ADA yang percaya kisah sejadah berdiri dengan sendirinya dilakukan oleh kuasa ghaib. Tidak kurang juga yang melihatnya sebagai helah individu ‘nakal’ semata-mata.Sila lihat video-video berikut.
Di sebuah rumah di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, Kelantan, contohnya, sehelai sejadah milik Sharifah Nor Syed Agil, 61, disaksikannya dan anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, berdiri dengan sendirinya. Menurut mereka, sebelum itu sejadah itu terlipat dan diletakkan di tempat yang lain.
Rupa bentuk sejadah itu digambarkan mereka seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.
Beberapa lagi insiden yang sama berlaku dalam skala besar di beberapa buah surau di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang melibatkan sehingga 35 helai sejadah pada satu masa.
Bagi mencari kebenaran insiden itu, krew Jurnal mencuba sendiri untuk membuat sehelai sejadah berukuran 110 sentimeter darab 70 sentimeter dan berketebalan 0.3 sentimeter berada dalam posisi berdiri.
Ternyata, dengan sedikit tenaga dan kreativiti untuk melipat sejadah itu, ia dapat berdiri sendiri dengan mudah dan stabil sehingga ketinggian lebih 50 sentimeter. Malah, bentuk seorang lelaki atau wanita duduk di antara dua sujud juga berjaya kami hasilkan dengan merujuk gambar yang pernah dirakam di tempat-tempat kejadian.
Menurut Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan merangkap Timbalan Dekan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid, kisah yang menggemparkan Malaysia lewat seminggu itu hanyalah pembohongan semata-mata.
“Malang sekali masyarakat kita masih tebal dengan perkara tahyul dan khayalan seperti itu. Saya tidak melihat kepada sejadah itu, sebaliknya mentaliti masyarakat. Ia hanya menunjukkan kita terkebelakang berbanding taraf masyarakat berfikiran maju yang kononnya dipegang selama ini.
“Kalau dibandingkan dengan rakan-rakan negara jiran, kita sudah menunjukkan taraf pemikiran yang rendah dan mengecewakan.
“Nampaknya masyarakat kita masih belum bersedia untuk berdepan dengan situasi seperti itu. Saya juga benar-benar berharap para ulama cukup sensitif dan cepat memberi reaksi kepada perkara seperti itu,” ujarnya.
Merujuk kes sejadah berdiri di surau di beberapa negeri, Mahmood berpendapat ia hanyalah perbuatan kanak-kanak nakal. Silapnya, kata Mahmood, masyarakat terlalu cepat mempercayainya sebagai sesuatu yang ajaib.
“Apabila ia terlalu ‘dipopularkan’ maka individu yang bertanggungjawab tidak berani lagi untuk tampil ke depan dan mengakui tindakan mereka. Isu ini dapat dibandingkan dengan panggilan palsu yang mencecah 80 peratus setiap tahun.
“Bagi pihak yang mengatakan surau dikunci sebelum kejadian juga saya lihat sebagai ulasan yang dibuat tanpa usul periksa sekiranya dia tidak berbohong,” bidas Mahmood.
Islam, katanya, ialah agama realiti dan tidak bersandar kepada perkara ajaib.
“Allah tidak akan menunjukkan kuasanya menggunakan cara yang sebegitu remeh. Sesungguhnya mukjizat paling besar yang diturunkan kepada kita ialah kitab suci al-Quran, yang menguji akal dan minda. Malah, saya fikir, tujuan ia dilakukan juga lebih remeh daripada yang kita sangkakan.
“Tidak mustahil sejadah didirikan untuk menarik minat orang agar berkunjung ke surau itu atau dengan tujuan memperlekeh masjid yang dibina begitu hebat tetapi jarang sekali digunakan,” katanya.
Jika pun ia dilakukan untuk mensabotaj secara meluas dengan tujuan membuatkan anak-anak muda lali, Mahmood tidak menolak ia satu permainan yang sangat nakal.
“Tidak perlulah dipanjangkan isu ini. Ia lebih banyak memalukan agama dan bangsa kita,” tegasnya.
1 ulasan:
benda ni orang buat sendri
Catat Ulasan