Nuffnang Ads

Selasa, Julai 26, 2011

Gila remaja 16 tahun - Kenalilah ciri-ciri lelaki perogol. Dia mungkin ada di depan anda!

PEROGOL...Hanya menunggu peluang yang terbuka.

HAMPIR kesemua kajian dan penyelidikan awal yang dilakukan ke atas kejadian rogol, di dalam dan luar negara, hanya bertumpu pada insiden yang berlaku. Kalau diselami jauh pun, ia masih menyentuh kesan yang dialami oleh mangsa rogol dan cara-cara menangani punca kejadian tersebut.

Jarang sekali perhatian diberikan kepada bukti yang menghala kepada pesalah. Malah ia berbalik semula kepada mangsa rogol yang dikatakan menggoda pemangsa.
Secara puratanya, empat orang wanita dirogol setiap hari di Malaysia. Ini bermaksud setiap hari kita ‘menggadaikan’ maruah wanita yang mungkin merupakan ibu kepada seorang anak kecil, isteri, pelajar sekolah atau pekerja profesional.
Pada tahun 1980, sebanyak 138 kes rogol dilaporkan kepada pihak polis. Ia satu angka yang kecil. Namun tahun-tahun berikutnya menyaksikan jenayah ini semakin menjadi-jadi.
20 tahun kemudian, jumlah kes meningkat kepada 1,217. Pada tahun 2006, bilangannya ialah 2,431. Apa yang lebih membimbangkan ialah ratusan kes dipercayai tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Sudah tiba masanya kita mengambil pendekatan holistik dengan mewujudkan keperluan memahami secara mendalam diri perogol.
“Oleh kerana mereka yang bersalah dan melakukan perbuatan keji itu, seharusnya satu penilaian dilakukan ke atas pemikiran, perasaan, pendapat dan perangai pesalah dalam usaha menurunkan statistik,” hujah Dr. Rohana Ariffin, penyelidik bersama dan penyunting buku Rapist & Rape, Who & Why.
Selalunya, orang ramai memberi fokus yang lebih kepada mangsa kerana mereka dianggap memerlukan sokongan moral dan kaunseling.
Sesetengahnya pula terus menuding jari kepada mangsa rogol kononnya merekalah yang menjadi punca kerana mengenakan baju yang seksi, memakai mekap atau kasut tumit tinggi.
Tidak kurang juga keadaan persekitaran yang mendorong kejadian. Pesalah pula bagaikan secara tidak sengaja telah ‘disorokkan’ di belakang tabir.
Dr. Rohana berkata: “Apabila kita memfokuskan kajian kepada pesalah, beberapa soalan berbangkit: Siapakah perogol ini dan mengapa mereka merogol?
“Bolehkah kita memperoleh profil perogol lelaki? Apakah sebab di sebalik seleksi mangsa dan apa yang berlaku sebelum insiden ini tercetus?”
Buku Shame, Secrecy & Silence oleh Dr. Rohana pada tahun 1997 membongkar perkara-perkara tertentu berhubung kejadian rogol, perogol dan agensi yang terbabit.
Namun tinjauan ini terhad kepada 42 orang perogol dan merangkumi penjara di bahagian utara iaitu Taiping dan Pulau Pinang.
Kajian pada tahun 2003 oleh Rachel Samuel, seorang pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, bagaimanapun menjadi penggerak kepada pengklasifikasian perogol.
Kajian selama 10 bulan itu melibatkan temu ramah dengan 90 orang yang telah disabitkan kesalahan merogol. Mereka dibahagikan kepada enam kategori berdasarkan maklumat sosiodemografik, keluarga, persekolahan, sejarah hubungan seksual, kejadian rogol dan tingkah laku perogol itu sendiri.


TEROWONG yang cerah dan dilalui ramai pengguna dapat mengurangkan risiko jenayah rogol.


Dengan bantuan kira-kira empat orang penyelidik termasuk Dr. Rohana yang merupakan bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) dan seorang aktivis yang memperjuangkan hak persamaan jantina, Rachel mengunjungi empat buah penjara, yakni di Seremban, Kajang, Sungai Buloh dan Johor Bahru.
Hasilnya, muncul satu petunjuk yang mengejutkan. Data purata umur perogol di negara ini ialah 41 tahun.
Secara lazimnya, 37 peratus penjenayah sumbang muhrim terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas manakala mereka yang merogol kenalan berusia 40 tahun dan ke bawah.
“Statistik ini memperlihatkan sebahagian besar perogol di Malaysia adalah golongan berusia berbanding di luar negara.
Di Amerika Syarikat, misalnya, 80 peratus perogol adalah mereka yang berumur di bawah 30 tahun,” kata Dr. Rohana.
“Berlainan, di Malaysia kita menyaksikan hanya 27 peratus perogol datang daripada kumpulan usia di bawah 30 tahun manakala 13 peratus lagi adalah kumpulan perogol berusia di bawah 25 tahun.”
Adakah trend ini dipengaruhi oleh sindrom usia pertengahan yang dilalui oleh kaum lelaki?
Rachel menjelaskan bahawa kemungkinan kaum lelaki pada usia berkenaan merasakan diri mereka tidak ‘diendah’ oleh wanita.
“Satu sebab ialah kurang tarikan dari segi fizikal. Kedua ialah isu andropaus yang membuat mereka rasa kurang macho.
“Jadi, itu sahajalah yang dipandang berat semasa membuktikan sifat macho ke atas mangsa.
“Bagi mereka, perbuatan sedemikian bukanlah rogol memandangkan tiada penggunaan kekerasan seperti pisau,” jelas Rachel merujuk kepada beberapa pengakuan penjenayah.
Sebanyak 60 peratus daripada perogol yang ditemui, masing-masing bersetuju dengan kenyataan bahawa wanita dicipta untuk memuaskan nafsu lelaki dan bersifat menggoda.
Sebanyak 80 peratus bersetuju bahawa wanita perlu diajar dan ditunjuk jalan yang betul. Tanpa disedari, pengakuan ini menjurus sekali lagi bahawa wanita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan rogol.
Jika anda menerima hakikat di atas, ikuti petikan ini dan renung-renunglah. Seorang perogol berusia 57 tahun yang merogol seorang budak berusia 14 tahun, berpendirian bahawa: “Jika makanan sudah dihidang, kalau saya tak makan, lalat akan datang. Biar saya yang makan.”


SESETENGAH orang menuding jari kepada mangsa rogol kononnya merekalah yang menjadi punca berlakunya kejadian tersebut.


Sama juga dengan seorang lagi perogol berusia 55 tahun yang mengambil kesempatan ke atas anak jiran yang berumur 15 tahun kala isterinya mencapai fasa menopaus. “Nak ‘tidur’, bantal pun sampai, kita pun tidurlah.”
Isu kekuasaan ke atas wanita juga ditekankan oleh perogol. Faktor-faktor lain ialah bilangan dan hubungan antara adik-beradik, status perkahwinan ibu bapa, siapa yang membesarkan diri, diskripsi penjaga atau ibu bapa, pengalaman di sekolah dan pendedahan kepada unsur-unsur keganasan.
“Dari segi sejarah hubungan seksual, persepsi dan tingkah laku perogol serta pola pemilihan mangsa cukup menarik.
“Jika anda membayangkan hanya wanita yang berkulit cerah mempunyai kebarangkalian tinggi, 47 daripada 90 perogol yang dikaji menggemari wanita berkulit hitam manis dan gelap.
“Manakala 61 peratus bercitarasakan wanita yang memiliki rambut panjang dan 43 perogol suka pada wanita yang berbadan langsing.
“Ada juga yang tertarik pada wanita kurus,” kata Dr. Rohana. Beliau menambah, 52 peratus perogol berminat dengan wanita dalam lingkungan usia 10 hingga 29 tahun.
Secara perbandingan, statistik tahun 1995 menunjukkan 60 peratus mangsa rogol terdiri daripada mereka yang berusia 16 tahun dan ke bawah.
“Sebab itu kesannya amat buruk jika had umur kesalahan rogol dalam Kanun Keseksaan diturunkan daripada 16 kepada 12 tahun. Mengikut undang-undang sebelum ini, mereka yang mengadakan hubungan seks dengan gadis berusia bawah 16 tahun dianggap merogol secara automatik.
“Ini bermaksud seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas kini hanya diklasifikasikan rogol setelah terbukti bahawa dia tidak membenarkan perlakuan tersebut.
“Jika hubungan seksual tersebut berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak, ia tidak disabitkan sebagai kesalahan rogol.
“Persoalan ini tidak wujud sebelum ini jika kanak-kanak perempuan di bawah usia 16 tahun dirogol,” luah Rachel kesal.


DARI kiri: Rachel, Dr. Rohana, Dr. Ng Yen Yen dan Nanthini.




Sebagai Pengarah Program Wanita untuk Pembangunan Wanita, Era Consumer Malaysia, Nanthini Ramalo yang banyak terlibat dengan aktiviti kaunseling dan membina kendiri yakin pembukuan data-data terperinci ini memberi kesedaran dan kefahaman terhadap jiwa perogol.
“Setakat ini, kami hanya menerima mangsa rogol yang datang mendapatkan kaunseling. Namun buku Rapist & Rape membuka ruang kepada Era Consumer menggambarkan cara pemikiran perogol sebelum menawarkan kaunseling.”
Era Consumer yang menerbitkan 2,000 naskhah buku tersebut, kini mengedarkannya secara percuma di pejabat-pejabat di Petaling Jaya.
Pada majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Dr. Ng Yen Yen mengalu-alukan agar lebih ramai warga muda terutamanya remaja membaca buku setebal 65 muka surat itu.
Bagi mereka yang berminat membaca Rapist & Rape, Who & Why, boleh memuat turun buku tersebut di laman web www.eraconsumer.org.



KISAH BENAR DARIPADA SEORANG PEROGOL 

 Bismillahi Rahmani Rahim  

Kisah ini berlaku kepada seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US. Gadis ini sangat cantik rupa paras dan bentuk badannya juga sempurna. Tetapi dia sentiasa taat kepada Allah swt, berpakaian sopan, menutup aurat dengan 'sempurna' dan memiliki akhlak yang baik. 

Pada suatu malam, gadis ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia telah tersilap dengan melalui jalan yang singkat untuk pulang di atas sebab-sebab tertentu. Laluan yang pilih itu pula agak tersorok dan kebetulan, tidak ramai orang yang lalu lalang pada masa itu. 

Kerana malam yang lewat dan keadaan yang sunyi, laluan itu agak gelap dan keadaannya agak menyeramkan. Ini membuatkan gadis itu agak gelisah dan berasa takut kerana berjalan sendirian. 

Tiba-tiba gadis itu ternampak ada seorang lelaki kulit putih berbangsa Amerika sedang bersandar di dinding di tepi lorong itu. Gadis itu menjadi semakin takut dan berasa tidak sedap hati. Tetapi, apa yang boleh dilakukan hanyalah berdoa kepada Allah, memohon keselamatan atas dirinya. Gadis itu pun berdoa dan membaca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah swt membantunya di saat itu. 

Semasa melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan sempat mengecam wajah lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan gadis itu selamat sampai ke rumahnya. 

Keesokkan paginya, gadis itu terbaca dalam akhbar tempatan Amerika berkenaan seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan yang dilaluinya semalam. Masa kejadian pula hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Seteleh menatap wajah perogol yang dipaparkan, gadis itu yakin bahawa perogol tersebut adalah lelaki kulit putih yang dijumpainya semalam. 

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan membuat aduan. Gadis itu dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, pihak polis juga mendapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol bersiri yang amat dikehendaki. 

Namun, gadis itu berasa amat hairan kerana perogol itu tidak menjadikannya mangsa. Padahal dia keseorangan pada masa itu dan sebaliknya perogol itu memilih perempuan yang lalu selepas dia. Gadis itu ingin sangat mengetahui akan sebabnya. Oleh itu, dia meminta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain. 

Dia pun bertanya kepada perogol itu : 
Why don't you do anything to me on that night even though you know that I'm alone ?
Mengapa kamu tidak melakukan apa-apa terhadap saya pada malam tersebut sedangkan kamu tahu saya sedang berjalan bersendirian ? 


Perogol tu menjawab :
No, you are not alone ! That night I saw two young man walking with you.
One on your right side and the other one was by your left side.
If you were alone of course you will be my victim

Tidak, kamu tidak bersendirian. Malam itu saya nampak dua lelaki muda berjalan bersama kamu. Seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri kamu. Jika bersendirian sudah tentu kamu yang akan menjadi mangsa saya kerana kamu yang saya jumpai lebih dahulu
 
Wanita itu berasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Setelah berfikir sejenak, dia pun faham akan apa yang telah terjadi. Dia pun bersyukur ke hadrat Allah, mungkin Allah memeliharanya pada malam itu kerana dia telah berdoa memohon perlindungan daripada Allah swt dan juga kerana berkat bacaan ayat Kursi. 

Kesimpulannya

 
Jika kita sebagai hamba, menurut segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah swt, Dia pastinya akan sentiasa 'dekat dengan kita' dan memelihara kita. Muslimah tadi pertama-tamanya menutup aurat dengan sempurna, menjauhi maksiat dan menjaga batas-batas pergaulan yang ditetapkan oleh Allah. 

Wanita itu juga telah memohon perlindungan daripada Allah Yang Maha Berkuasa daripada segala sesuatu. Oleh itu, jika Allah swt ingin melindunginya, tiada sesiapa yang akan dapat melakukan sesuatu ke atasnya. 

Di samping itu, apabila kita membaca Ayat Qursi, Allah akan utuskan dua malaikat untuk menjaga kita. Dua lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya dan memohon perlindunganNya. 

Ayat Kursi sememangnya adalah ayat pelindung yang mustajab dengan izin Allah. Tetapi jika kita tergolong dalam golongan manusia yang tidak diterima doanya, maka sebanyak mana dibaca pun tidak akan diperkenankan oleh Allah. Jika kita selalu ingkar suruhan Allah, kufur dengan nikmatnya, menunaikan ibadat secara sambil lewa dll. Dapatkah kita mendapat pertolongan sebegini dari Allah ? 

Malah kita mungkin akan dikenakan bala di atas perbuatan mungkar kita kepada Allah swt. Balasan Allah tu boleh datang semasa di dunia lagi. Di dalam kubur dan di akhirat kelak kita juga pasti akan disiksa di atas dosa-dosa kita, kerana itu adalah janji Allah swt dan Allah itu Maha Menepati Janji. 


Saya suka mengingati satu hadis yang bermaksud : 

Jika kamu mencari keredhaan Allah dengan kemurkaan makhluk,
Maka Allah swt akan memelihara kamu daripada segalanya

Sebaliknya, jika kamu mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah,
Nescaya Allah swt akan menyerahkan nasibmu kepada makhluk 


Di antara kelebihan amalan membaca Ayat Qursi : 

Sesiapa membaca Ayat Qursi dan memohon perlindungan kepada Allah swt, 
Allah akan menghantar dua malaikat untuk menjaganya 

Sesiapa membaca Ayat Qursi semasa meninggalkan rumah, keluarga dan hartanya, 
Allah akan menugaskan dua malaikat untuk menjaga rumahnya,keluarganya dan hartanya 

Sesiapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, 
Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh 

Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan 
Nescaya Allah berkenan memberi pertol
ongan kepadanya 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: