Muhammad (Ahmad) bin Indera atau lebih dikenali sebagai Mat (Muhammad) Indera |
CUACA di bandar Muar pada hari itu agak dingin. Mungkin kerana hujan pada sebelah malamnya membuatkan suasana di negeri Johor pada pagi itu sedikit lembap.
Namun, ia tidak membuatkan seorang penarik beca, Ithnin Turban, untuk bermalas-malasan di rumah. Pada masa itu Ithnin berusia 21 tahun.
Rutin membawa penumpang di sekitar bandar itu kira-kira 63 tahun lalu sudah menjadi kemestiannya selepas dia berkahwin, apatah lagi beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata berumur setahun.
Sahabatnya pula, Muhammad Indera yang tujuh tahun lebih tua daripadanya bekerja sebagai pemunggah beras dari kapal yang berlabuh di tebing Sungai Muar.
Ithnin yang mesra disapa Pak Ngah itu berkawan baik dengan Muhammad atau lebih popular dipanggil Mat Indera, lelaki yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950.
Serangan sebelum subuh itu mengakibatkan seramai 23 anggota polis dan keluarga mereka terkorban.
“Pada zaman itu (tahun 1947) begitu sukar untuk mendapatkan beras. Sesiapa yang ingin membelinya perlu menggunakan kupon kerana ia dijual secara terhad.
“Oleh kerana saya bersahabat dengan Mat (Mat Indera), saya sering dapat membeli beras dengan mudah tanpa perlu pakai kupon.
“Tetapi ia bukan beras yang dijual di kedai sebaliknya sisa beras yang tertumpah ke tanah,” ujar Ithnin semasa ditemui Jurnal di rumahnya di Kampung Baru Salong, Pekan, Pahang baru-baru ini.
Ilmu ghaib
Pada usia 84 tahun sekarang, ingatan Ithnin mengenai kejadian lebih 60 tahun lalu itu ternyata masih baik. Walaupun beliau mengalami masalah pendengaran kerana faktor usia, perbualan dengannya banyak dibantu oleh Penghulu Mukim Penyor 1, Mohamad Bakri Abu Talib.
Jelas Ithnin, beras yang tercicir itu akan dikutip oleh Mat Indera untuk dijual kepadanya pada harga yang lebih murah. Harga beras pada masa itu ialah 10 sen secupak, kata Ithnin.
Ujar Ithnin lagi, Mat Indera memiliki tubuh badan yang tegap dan lebih tinggi berbandingnya. Justeru, tidak hairanlah dia dapat memunggah guni beras seberat 50 kilogram dengan mudah. Ketinggian Ithnin lebih kurang 1.55 meter.
Menurut cerita Ithnin, beliau mengenali Mat Indera semasa sama-sama menuntut ilmu dengan seorang guru agama di Muar. Selain ilmu agama, Mat Indera juga dipercayai memiliki ilmu ghaib dan ‘ilmu selisih’ iaitu kebolehan menghilangkan diri daripada pandangan orang. Dengan kelebihan itu, orang yang mencari atau ingin menangkapnya sukar bertembung dengan Mat Indera
“Dia (Mat Indera) memang ada ilmu ghaib. Sebab itulah dia menjadi lincah dan tidak dapat ditangkap oleh polis dengan mudah,” ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.
Tambah Ithnin, untuk menjaga ilmu ghaibnya, Mat Indera tidak boleh menembak orang.
“Boleh jadi sebab itulah dia hanya memberi arahan dalam serangan pukul 4 pagi ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu,” terang Ithnin.
Ditanya mengenai ilmu ghaib yang dipelajarinya, Ithnin nampaknya enggan mengenang kembali. Dalam laporan sebelum ini, Mat Indera yang lahir pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat pernah berguru dengan beberapa orang guru agama termasuk Kiai Salleh.
Menurut adik Mat Indera, Johan Shah Indera pula, abangnya itu pernah juga berguru dengan Haji Yassin iaitu bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Haji Yassin dikenali sebagai Tok Guru Haji Yassin yang amat terkenal di Bakri dan Panchor, Muar.
Mat Indera juga pernah berguru dengan Kiai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim.
Ithnin memberitahu, pada tahun 1948, beliau ada menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan beruniform. Dalam masa yang sama, Mat Indera telah membawanya ke sebuah bangunan di pekan Muar. Tanpa pengetahuan Ithnin, tempat itu rupa-rupanya lokasi pertemuan anggota Parti Komunis Malaya (PKM).
Mat Indera curi beras
Menurutnya, di kelab itu hanya orang Cina yang kelihatan. Ithnin dan Mat Indera sahaja orang Melayu di dalam bilik itu.
Ithnin sangat terkejut kerana dia dipujuk oleh Mat Indera untuk menyertai komunis dan dia segera menolaknya. Namun, dia sempat berpesan kepada Mat Indera: “Mat, tak guna kau masuk komunis, nanti kau kena tembak.”
Sejak peristiwa itu, hubungan Ithnin dan Mat Indera terputus.
“Saya tidak ambil tahu lagi pasal dia selepas itu, tetapi sedar yang dia menyertai komunis. Saya pula mengambil keputusan untuk menjadi polis SC (Special Constable).
“Tetapi setahun kemudian saya menjadi polis JS (Jungle Scout) pula dengan gaji RM150 sebulan iaitu RM60 lebih banyak daripada gaji SC,” ujar Ithnin yang ditempatkan di Kem Tangkak, Johor.
Menjawab persoalan mengapakah Mat Indera menyokong komunis, Ithnin berpendapat lelaki itu tidak puas hati terhadap pihak berkuasa yang menangkapnya kerana mencuri beras.
“Mungkin kerana dia berdendam dengan pihak polis menyebabkan dia menyertai komunis untuk menentang kerajaan,” ujar Ithnin.
Mengimbas kembali tragedi Balai Polis Bukit Kepong, Ithnin memberitahu, beliau turut terlibat dalam usaha memberikan bantuan.
Jelasnya, beliau bersama 40 anggota polis hutan yang lain menerima arahan untuk pergi ke Bukit Kepong kira-kira pukul 4 pagi, namun bantuan itu sudah terlambat.
“Perjalanan dari Tangkak ke Bukit Kepong mengambil masa selama lebih sejam. Apabila sampai, seluruh balai polis itu sudah musnah diserang dari segenap sudut.
“Saya sedih kerana tiada apa yang sempat kami bantu,” kenangnya.
Tambah Ithnin, situasi itu telah digambarkan seperti keadaan sebenar dalam filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1981.
Mat Indera dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping sebelum dikebumikan Kampung Jambu Air, Taiping, Perak. Lelaki itu yang tidak pernah berkahwin mati pada umur 33 tahun.
“Saya ada mendengar cerita bahawa dia telah tertangkap setelah termakan buah kecubung yang membuatkan dia mabuk.
“Dengan cara itu sahaja yang dapat melemahkan ilmu ghaibnya. Khabarnya dia ditangkap atas bantuan seorang lelaki Jawa yang diberikan hadiah sebanyak RM25,000,” katanya lagi.
Setelah lima tahun berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan, Ithnin yang lahir di Tanjung Gading, Melaka berhenti berkhidmat secara sukarela pada tahun 1953.
Beliau kemudian mengikut seorang rakan sepasukannya dalam polis hutan, Ali Mira ke Sungai Majnun, Pekan, Pahang. Apatah lagi beliau turut ditawarkan untuk memiliki sebidang tanah seluas empat hektar di negeri itu.
“Saya terus menetap di negeri Pahang sehingga kini selepas kerajaan menghadiahkan saya sebidang tanah,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan