Nuffnang Ads

Ahad, Januari 20, 2013

Penawar ajaib penduduk Vietnam


PESAKIT kanser di Vietnam yang terdesak mendapatkan penawar melihat tanduk badak sebagai penamat kesengsaraan. Obsesi tersebut mengancam kelangsungan hidup badak liar yang kian berkurang jumlahnya.


Khasiat yang terkandung dalam tanduk haiwan tersebut menyamai protein yang ditemui di dalam kuku manusia. Walaupun mahal, ia terus mendapat permintaan yang tinggi sekali gus mendorong pembunuhan badak oleh pemburu haram tanpa henti di Afrika Selatan.
PEMBURUAN badak liar secara haram merupakan satu bentuk kekejaman terhadap haiwan.
"Saya disahkan menghidap kanser perut sembilan tahun lalu. Pelbagai usaha dilakukan termasuk mengambil ekstrak tanduk badak setiap hari. Kini doktor memberitahu keadaan saya stabil.

"Saya ada duit yang banyak, sudah berusia dan masih ingin hidup. Saya tidak mempunyai alasan untuk tidak membelanjakan wang bagi membeli tanduk badak yang mahal itu," ujar seorang lelaki tua yang kaya di Hanoi yang hanya mahu dikenali sebagai Nguyen Hung.

Kepercayaan bahawa tanduk badak mampu menyembuhkan pesakit kanser bagaimanapun ditolak oleh kajian perubatan. Tiada bukti kukuh menyokong kenyataan itu secara saintifik malah dua orang penghidap kanser yang menggunakan tanduk haiwan tersebut sebagai teknik rawatan, mati sebelum sempat ditemu bual AFP.

Namun kebanyakan orang Vietnam masih berpegang kepada teori yang dicipta mereka itu. Ia terus menjadi pilihan warganegara itu yang menganggap ia sebagai penawar ajaib.

Budaya tradisional

Tran Thi Hiep, 60, seorang pesara kerajaan yang mempunyai tumor di lehernya, telah menggunakan tanduk badak sebagai penyembuh sejak enam tahun lalu. Menurut wanita itu, mengikut budaya tradisional Vietnam, mereka perlu mencuba segala jenis penawar termasuk tanduk badak.

"Apabila sakit, kita perlu berdoa di empat penjuru bumi bagi mendapatkan penawar," ujar Thi Hiep yang memetik pepatah Vietnam yang popular.

Jalan Lan Ong di Hanoi ialah hab untuk kedai-kedai ubat tradisional yang sentiasa sibuk. Hampir setiap kedai menjual semangkuk penawar istimewa yang mengandungi hampas tanduk badak di permukaannya.
SEORANG lelaki menunjukkan cara-cara mengasah tanduk badak dengan pinggan seramik untuk mendapatkan serbuk tanduk.
"Tanduk badak digunakan bagi mencegah dan merawat kanser. Anda perlu mengisarnya sehingga menjadi serbuk sebelum mencampurkannya bersama air atau alkohol," kata Tran Thu Thao, pakar perubatan tradisional Vietnam.

Nilai 100 gram (g) ekstrak tanduk badak boleh mencecah 120 juta Dong (RM17,994) di pasaran gelap. Disebabkan kesukaran mendapatkan tanduk badak asli, wujud beberapa peniaga yang menawarkan tanduk palsu.

Membeli dan menjual tanduk badak diharamkan di Vietnam. Namun penguatkuasaan yang longgar dan pendakwaan terhadap penyeludup barangan itu juga jarang dilakukan. Kali terakhir dakwaan direkodkan ialah pada tahun 2005.

Modus operandi pembekal tanduk badak di negara itu juga menarik. Ada dalam kalangan mereka mengimport barangan itu secara sah daripada pemburu berlesen di Afrika Selatan. Pembelian itu dibolehkan kerana fungsi tanduk badak itu hanya sebagai trofi perhiasan.

Tetapi kegagalan pihak berkuasa Vietnam menjalankan pemeriksaan susulan mendorong pihak-pihak tersebut membawa barangan itu ke dalam pasaran gelap. Akhirnya ia lesap begitu sahaja dan menjadi penawar kepada mereka yang rakuskan ekstrak tanduk badak.

Desakan terhadap permohonan tanduk badak secara sah oleh Vietnam mendorong Afrika Selatan menggantung pengeluaran mereka. Mereka meminta pihak berkuasa Vietnam menjalankan pemeriksaan terperinci selepas tanduk badak yang dieksport selamat tiba di negara tersebut.

Naomi Doak dari Rangkaian Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (Traffic) mengatakan, perniagaan itu sangat menguntungkan sindiket yang terlibat.

"Risiko penyeludupan tanduk badak lebih rendah berbanding dadah dari segi pengesanan. Permintaan tinggi di Asia juga menyebabkan sebanyak 448 ekor badak diburu secara haram di Afrika Selatan sepanjang tahun lalu.
MALANG. Beginilah nasib seekor badak selepas tanduknya dipatahkan untuk tujuan komersial.
"Tahun 2007 hanya mencatatkan sebanyak 13 ekor badak dibunuh dan dijangka terus meningkat tahun ini. Sehingga bulan lalu, 170 ekor badak bertemu ajal akibat kekejaman manusia," jelas Naomi.

Seorang pegawai polis Vietnam, Tran Huy Tu yang mengalami strok tahun lalu tidak terkecuali menggunakan tanduk badak sebagai alternatif rawatan.

Huy Tu yang merahsiakan nama sebenarnya memberitahu, beliau kerap mengambil ekstrak tanduk badak bagi mengimbangi tekanan kerja dan ketagihan minuman keras.

"Saya boleh minum arak dengan banyak tetapi masih mampu mengawal diri dan kekal cergas. Ia mengekang diri agar tidak pening dan berasa lesu serta mempunyai efek tersendiri. Membeli tanduk badak secara haram salah di sisi undang-undang tetapi di Vietnam anda boleh membeli apa sahaja jika ada duit yang banyak," kata Huy Tu.

Koboi rodeo, usahawan Cina, pemilik salon kuku Vietnam dan pakar barangan antik Amerika Syarikat (AS) merupakan antara lapan individu yang ditahan setakat ini berhubung penyeludupan tanduk badak yang terbesar dalam sejarah AS.

Kumpulan penyiasat AS menyatakan lebih banyak tangkapan sedang dijalankan. Pihak berkuasa telah mengenal pasti konco-konco yang merupakan ahli kumpulan penjenayah yang mahir. Mereka digerakkan oleh penyeludup dari Ireland, China, Vietnam, AS dan lain-lain.

Produk mereka lebih berharga daripada dadah atau emas. Satu tanduk badak boleh dijual sehingga AS$0.5 juta (RM1.6 juta) di Vietnam dan di sebahagian Asia Tenggara.

"Masalah ini amat besar. Usaha bagi menghentikan jenayah ini menjadi keutamaan agensi kami," ujar timbalan ketua undang-undang penguatkuasaan untuk Servis Ikan dan Hidupan Liar AS (FWS), Edward Grace.

Tambah Grace: "Orang tengah di sini membeli tanduk badak pada harga AS$5,000 (RM15,610) untuk 454g dan apabila tiba di Vietnam ia mencecah sehingga AS$25,000 (RM78,062) dalam amaun yang sama."

Bukan itu sahaja, keuntungan menjalankan perniagaan haram itu juga mampu mencatatkan sehingga AS$500,000 (RM1.6 juta) apabila ia sampai pada tangan individu yang terakhir.

Link



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

X-COPY



Configuration After installing, you might want to change these default settings: