ANDA PERNAH BERHADAPAN DENGAN SITUASI INI DI MALAYSIA???, BACA PETIKAN AKHBAR BERITA HARIAN, SINGAPURA MENGENAI REJIMEN 6 SIR (Singapore Infantry Regiment)
Prebet (Pte) Soh Wei Siang, 22 tahun sedang bertugas mengawal sebuah pusat penting apabila ternampak seorang penumpang bas mengambil gambar bangunan pusat itu.
Oleh kerana mengambil foto tanpa izin dilarang di semua pusat-pusat penting, Pte Soh mula bertindak. Dengan pantas beliau mengingat ciri-ciri penumpang tersebut, usianya, pakaiannya, ketinggiannya, dimana dia berada, nombor plat bas dan hala kenderaan tersebut.
Semua ini dilakukannya dalam masa lima saat ketika bas itu bergerak meninggalkan anggota NS sepenuh masa.
Pte Soh melaporkan kejadian itu kepada pegawainya. Dengan maklumat yang diberikan, SAF dan polis dapat menahan bas itu dan mengenal pasti penumpang yang mengambil gambar itu dan melanjutkan siasatan.
Sejak akhir 2001, askar-askar SAF meronda pusat-pusat awam penting bagi meningkatkan kawalan keselamatan. Namun berdepan dengan ancaman pengganasan dari pelbagai negara dan konflik kecil serta penyusunan semula keamanan, adalah penting bagi sebuah battalion aktif dilatih untuk menghadapi cabaran serupa itu.
“Khususnya kami sebuah pasukan yang diperbesarkan tanggungjawabnya,” kata ketua 6 SIR Mejar Wong Weng Kong.
“Kami mempunyai sebuah platoon khas yang dinamakan Platoon Pengesanan dan Pengasingan Kimia dan Letupan (CEDI). Anggota platoon in dilatih khas mengenal pasti dan mengesan bahan letupan serta bahan kimia serta mengasingkan bahan-bahan serupa itu dengan selamat sebelum memanggil pasukan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan (CBRE) untuk tindakan lanjut.”
6 SIR juga mempunyai sebuah Platoon Provos yang diberi kuasa lebih luas di bawah undang-undang di beberapa bahagian. Ada juga sebuah Platoon Pengesan yang menggunakan teknologi pengawasan bagi meningkatkan pengawasan melebihi mata manusia.
“Tambahan, kami ada sebuah pasukan bersenjata khas lengkap dengan senapang tembak jitu, senapang gajah dan pelancar grenad automatik bagi menghalang penceroboh dari jarak dekat, sederhana maupun jauh,” jelas Mejar Wong.
Askar-askar dihantar menjalani latihan khusus di unit-unit khas. Contohnya, anggota dari Platoon Provos berlatih di Sekolah Provos sebelum pulang ke 6 SIR.
Tugas 6 SIR adalah mengawal pusat-pusat tentera serta pusat awam penting sebagai salah satu usaha tentera mengawal keselamatan dalam negeri. Mereka dilatih dengan kemahiran khas untuk berwaspada sepanjang waktu.
Apakah antara kemahiran yang diberikan dalam masa latihan selama lapan bulan itu?
Menjelaskan, Mejar Wong berkata pasukannya dilatih memberi respons mengikut keadaan.
Satu kemahiran penting adalah kebolehan mengingat maklumat.
“Kemahiran itu ditajamkan menerusi program komputer serta latihan berperanan”
“Yang penting, kami ingin kukuhkan daya ingatan mereka. Anggota pasukan dilatih untuk mengenal pasti apa yang ‘tidak kena’ dan mengingati butir-butir penting seperti jenis, nombor plat kenderaan ketinggian suspek, pakaiannya. Kami ingin mereka melaporkan butir-butir seberapa tepat yang boleh agar kami dapat bertindak,” kata Mejar Wong.
Tambahnya: ” Dalam soal keselamatan, kita perlu ambil perhatian dan anggap sesuatu kejadian yang tidak kena tempat itu dengan serius, kerana anda tidak tahu di mana atau siapa musuh kita.
“Berbeza dengan operasi askar biasa yang sering tunggu perintah dari pihak atas, pasukan kami diberi banyak kebebasan untuk mengambil tindakan. Oleh itu, pegawai muda dan askar-askar pasukan kami digalak membuat keputusan berdasarkan keadaan,” kata Mejar Wong.
Sejajar dengan tugas meronda dan mengawal pusat-pusat penting, askar-askar 6 SIR sering berinteraksi dengan orang-orang awam setiap hari. Mengurus hubungan manusia juga adalah penting menurut Mejar Wong.
Kata beliau: “Kita punya askar yang bijak berfikir yang sedar kepentingan tugas mereka, mereka tahu apakah kawasan-kawasan yang dilarang apabila berhadapan dengan orang awam. Oleh itu mereka dapat berhubung dengan orang awam dengan cara yang sopan namun tegas.”
Memang ada beberapa orang awam yang enggan memberi kerjasama atau mudah marah. Namun askar-askar kami boleh mengawal keadaan dengan menerangkan peri penting peraturan yang dilaksanakan.
Bagaimana pula dengan syarikat swasta? Apakah pendapat mereka mengenai kehadiran anggota tentera mengawal kawasan perniagaan mereka?
Menurut Mejar Wong, pada awalnya ada yang rasa kurang selesa.
“Namun mereka sedar ancaman yang dihadapi dan pentingnya keselamatan. Mereka sedar, SAF bersama agensi keselamatan dalam negeri lain, mengambil berat akan keselamatan mereka. Saya diberitahu mereka rasa lebih aman apabila melihat pasukan kami menjalankan rondaan serta tertarik dengan sikap profesionalisme anggota-anggota kami,” jelas beliau.
Mejar Wong juga gembira melihat hubungan rapat yang dijalin antara 6 SIR dengan agensi lain seperti polis dan pasukan pengawal pantai yang sama-sama mengawal pusat-pusat penting.
“Melalui latihan bersama, perbincangan dan pertemuan, kami belajar selok belok cara operasi satu sama lain. Dengan cara ini kita dapat tingkatkan keberkesanan dalam menghadapi apa juga situasi,” tambah beliau.
Penggunaan teknologi juga tidak dilupakan. Contohnya, pasukan itu giat menguji alat-alat pengawasan seperti camera mudah alih.
Setelah pasukan itu diberi taraf operasi enam bulan lalu, apakah penilaian Mejar Wong?
Saya benar-benar bangga dengan pasukan ini. Mereka sedar peri penting tugas mereka, komited terhadapnya dan sering menimba ilmu untuk memperbaiki kelakonan masing-masing.
Dalam berinteraksi dengan orang ramai mereka menonjolkan imej positif SAF sekali gus menjalankan tugas dengan sopan tetapi tegas. Ini menunjukkan latihan yang diberikan mula membuahkan hasil.
Akhir kata penduduk Singapura dapat mengecapi kenikmatan keamanan memandangkan ada pasukan seperti 6 SIR yang menjalankan tugas mengawal negara.
Sumber / militaryofmalaysia (MOM)
1 ulasan:
Sememangnya informasi yang amat menarik....
singgah dan follow kita www.mieranadhirah.com
Catat Ulasan