MANILA - Seorang jurugambar Indonesia yang memiliki wajah seiras bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan dia seperti berada di rumah ketika menjalani penggambaran iklan ubat di Filipina, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Jurugambar itu, Ilham Anas (gambar) mendapat durian runtuh dan perhatian meluas media selepas berita bahwa dia memiliki wajah mirip Obama tersebar.
"Selepas menonton versi akhir iklan itu, saya turut ketawa kerana ia sungguh lucu," kata Ilham ketika ditemu bual oleh wartawan akhbar Daily Inquirer Sunday.
Agensi pengiklanan Filipina TBWA-SMP menguji bakatnya pada bulan lalu untuk sebuah syarikat ubat-ubatan selepas mendapati dia memiliki wajah mirip Obama.
"Saya terkejut dengan tawaran tersebut. Semua rakan saya turut teruja dan membantu saya membuat persiapan ke Filipina. Isteri saya juga terkejut.
"Saya berasa seperti berada di negara sendiri kerana bentuk fizikal penduduk Filipina dan Indonesia tidak jauh berbeza. Saya melakukan banyak kesilapan berlakon tetapi krew-krew pengiklanan adalah profesional dan mereka memahami keadaan saya. Mereka akan menepuk tangan setiap kali saya melakukan yang terbaik," tambahnya.
Bapa kepada seorang anak itu bekerja sebagai jurugambar majalah hiburan sejak 1995 sebelum Ilham, 34, melanjutkan pelajarannya di Belanda pada 2006 dengan biasiswa Yayasan Foto Media Sedunia. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan