NUFFNANG

Sabtu, Mei 28, 2011

Emas timbul di belakang rumah



KAMALUDIN menunjukkan lokasi barang kemas muncul di kampungnya di Tapah, Perak.


OBSESI masyarakat terhadap emas dan harta karun tidak pernah pudar. Mereka sanggup meredah hutan dan mengorek tanah, malah menggunakan bomoh bagi mengesan lubuk harta tersebut.

Namun, bagaimana jika barang kemas bernilai ribuan ringgit tiba-tiba muncul di belakang rumah?
Bagi Hamidah Bakar, 65, yang tinggal di Kampung Muhibbah, Tapah, Perak, memegang sendiri barang-barang kemas yang timbul dari tanah di belakang rumahnya mengubah persepsinya terhadap harta karun.
"Apabila seorang kenalan dari Indonesia memberitahu kawasan semak yang bersempadan dengan Sungai Perak itu mempunyai 'sesuatu', niat saya tak lebih daripada sekadar ingin tahu," bicaranya membuka kembali cerita lewat tahun 2004 lalu.
Menurut Hamidah, kehadirannya ketika itu hanya memenuhi permintaan saudara terdekat bagi mencukupkan syarat untuk memperoleh harta karun itu.
"Untuk menarik harta karun itu, mereka memerlukan seramai tujuh orang. Oleh kerana saya kenal dengan pengantara iaitu lelaki Indonesia itu selain hendak mencuba, saya pun ikut mereka.
"Kami duduk mengelilingi kawasan tanah yang telah dibersihkan dan digemburkan. Kemudian, minyak kayu cendana dituangkan di situ sambil membaca zikir khas," jelas bekas guru ini.
Loket berukir
Selepas itu, mereka bertujuh dikehendaki menunggu di dalam rumah. Tidak lama kemudian mereka kembali semula ke belakang rumah untuk mengambil harta tersebut.
"Cuma seorang daripada kami yang boleh mengambil harta yang timbul dari tanah itu. Dia boleh mengambilnya sehinggalah disuruh berhenti oleh pengantara.
"Harta itu dimasukkan ke dalam guni dan apabila kami keluarkan semula, kami sangat terkejut kerana jumlahnya sangat banyak.
"Ia masih banyak walaupun telah dibahagikan kepada tujuh orang," jelas Hamidah sambil menunjukkan loket yang berbentuk hati.
Hamidah berkata, loket sebesar syiling 10 sen yang diperoleh di belakang rumahnya itu cukup istimewa kerana di atasnya berukir ayat Kursi.

GELANG tangan yang berukir ayat Kursi.


"Cukup halus ukirannya. Bila ditunjukkan kepada tukang emas, mereka mengatakan ukiran dan rekaan loket itu bukan berasal dari sini dan bukan dibuat pada zaman ini," ungkap beliau.
Menyentuh mengenai halaman belakang rumahnya, Hamidah memberitahu, jika tidak disebabkan kenalannya itu, sampai hari ini dia tidak tahu mengenai kewujudan harta karun tersebut.
"Ikut akal, memang tak logik. Dah berpuluh tahun saya tinggal di sini, memang langsung tak sangka. Namun, saya percaya harta karun ada di mana-mana.
"Cuma yang bernasib baik akan jumpa. Kalau niat tak baik, emas pada barang perhiasan itu akan hilang," katanya yang mengakui ada antara barang kemas yang dijumpai tidak bertukar menjadi emas.
Sekiranya ada yang mengaitkannya dengan perbuatan memuja, seorang lagi daripada tujuh sekawan berkenaan, Kamaluddin Mohd. Zain, 70, tampil membuat penjelasan.
"Tak ada unsur-unsur pemujaan atau penggunaan ilmu hitam. Mungkin hijabnya dibuka Allah dan sebab itu lelaki tua dari Indonesia itu mempunyai kebolehan untuk mengesan harta karun di tempat-tempat tertentu," kata Kamaluddin.
Upacara selepas Maghrib

RANTAI dan parang ini dipercayai sudah berusia ratusan tahun.


Menurutnya, upacara menarik harta karun tersebut hanya berlangsung sekitar 20 minit.
Malah ia juga dilakukan selepas solat Maghrib dan bukannya pada waktu tengah malam.
"Pada masa itu, saya seorang sahaja yang disuruh menunggu sehingga barang kemas itu muncul dari tanah. Mula-mula memanglah takut," katanya ketawa.
Tetapi selepas beberapa kali mencuba, perasaan gementar itu beransur hilang.
"Saya dan enam lagi kenalan sempat mengambil sebanyak empat kali sebelum harta itu hilang.
"Menurut pengantara, kehilangan harta karun itu mungkin disebabkan ada antara mereka bertujuh yang tidak betul niatnya," ujarnya yang merupakan seorang peniaga.
Menyentuh mengenai jenis harta karun yang dijumpai, jelas Kamaluddin, kebanyakan yang timbul adalah rantai, gelang, subang serta cincin.
Melihat sendiri barang kemas tersebut, corak, rekaan serta saiz nyata hasil peninggalan orang dahulu yang mungkin berusia ratusan tahun.
Ditanya sama ada beliau pernah terniat untuk menjualnya, Kamaluddin pantas menggelengkan kepala.
"Saya dipesan agar tidak menjualnya walau apa pun yang terjadi. Ia boleh diberi kepada orang lain namun tidak semua orang boleh memakainya," katanya.
Ujar Kamaludin lagi, pemilik barang kemas itu pasti mendapat gangguan seperti hati tidak tenteram, susah untuk tidur malah mendengar suara orang berbisik pada waktu tertentu.
Lebih menarik, bilangan barang kemas yang dijumpai itu didakwa boleh bertambah dan adakalanya akan hilang.
"Macam gelang tangan ini. Dulu masa diambil, hanya ada dua utas. Apabila saya balik ke rumah dan mengiranya kembali, bilangannya sudah jadi tiga," katanya sambil menunjukkan tiga utas gelang tersebut.
Meskipun sudah lima tahun berlalu dan harta tersebut masih disimpan baik oleh mereka bertujuh, bagi Kamaluddin, tiada apa yang akan kekal.
"Sekiranya semua barang kemas yang ada ini bertukar menjadi emas suatu hari nanti, itu saya anggap sebagai rezeki," katanya.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: