan MH370, paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa mengikut cara masing-masing. Penampilan mereka tidak pelik.

Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah. Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh menjejaskan akidah.
Ini termasuk menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu-ilmu ghaib. Maksud saya, pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa tersembunyi.

Ilmu-ilmu ini hanya dimiliki oleh ALLAH SWT dalam firmanNya yang bermaksud, “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada ALLAH yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106)
Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, “Apakah tujuh perkara itu? Jawab Baginda, “Mensyirikkan ALLAH, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina”. (Hadis riwayat Bukhari)

Perlu diingat, umat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang akan menjejaskan akidah. Setiap daripada kita diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepada-Nya kerana ALLAH saja yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Saya amat bersyukur ramai kalangan kita yang melakukan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH SWT, mohon petunjuk.

Jika di darat tunjukkanlah, jika di laut, timbulkanlah, jika di udara, turunkanlah. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Serahkan semua kepada Yang Maha Esa dan Maha Kuasa.

Kepada orang bukan Islam, ingin saya jelaskan di sini perbuatan berbomoh seperti dilakukan ini bukan sumber daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia akan mengikut kaedah Islam.

Pandanglah agama Islam daripada sumber agama Islam itu sendiri, bukan daripada perbuatan orang Islam.

Ketika saya memeluk Islam pun dahulu, saya mengkaji Islam dan mendalami Islam. Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam.
Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang akan dapat memberi petunjuk dan menjumpai MH370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

Justeru, apa jua yang berlaku dalam pencarian MH370, kita berikhtiar, selebihnya kita serahkan kepada ALLAH SWT, yang lebih mengetahui hikmah semua kejadian ini.

- RIDHUAN TEE ABDULLAH -

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: