NUFFNANG

Jumaat, Mei 06, 2011

Pakai susuk 36 biji berlian

Pian Cecupak rasa seperti mati hidup semula selepas membuang kolagen di muka.


WAJAH Pian sebelum disuntik kolagen.




BIARPUN dicerca dan ditohmah dengan kata-kata yang kurang menyenangkan, pelawak, Pian Cecupak atau nama sebenarnya Mohd. Rafik Abd. Rahman, 40, tetap tenang menghadapi perjalanan hidupnya.Sila lihat video berikut.



Menurut Pian, apa sahaja yang pernah dilakukannya termasuk memakai susuk serta mengubah rupanya dahulu dengan suntikan kolagen adalah kerana mengikut kata hati.
“Bila aku rasa nak buat, aku buat. Macam itu juga bila aku rasa nak buang, aku buanglah. Itu pun orang masih mengata lagi.
“Lagipun aku perlukan kepuasan diri. Jadi aku buatlah apa yang patut. Setakat nak elokkan muka, itu sahaja. Bukannya sebab aku tak bersyukur atau nak jadi perempuan.
“Pedulilah dengan apa orang nak kata, janji aku dah rasa. Dan Alhamdulillah aku sudah buang semua itu sebab fikirkan anak-anak.
“Aku tak nak mereka malu tengok ayah mereka macam ini selain ingin menjadi ayah yang baik untuk mereka,” tuturnya yang telah bercerai dengan bekas isteri pada tahun 2000.
Hasil perkahwinan itu, Pian dikurniakan dua puteri berumur 13 dan 11 tahun yang kini bersekolah di Kuala Lumpur.
Seperti bola
Bekas anggota kumpulan lawak, Cecupak ini mengaku mengubah muka kerana ingin tampil menarik dan lebih berkeyakinan.
“Aku berketurunan Pakistan dan Jawa, bila tengok hidung adik-beradik yang lain ‘meletup-letup’, aku buatlah juga hidung aku,” ujar Pian.
Ketika suntikan pada bahagian hidung dilakukan, Pian memberitahu, darah daripada mukanya memancut deras begitu juga pada bahagian mulut.
Sepanjang tempoh itu juga bibir Pian tidak dapat digerakkan sementara hidungnya tidak boleh disentuh bagi membolehkan cecair yang dimasukkan itu sebati dan mendapatkan bentuk hidung yang dikehendaki.
Suntikan turut dilakukan untuk menonjolkan kedua-dua belah pipi sehingga mukanya bengkak seperti bola.
“Salah satu sebab aku nak betulkan bibir kerana bibir aku sumbing sebab bergaduh dulu. Setiap kali tengok di cermin, rasa nak ubah,” luah Pian.
Pian mengakui keterlanjurannya mengubah bentuk fizikal bukan di muka sahaja, malah di keseluruhan tubuhnya termasuk punggung.
“Memang aku ada ‘cucuk’ di sana sini. Pakai susuk 36 biji berlian, tapi itu cerita dulu iaitu semasa usia belasan tahun.
“Malah ada yang bertanya mana aku dapat duit? Siapa yang bela?
“Tak ada orang bela aku! Aku bela diri sendiri melalui rezeki yang halal. Jadi tak payahlah nak persoalkan mana aku dapat duit.
“Tapi bila ada orang hantar santau dan busung kepada aku, semua susuk itu terus hilang setelah berubat.
“Masa kena buatan orang itu, memang aku jadi takut sebab rasa macam nak mati.
“Jadi sekarang, aku rasa macam mati hidup semula,” ujarnya.
Santau
Cerita Pian lagi, episod hitam yang berlaku sekitar tahun 1998 itu telah memaksa dia untuk mendapatkan rawatan daripada banyak bomoh termasuk bomoh India dan Siam.
“Masa aku berubat, keluar setengah baldi air termasuk rambut, kaca-kaca kecil dan telur kuning.
“Selama tiga bulan aku terpaksa berubat dan menderita. Walaupun aku tahu siapa yang buat, tapi aku tak akan balas.”
Mungkin tiada siapa menyangka perjalanan hidupnya dulu pernah bermula sebagai seorang anggota jemaah Tabligh yang sentiasa taat pada tuntutan agama.
Pian sering membaca doa untuk setiap perkara yang dilakukannya termasuk semasa menjamah makanan, mandi atau keluar rumah.
Tetapi sebagai seorang insan biasa, Pian kadang-kadang tersasar daripada landasan hidup.
“Tuhan Maha Kaya. Dalam sekelip mata sahaja hidup kita boleh berubah. Keluarga aku dah cukup berikan didikan agama.
“Yang memporak-perandakan agama adalah diri aku sendiri. Bukan salah ibu bapa aku.
“Jalan hidup ini aku yang pilih sendiri sejak tamat tingkatan lima,” ungkapnya yang telah mula bekerja sejak berusia 12 tahun lagi.
Ujar Pian, rawatan pemulihan untuk membuang kolagen yang telah mengubah bentuk wajahnya selama ini dilakukan melalui kaedah yang betul.
“Aku juga nak berterima kasih pada doktor yang merawat aku.
“Banyak perubahan yang berlaku sejak buat rawatan di situ,” katanya yang masih mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur bagi memulihkan rupanya kepada bentuk asal.
Buang toksin
Menurut pakar yang merawat Pian, masalah yang dihadapi Pian adalah serius dan memerlukan rawatan yang sempurna.
“Saya terkejut apabila melihat wajah Pian yang semakin teruk. Jadi saya nasihatkan dia supaya menjalani rawatan pemulihan yang dimulakan dengan membuang toksin di dalam badan.
“Setelah itu untuk membaik pulih wajahnya ke bentuk asal, kaedah rejuvenation atau memudakan kembali wajah digunakan.
“Setelah selesai, oksigen akan dimasukkan ke dalam muka melalui teknik pengoksigenan dan melakukan krioterapi iaitu kaedah pembekuan ais untuk mengecutkan urat-urat muka yang telah diubah.
“Semua rawatan ini kami lakukan dengan menggunakan mesin terbaru yang diimport dari Switzerland tanpa menggunakan pisau yang boleh mengakibatkan kesan berpanjangan,” jelasnya yang enggan namanya didedahkan.
Pian yang kini sedang giat mengusahakan perniagaannya telah menanam janji untuk berubah dan mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan sebaiknya.
“Aku tak nak buat dah. Cukuplah dengan apa yang ada. Lagipun umur dah meningkat. Cuma amalan dan keluarga yang aku fikirkan sekarang.
“Tapi jangan terkejut kalau kulit aku berubah. Bukan sebab botox, bukan sebab cucuk.
“Tapi sebab aku jalani rawatan yang betul,” katanya yang berhajat untuk menunaikan umrah pada tahun ini.

1 ulasan:

Yuyu berkata...

pakai susuk sbb ikut kata hati???adoiii

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: