Nuffnang Ads

Sabtu, Julai 16, 2011

Teori relativiti Albert Einstein



"APABILA lelaki duduk bersama gadis cantik selama satu jam ia bagaikan satu minit. Tetapi apabila duduk di atas dapur panas selama seminit ia seperti satu jam. Itu relativiti," demikian kata Albert Einstein mengenai teori relativiti.
Tahun 1905, merupakan annus mirabilis (tahun keajaiban) buat Einstein apabila beliau membangunkan teori relativiti - satu penerangan bahawa hubungan antara masa dengan ruang mencabar pandangan umum seperti yang diterima sejak zaman Sir Isaac Newton, 200 tahun sebelum itu.
Siri penemuan saintifik beliau turut menggegarkan dunia fizik pada tahun tersebut termasuk kesan cahaya elektrik (fotoelektrik), gerakan Brown dan persamaan jisim dan tenaga.
Lebih membanggakan, penemuan fotoelektrik tersebut melonjakkan nama Einstein apabila memenangi hadiah Nobel Fizik pada tahun 1921 yang merupakan anugerah teragung dalam bidang sains.
Penemuan itu memberi kesan terhadap perkembangan tamadun manusia apabila ia diaplikasikan untuk membuat televisyen dan pelbagai peralatan elektrik serta elektronik hari ini.
Begitupun, teori relatif khas menggabungkan tenaga dan jisim dengan formula E=mc2 iaitu persamaan jisim tenaga lebih dikenali masyarakat dunia serta sering digunakan untuk pelbagai tujuan.
Menghidap asperger
Anak lelaki pasangan Hermann dan Pauline Einstein berbangsa Yahudi itu dilahirkan pada 14 Mac 1879 di Ulm, Baden Württemberg selatan Jerman dengan masalah sukar bertutur sehingga berusia tiga tahun. Keadaan itu mungkin menyebabkan beliau banyak berimaginasi ketika kecil.
EINSTEIN dianggap saintis ulung yang tiada tolok bandingnya sehingga hari ini.


Beliau yang menghidap sindrom asperger, sejenis penyakit berkaitan autisme sama sekali tidak menghalangnya berkelakuan seperti kanak-kanak biasa.
Sewaktu mencecah usia lima tahun kanak-kanak istimewa itu jatuh sakit dan terlantar di atas katil sebelum bapanya menunjukkan kompas poket magnetik yang berjaya membuatkannya terpukau dengan jarum kompas itu.
Beliau sangat teruja dengan jarum kompas yang sentiasa menunjuk ke arah utara walaupun ia diterbalikkan dan yakin bahawa terdapat sesuatu yang menarik di sebalik keajaiban tersebut.
Sejak itu, pelbagai persoalan timbul dalam fikiran Einstein mengenai keajaiban jarum kompas berkenaan dan ingin mencari jawapan mengenainya.
Kejadian itu dipercayai detik permulaan kecenderungan Einstein dalam menguasai bidang sains fizik sehingga berjaya mengukir nama menjadi 10 daripada 100 Tokoh Berpengaruh Dalam Sejarah Dunia.
Ibunya, Pauline merupakan pemain piano terkenal dan ingin anaknya menyukai muzik. Dia mengajar Einstein meminati instrumen biola ketika berumur enam tahun tetapi beliau tidak menggemarinya.
Bagaimanapun, apabila mendengar hasil karya Mozart ketika berumur 13 tahun, beliau kembali bermain biola sehingga akhir hayatnya.
Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Luitpold, Munich, Jerman pada 1888 sebelum berpindah ke Sekolah Katolik Aarau, Switzerland merupakan pelajar cemerlang dalam matapelajaran sains dan matematik tetapi tidak berjaya dalam sastera.
Einstein menerima diploma perguruan dari Institut Politeknik Persekutuan Zurich, Switzerland pada tahun 1900 dan berjaya mendapat ijazah doktor falsafah (Ph.D) dari Universiti Zurich pada tahun 1905.
Sebelum beliau mengecapi kegemilangan dalam bidang sains fizik dan matematik, anak pertama daripada dua adik-beradik itu hanya seorang penolong teknikal di pejabat paten di Bern, Switzerland serta banyak menghasilkan kajian berhubung sains fizik.

EINSTEIN (dua dari kiri) pernah ditawarkan menjadi presiden Israel kerana kepintarannya.

Ikon dunia fizik yang memiliki rambut kusut masai berwarna putih itu mendirikan rumah tangga bersama Mileva Maric kelahiran Titel, Novi Sad, Serbia pada tahun 1903 dan dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Hans dan Eduard Albert.
Bagaimanapun, sebelum berkahwin pasangan tersebut mempunyai seorang anak luar nikah perempuan, Lieserl Albert yang dilahirkan pada tahun 1902. Einstein tidak pernah bertemu dengan bayi tersebut dan sehingga hari ini ia menjadi misteri serta tiada catatan terperinci tentang keadaan Lieserl.
Hans pula menjadi seorang profesor dalam kejuruteraan hidraulik di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS) manakala Eduard menghidap skizofrenia dan meninggal dunia pada tahun 1965.
Einstein begitu mengagumi keperibadian Mileva yang mampu berdikari dan tinggi intelektual.
"Makhluk yang sama taraf dengan saya dan kuat serta berdikari seperti saya," kata Einstein mengenai isterinya.
Namun, mahligai indah bersama Mileva hanya mampu bertahan selama 16 tahun sebelum beliau mengahwini sepupu terdekatnya, Elsa Einstein Löwenthal pada tahun 1919. Kemasyhuran Einstein mengakibatkan beliau sering didampingi wanita.
Tukar kerakyatan AS
Pada tahun 1933, beliau dituduh Rejim Parti Pekerja-Pekerja Jerman Sosialis Nasional kerana dikatakan berniat mencipta fizik Yahudi yang berbeza dengan fizik Jerman iaitu fizik Arya.
Disebabkan perbezaan pendapat tersebut, Einstein melepaskan kerakyatan Jerman dan berhijrah ke AS untuk menjadi profesor di Princeton, New Jersey serta menerima kewarganegaraan AS pada tahun 1940.
Dalam pada itu, atas nasihat seorang ahli fizik, Leo Szilard, beliau mengirim surat kepada Presiden AS ke-32, Franklin Delano Roosevelt pada tahun 1938 agar menyelidik mengenai nuklear bagi kegunaan tentera kerana bimbang kerajaan Nazi di bawah pimpinan Adolf Hitler membangunkan senjata atom.

PELBAGAI pemeran berkaitan Einstein diadakan di seluruh dunia untuk menghargai sumbangannya.

Kehidupan penuh liku dan masyhur Einstein menemui penghujung tepat pukul 1.15 pagi, 18 April 1955 di Hospital Princeton di New Jersey. Meninggal dunia pada usia 76 tahun, mayat beliau dibakar pada hari yang sama tanpa sebarang adat istiadat di Trenton, New Jersey mengikut hasratnya.
Ahli patologi yang melakukan autopsi terhadap mayat Einstein, Dr. Thomas Stoltz Harvey bagaimanapun menyimpan dan mengawet otaknya. Dalam masa empat dekad, otak saintis tersohor dunia itu dipotong kepada 200 keping oleh beliau untuk diberi kepada para pengkaji membuat kajian.
Pada tahun 1998, Harvey memulangkan semula otak berkenaan kepada ahli patologi Princeton sebelum beliau meninggal dunia.
Legasi dan teori-teori Einstein terus diingati serta dipraktikkan sehingga hari ini.
Bagi memperingati Einstein sempena ulang tahun kelahirannya pada tanggal 14 Mac, Akademi Sains dan Kemanusiaan di Jerusalem, Israel akan memaparkan manuskrip asal ahli fizik tersohor itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: