SESETENGAH individu sanggup melakukan apa sahaja asalkan hajat di hati dapat ditunaikan walaupun dengan cara menyekutukan Allah. |
KES bomoh memanipulasi mangsa nampaknya bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita.
Pesakit bukan sahaja adakalanya diberitahu punca penyakit yang tidak masuk akal, bahkan mereka perlu pula membayar kos rawatan yang tinggi.
Lebih malang, ada bomoh yang telah mempergunakan pesakit, khususnya wanita sebagai objek memuaskan nafsu seksual mereka.
Ada pesakit yang dicabul dan ada pula menerima nasib lebih buruk termasuk dirogol.
Walaupun berita seperti ini sering dilaporkan di media massa, ia seperti tidak memberikan peringatan atau kesan kepada ahli masyarakat agar lebih berhati-hati.
Pesakit sering kali menjadi hamba seks bomoh, kononnya ia merupakan sebahagian daripada upacara membuang sial.
Sangat malang, 'sial' yang kononnya ada dalam diri pesakit itu bukan sahaja tidak dapat dibuang, pesakit ditambah pula dengan sial yang baharu.
Mengapa ahli masyarakat mudah terpedaya dengan bomoh seperti ini?
Kemungkinan hal ini berlaku kerana dua sebab. Pertamanya manusia sering diperdayakan oleh persepsi. Kita selalu mengandaikan bahawa manusia yang mempunyai perwatakan baik seperti berkopiah atau berimej kemas sebagai manusia yang boleh dipercayai.
Orang mungkin tidak sembarangan mudah terpedaya sekiranya bomoh tadi mempunyai penampilan yang selekeh atau berimej buruk.
Apatah lagi, kalau bomoh tersebut membahasakan diri mereka sebagai ustaz walaupun mungkin sekadar menghafal beberapa patah kata bahasa Arab.
Bagaimanapun, kerana persepsi baik yang mereka lakonkan, ramai manusia tertipu. Peliknya bukan hanya orang yang kurang berpendidikan menjadi mangsa, sebaliknya golongan profesional turut tertipu.
Kehebatan bomoh untuk mengungkapkan mantera dalam bahasa Arab dan beberapa patah kata yang tidak difahami maksudnya telah menjadikan mereka kelihatan hebat.
Hilang keyakinan diri
Keduanya, dalam banyak keadaan, mangsa yang menemui bomoh biasanya ialah mereka yang ditimpa musibah, baik penyakit fizikal atau masalah kehidupan yang lain.
Secara psikologinya, mereka yang menderita musibah itu akan lebih mudah kehilangan self esteem atau dalam bahasa yang mudah, mereka kehilangan keyakinan diri.
Mereka 'hilang' identiti diri yang sebenar menyebabkan dengan mudahnya diperdayakan. Apatah apabila dijanjikan bahawa rawatan tertentu itu mampu mengembalikan mereka kepada keadaan asal.
Mangsa biasanya akan terpedaya pula dengan cerita-cerita bomoh tadi bahawa mereka pernah menyembuhkan banyak pesakit termasuk individu terkenal. Ini menjadikan bomoh tadi diyakini sangat hebat dan tahu segala-galanya.
Itu belum lagi apabila bomoh menunjukkan kehebatan kononnya tahu pelbagai perkara tentang pesakit.
Contohnya bomoh tahu asal usul pesakit, kisah-kisah lama pesakit atau latar belakang keluarga.
Rawatan tidak logik
Pernah kita terfikir bahawa maklumat tersebut boleh diperoleh bomoh berkenaan daripada orang yang mungkin mengenali pesakit.
Hakikat yang jarang diambil peduli masyarakat ialah persoalan etika dan logik dalam rawatan itu. Sangat janggal jika seseorang itu dikatakan alim kalau mereka mula mengajak mangsa yang berlainan jantina ke dalam bilik yang tidak ada orang lain di dalamnya.
Kalau hal seumpama itu berlaku, pesakit seharusnya bertanya kepada diri sendiri, adakah mereka sedang dirawat oleh seorang bomoh atau sedang menjadi mangsa untuk diperdayakan?
Walaupun dalam dunia adakalanya tidak semua perkara mampu dihuraikan dengan kemampuan logik, pesakit harus berhati-hati kalau ada prosedur rawatan di luar kewarasan manusia.
Ada mangsa yang diminta oleh bomoh untuk membekalkan dengan seluar dalam yang telah dipakai oleh pesakit atau mengambil bahan yang tersangkut di sarang labah-labah dengan mulut.
Secara logiknya, apakah ini boleh dianggap sebagai satu prosedur rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit?
Bagaimanapun, dalam banyak kes, manusia sanggup berbuat apa sahaja demi memenuhi permintaan bomoh kerana ia dianggap sebagai salah satu bentuk upacara.
Oleh yang demikian, berhati-hatilah. Sesekali kita patut menggunakan logik akal dan pertimbangan rasional untuk mengelak diperdaya sekali pun kita mungkin sedang ditimpa musibah yang teruk. Ia mungkin membantu menghindar kecelakaan yang lebih menyakitkan.
Link
Jom Tengok Video Bomoh Auta Pulak . . .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan