Nuffnang Ads

Rabu, Julai 02, 2014

FAHAMAN KASIM AHMAD DISAHKAN KUFUR DAN MURTAD

Kasim Ahmad
KUALA TERENGGANU - Kenyataan dan ucapan Kasim Ahmad yang disampaikan pada ‘Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian’ yang pada 15 hingga 16 Februari lalu, disahkan sebagai kufur dan murtad.

Datuk Mohd Rozali Saleh
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Pertama 2014 yang bersidang pada 9 Mac lalu sebulat suara membuat keputusan itu.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu memutuskan fahaman atau golongan tersebut adalah sesat, menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah mereka.

“Berdasarkan kepada ucapan Kassim Ahmad itu, terdapat unsur-unsur penyelewengan iaitu mempertikaikan syahadah yang kedua; mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum.

“Ia turut mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat yang telah sabit dalam al-Quran, Hadis dan Ijmak; mempertikaikan hukum selawat yang sabit dalam al-Quran, Hadis dan Ijmak serta membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat,” katanya di pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Jelasnya, jawatankuasa itu memutuskan bahawa orang yang terbabit dengan ucapan tersebut telah terkeluar dari Islam kerana mengingkari hukum Islam yang sabit dalam al-Quran, Hadis dan Ijmak.

Sehubungan dengan itu, fahaman yang berunsurkan penolakan hadis ini perlu disekat daripada berkembang.

“Sebarang penyebaran fahaman tersebut dilarang dan ditegah sama sekali. Antara larangan dan tegahannya merangkumi menetapkan dan menegaskan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung fahaman berunsurkan penolakan hadis adalah diharamkan serta tidak dibenarkan sama sekali.

“Fahaman itu wajib disekat dari berkembang di dalam Terengganu berdasarkan banyak percanggahan di dalam fahaman tersebut,” katanya.

Sumber : WARTAWAN SINAR HARIAN/2 Julai 2014

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: