Nuffnang Ads

Jumaat, Mei 02, 2014

KDN Haramkann Novel 'Perempuan Nan Bercinta'

PEREMPUAN NAN BERCINTA - FAISAL TEHRANI 
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan novel 'Perempuan Nan Bercinta' karya Faisal Tehrani kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.

KDN 
KDN dalam kenyataannya hari ini menyatakan Perintah Larangan itu berkuat kuasa pada 9 April lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh negara.

KDN mengeluarkan perintah larangan terhadap novel itu kerana ia mengandungi unsur mempertikai dan memperlekeh hadis diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah yang seolah-olah mendiskriminasi wanita selain ia mendewakan Ahlul Bayt secara berlebihan.

Novel itu juga menafikan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab yang diterima selain mengandungi unsur seolah-olah ajakan menentang pihak berkuasa Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan alasan kebebasan bermazhab.

Menurut KDN keputusan itu dibuat bagi menghalang cubaan menyuntik propaganda Syiah menerusi karya kreatif yag mungkin disasarkan kepada golongan akademik dan remaja.

"Ia juga mungkin boleh mendatangkan implikasi negatif dengan mengelirukan pegangan syariat Islam (Ahli  Sunnah Wal Jamaah) umat Islam di negara ini dan memberi implikasi serius dari sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam di Malaysia.

"Pertembungan dua aliran antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah juga dikhuatiri boleh mencetuskan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam di kalangan umat Islam," kata KDN.

Menurut KDN larangan penerbitan itu adalah bertepatan dengan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996, yang antara lain memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.  

Sehubungan itu, sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Novel berkenaan diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Bhd sertadicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Bhd. - Bernama-

SINOPSIS : PEREMPUAN NAN BERCINTA - FAISAL TEHRANI 
KULIT BUKU NOVEL-PEREMPUAN NAN BERCINTA
Dr Tengku Idora adalah pejuang feminisme yang telah mengasaskan pertubuhan Modest Women Oriental (MWO) manakala Dr Ali Taqi adalah seorang profesor yang fasih tentang karya kebudayaan dan pemikiran. 

Dia mempunyai Pusat Kefasihan Kebudayaan dan Pemikiran (FASEH). Mereka berdua adalah musuh tradisi yang sering dipertemukan di persidangan dalam membentangkan wacana-wacana yang menjadi teras pegangan dan perjuangan masing-masing. Mereka saling mempertahankan hujah-hujah yang mendasari prinsip-prinsip perjuangan mereka.

Plot bermula dengan menggambarkan kegalauan fikiran Dr Tengku Idora yang sering bermimpi dan berhalusinasi akan permintaan arwah bondanya Tengku Melor yang sentiasa mengulang-ngulang pesanan agar  'mencari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, mencari perempuan yang menentang meskipun sudah mati'. 

Walaupun dia bingung dengan kejadian yang acapkali menimpa dirinya sejak kebelakangan ini, namun perjuangannya untuk menegakkan hak-hak wanita yang berorientasikan barat tetap dilaksanakan hingga membawa dia terbang ke Jerman untuk bertarung wacana dengan musuh tradisinya iaitu Dr Ali Taqi.

Semasa persidangan itu berlangsung, Dr Tengku Idora yang sebelum ini selalu diganggu oleh bayangan imej arwah bondanya, tiba-tiba jatuh pengsan di pentas persidangan itu. Akibat daripada peristiwa itu, Dr Tengku Idora telah koma dan kemudiannya disahkan telah mengidap penyakit barah yang telah sampai ke tahap yang serius. Perkara ini mendatangkan perasaan dukacita buat keluarga dan teman lelakinya Bastian.

Zanjabila adalah adik perempuan Dr Tengku Idora. Dia telah berkahwin dengan Hashemi. Diantara Dr Tengku Idora, Hashemi dan Zanjabila, akan wujud perbincangan yang berakhir dengan pertikaian kerana mereka selalu saja tidak sependapat.

 Dalam banyak hal mereka selalu mempunyai percanggahan pendapat khususnya dalam hal yang melibatkan ideologi dan pemikiran. Namun begitu, Zanjabila adalah seorang adik yang baik dan dia sangat mengambil berat akan perihal kakak kandungnya yang seorang itu.

Plot dikembangkan lagi dengan menyingkap awal perjumpaan diantara Hashemi dan Zanjabila hingga terjadinya pernikahan mereka berdua. Hashemi yang merupakan pengikut dan pembantu setia Dr Ali Taqi telah membawa isterinya, Zanjabila untuk berjumpa Dr Ali Taqi untuk membincangkan perkara-perkara yang menjadi persoalan di minda Zanjabila. 

Sebenarnya sebelum Zanjabila bertemu Hashemi, dia telah lebih dahulu mengenali nama Dr Ali Taqi menerusi penulisan Dr itu yang banyak tersiar di beberapa buah makalah. Apatah lagi, selaku pengkaji budaya, dia sangat tertarik dengan pemikiran-pemikiran Konsep Islam Kebudayaan yang disuburkan oleh Dr Ali Taqi.

Siti Fatimah adalah puteri kepada Dr Ali Taqi dan Dr Khadijah. Siti Fatimah sangat cintakan bidang politik dan dia suka mengkaji tentang hal ini. Pada pendapatnya, kalimat politik itu sahaja sudah menuntut satu kajian yang amat luas. Disebabkan hal ini, dengan bantuan abang iparnya Hanafiah iaitu suami kepada kakaknya Dr Zainab, Siti Fatimah akhirnya telah di hantar ke Lubnan. Selain untuk memperbaiki bahasa Arabnya, Siti Fatimah juga telah menelaah mengenai Hezbollah.

Di Lubnan, Siti Fatimah telah berkenalan dengan seorang pemuda berketurunan Arab yang tampan, berilmu dan dilengkapi akhlak yang didamba setiap wanita. Nama lelaki itu adalah Mustafa Chamran. Oleh kerana perasaan cinta telah membenih di hati mereka selain mempunyai minat yang sama iaitu politik, maka Mustafa Chamran telah mengambil keputusan untuk melamar dan mengusulkan perkahwinan sementara untuk mereka.

 Namun, usul untuk mengadakan perkahwinan sementara itu mendapat bantahan daripada Dr Ali Taqi, walaupun perkara itu sangat disokong oleh abang Siti Fatimah iaitu Hussein. Hussein berpendapat yang nikah sementara itu merupakan satu jalan keluar untuk mengelakkan pergaulan bebas yang haram.

Sementara itu, Bastian yang merupakan seorang lelaki berbangsa Jerman yang mengkaji ilmu Kesusasteraan Melayu, secara peribadi sangat berminat untuk mendalami ajaran Islam. Dia juga, dalam diam sangat mencintai Dr Tengku Idora. Akhirnya, Bastian telah memeluk Islam dan berkahwin dengan Tengku Idora.

Seterusnya, apa yang bakal terjadi?. Bagaimana kisah Dr Tengku Idora dan Bastian atau nama Islamnya Abbas?. Bagaimana pula mimpi tentang arwah bondanya yang acapkali menggangu lenanya?. Bagaimana penghujung kisah tentang Siti Fatimah dan Mustafa Chamran?. Dapatkah mereka berkahwin sementara?. Yang paling penting, apakah kesudahan kisah Dr Ali Taqi dalam rentetan kisah ini?. Jika mahukan jawapannya, anda perlu hadami kisah ini sendiri.

Komen Admin:
Novel ini adalah kesinambungan dari novel terdahulu iaitu yang berjudul Tuhan Manusia. Semenjak dari dulu, selama mengikuti perkembangan tulisan Dr Faisal Tehrani ini. Boleh dikatakan semua  karya beliau menarik dengan gaya bahasa dan teknik penulisan. 

Memang tidak dinafikan, beliau pandai bermain dengan kata-kata lalu disulam hingga menjadi serangkaian ayat yang indah untuk dibaca. Setiap penulisan dalam karya beliau pasti disertakan dengan emosi hingga menjadikan ungkapan ayat yang tercipta itu hidup kerana tercurah perasaan di dalamnya.

Ini boleh dilihat dalam babak perkenalan diantara Zanjabila dan Hashemi. Walaupun peristiwa itu berlangsung singkat, namun pembaca dapat menjiwai perasaan Zanjabila yang tertarik dengan Hashemi. Begitu juga tentang kisah percintaan dalam diam antara Siti Fatimah dan Mustafa Chamran. 

Walaupun perjalanan kisah cinta mereka sekejap, namun penulis berjaya meninggalkan kesan romantis di hati pembaca. Tidak lupa kisah Dr Tengku Idora bersama Bastian yang walaupun mempunyai perbezaan dari segi pendapat, namun, itu tidak menjarakkan hubungan mereka. Penulis berjaya membuai perasaan pembaca menerusi penciptaan watak-watak sebegini.

Sebenarnya selain daripada watak-watak utama yang disebutkan di atas, wujud juga watak-watak kecil yang mempunyai peranan besar dalam menghidupkan karya ini. Contohnya tentang watak nenda Dr Tengku Idora dan Zanjabila yang melalui watak ini penulis telah mengisahkan tentang tuntutan pemakaian hijab dengan panjang lebar.

Briana pula merupakan teman seperjuangan Dr Tengku Idora dan merupakan seorang "Aties", tetapi akhirnya memeluk agama Islam. Berbeza dengan watak Quintilla, walaupun dia adalah rakan baik Dr Tengku Idora di MWO tetapi setelah mendapat tahu yang Dr Tengku Idora telah berpaling tadah dari perjuangan mereka, menjadikan dia sangat mendendami Dr Tengku Idora. 

Watak-watak kecil lain seperti Nanges yang merupakan sepupu Mustafa Chamran. Dia banyak mengetahui tentang diri Mustafa Chamran dan perjuangannya. Asma pula adalah rakan Siti Fatimah semasa dia berada di madrasah milik Hezbollah yang bertempat di Bika.

Latar tempat banyak berlaku di Malaysia, Jerman, Mekah dan Madinah. Selain itu latar tempat lain yang wujud tetapi menggunakan teknik imbas kembali seperti Amsterdam, Iran iaitu Qom dan Taheran, Brussels, Oran, Algeria dan Lubnan.

Watak yang mempunyai peranan utama dalam menghidupkan penulisan ini adalah watak Dr Ali Taqi. Penulis  menggunakan watak Dr Ali Taqi untuk menyampaikan hujah-hujah tentang falsafah pemikiran. Semuanya terungkap menerusi dialog-dialog dan perbincangan yang telah diadakan diantara watak-watak lainnya.


Banyak isu dan topik telah disentuh menerusi watak ciptaan penulis ini. Namun begitu, hujah pemikiran yang disampaikan melalui watak-watak tersebut mungkin akan menimbulkan kontroversi dan polemik buat sesiapa sahaja yang tidak sependapat dan sealiran dengan gaya pemikiran itu. Wallahualam.-ALAMCYBER2020-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: