Nuffnang Ads

Ahad, April 06, 2014

Sejarah Awal Penubuhan Kor Risik Diraja

KOR RISIK DIRAJA
Setelah Loi Teck menghilangkan diri, Parti Komunis Malaya (PKM) mula menjadi lebih agresif dan ganas. Chin Peng mengambil alih teraju kepimpinan PKM pada Mei 1947. Jawatankuasa Pusat PKM melancarkan dasar ketenteraan dan merancang satu pemberontakan bersenjata bagi membentuk Republik Komunis Malaya.

PKM menubuhkan unit gerila yang dikenali sebagai Malayan Races Liberation Army (MRLA) dan masuk ke dalam hutan untuk melancarkan keganasan di seluruh Tanah Melayu. Ladang getah, lombong bijih timah, kilang-kilang dan orang-orang Inggeris serta pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Inggeris menjadi sasaran keganasan pengganas.

Bagi menangani masalah tersebut, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Edward Gent mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu mulai Jun 1948. Setelah sebulan Darurat diisytiharkan, Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan perjuangan bersenjata dengan melakukan beberapa serang hendap ke atas Pasukan Keselamatan (PK). 

Melalui kegiatan ini, PKM berharap agar dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka menguasai keadaan dan berada di dalam keadaan kuat, lantas mengharapkan sokongan penuh daripada rakyat terhadap perjuangan mereka. Anggapan dan harapan PKM ini ternyata meleset kerana di mana-mana sahaja, rakyat memperlihatkan sikap benci terhadap perjuangan PKM.

Dalam tahun 1953, keadaan darurat semakin memuncak. Pihak Inggeris mulai sedar tentang keperluan perisikan bagi membantu PK di dalam usaha mereka membanteras perjuangan bersenjata PKM. Serentak dengan ini, pada bulan Ogos 1953, seorang anak watan dari Kampung Enggor, Kuala Kangsar, Perak yang telah menjejakkan kaki ke dalam bidang ketenteraan pada 23 November 1952, telah diserapkan dan bertugas di ‘HQ 355 Field Security Section’ (FSS), ‘British Military Intelligence’ yang diketuai oleh Lt M E A Atkinson. 

Anak tempatan yang dimaksudkan ini ialah 8878 Pbt Hashim bin Haji Rauf, berkelulusan darjah 8 di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar, Perak. Sebaik sahaja tamat latihan rekrut di Port Dickson yang bermula pada 23 November 1952 dan tamat pada bulan Ogos 1953, beliau telah dipanggil bertugas di dalam organisasi perisikan tersebut.
Pemilihan anak tempatan untuk berkhidmat di dalam organisasi perisikan di peringkat awal dilakukan secara terperinci oleh pihak Inggeris. Hanya anggota yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris diambil bertugas dalam organisasi perisikan. 

Memandangkan Pbt Hashim memiliki kebolehan berkenaan dia telah diserap masuk ke dalam HQ 355 FSS. Sebagai permulaan, dia telah diberikan latihan sambil bekerja dalam bidang kajian (survey), perhubungan (liaison), tapisan keselamatan (security vetting) dan soal siasat (interrogation) selama setahun. 

Kebolehan dan kecekapan serta kesetiaan yang ditunjukkan oleh Pbt Hashim bin Haji Rauf semasa menjalankan tugas-tugas perisikan telah meyakinkan pihak Inggeris tentang kebolehan anak-anak tempatan di bidang perisikan dan seterusnya menggalakkan mereka merekrut lebih ramai lagi anak tempatan.

Pada awal tahun 1955, sekumpulan Pegawai Tidak Tauliah (PTT) dari Rejimen Askar Melayu, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan, Rejimen Persekutuan dan Jurutera Persekutuan telah dipanggil dan ditumpangkan ke ‘HQ 355 FSS’ untuk dilatih di dalam seksyen perisikan. Setelah menerima latihan lebih kurang enam bulan, ramai di antara mereka dihantar balik ke unit-unit asal oleh kerana tidak berkebolehan sebagai operator perisikan. Mereka yang telah berjaya adalah:

1. 5037 Kpl Majid bin Abd Rahman - bersara Sarjan pada tahun 1960 (Dari Rejimen Askar Melayu).
2. 300023 Kpl Ayub bin Dahalan - bersara Sarjan pada tahun 1962 (Dari Jurutera Persekutuan).
3. 6157 Kpl Hamid bin Mohamed - bersara Kolonel (Dari Rejimen Askar Melayu).
4. 201058 LKpl Dismas Fernandez - bersara PW I (Dari Rejimen Persekutuan).

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ‘HQ 355 FSS’ telah disusun semula dan dikenali sebagai ‘Federation Field Security Section’ (FFSS). Seksyen ini telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Tentera Persekutuan (HQ Malaya Command) yang bertempat di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Setahun kemudian, Markas Tentera Persekutuan telah berpindah ke Kementerian Pertahanan dan ‘FFSS’ telah diserapkan sebagai salah satu organisasi di dalam ‘Federation Military Police’ (FMP).
Pada tahun 1959, atas sebab-sebab perbezaan tugas di antara FMP dan FFSS, organisasi FFSS sekali lagi diubahsuai dan diletakkan di bawah ‘Malayan General Service Corps’ atau gelaran singkatnya MGSC-Int, walaupun demikian, kawalan gerakan ke atas organisasi ini diletakkan di bawah kawalan Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan (Operation, Plan and Intelligence Branch), Kementerian Pertahanan. Pada ketika itu, cawangan ini diketuai oleh seorang Pegawai Staf 1 berbangsa Inggeris berpangkat Leftenan Kolonel.

Rancangan pembesaran untuk FFSS mula dirancang sejak dari awal tahun 1959. Pada 6 Julai 1959, pihak Inggeris telah memanggil seramai 14 orang Junior Civil Liaison Officer (JCLO) yang pada ketika itu sedang bertugas dengan Cawangan Khas atau Special Branch (SB) Polis Persekutuan Tanah Melayu bagi melaksanakan kerja-kerja pengumpulan maklumat perisikan di medan. 

Kesemua anggota JCLO ini telah diberi pangkat Koperal dan dihantar ke Pusat Latihan Rekrut (PLR), Port Dickson untuk menjalani latihan ketenteraan. Selepas tamat latihan, mereka telah diserapkan ke dalam organisasi MGSC-Int. Kumpulan JCLO ini juga telah diberi latihan lanjutan di dalam bidang Keselamatan Medan (Field Security) dan Risik Tempur (Combat Intelligence).

Sempena pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, MGSC – Int telah diubah nama kepada ‘Military of Defence Intelligence Unit’. Serentak dengan perkembangan ini, Kementerian Pertahanan juga telah menyusun semula Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan yang pada masa itu diketuai oleh Lt Kol Bill Fargus. Sel Perisikan diketuai oleh Mej William Sheldon. 

Kekuatan anggota MGSG-Int pada masa itu ialah seramai 35 orang dan diketuai oleh Kapt J B R Moorthy (bersara Kapten). Pada bulan November 1963, jawatan Pegawai Staf 1 Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan telah diambilalih oleh pegawai tempatan. 

Pegawai yang pertama menjawat jawatan ini ialah Lt Kol Mahmud bin Sulaiman (bersara Mejar Jeneral). Di bawah pimpinan beliau, Cawangan Rancang dan Perisikan telah diberi nama baru, Jabatanarah Perisikan Bersama (JPB), yang dirasmikan pada 2 Mac 1965.
Lt Kol Mahmud bin Sulaiman telah bertukar ke jawatan yang lain pada 8 Jun 1965 dan tempat beliau telah diambilalih oleh Lt Kol Ronald Wee sehingga 3 Ogos 1965. Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, Lt Kol Jaafar Onn (bersara Leftenan Jeneral) telah menjawat jawatan ini sehingga 14 September 1967. 

Pegawai yang terakhir menjawat jawatan Pegawai Staf 1 Cawangan Rancang dan Perisikan ialah Lt Kol Osman bin Mohamad Zain (bersara Mejar Jeneral). Beliau telah mengambilalih dari Lt Kol Jaafar Onn dan menjawat jawatan tersebut sehingga 14 September 1968.

Sumber/army.mod.gov.my/krd/

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: