AWAN berbentuk wajah manusia tersenyum dirakam di Grand Falls, Kanada.
KOPERAL Suhairi Mahsan, 39, sedang bertugas di menara kawalan Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan apabila dia terpandang kepulan awan berbentuk aneh di langit.
Menurut Suhairi, dia melihat satu objek sedang turun perlahan-lahan. Setelah diamati, dia terkejut kerana awan tersebut berbentuk seperti jenazah yang sudah dikafankan.
"Cantuman kain kafan jelas di bahagian kepala dan kaki serta ia turun perlahan-lahan secara berdiri dan berhenti bersetentang dengan satu lagi gumpalan awan yang berbentuk orang yang memakai serban dan berdiri seolah-olah sedang menyembahyangkan jenazah tersebut.
"Ketika itulah kalimah syahadah jelas terlihat dari kepala hingga ke kaki gumpalan awan berbentuk jenazah itu," kenang Suhairi.
Peristiwa selepas subuh pada 27 Jun 2010 itu turut disaksikan oleh beberapa rakan Suhairi.
Kemunculan kepulan awan dalam pelbagai bentuk sudah lama dianggap fenomena yang menakjubkan bahkan menakutkan.
Wajah
Pada 4 Ogos lalu, seorang jurukamera amatur, Denis Farmer sempat merakam bentuk awan hitam dari belakang rumahnya di pekan Grand Falls, Kanada.
Awan berbentuk wajah manusia gergasi itu terjadi semasa angin kencang yang membawa hujan melanda kawasan itu.
Imej itu lengkap dengan hidung, mata dan muncul dengan mulut tersenyum. Kejadian itu berlangsung selama beberapa saat sebelum kepulan awan itu kembali kepada bentuk asal.
Sesetengah masyarakat menganggap bentuk aneh awan bayangan kuasa ghaib dan kejahatan manakala yang lain melihatnya sebagai mesej daripada Tuhan.
AWAN berbentuk pau kerap berlaku selepas ribut petir.
Penduduk Moscow, Rusia, yang menyaksikan satu fenomena unik apabila imej seperti cincin yang bersinar terbentuk di langit bandar raya itu pada 12 Oktober 2009 percaya ia berlaku akibat kuasa ghaib.
Imej itu dirakamkan oleh seorang penduduk dan boleh dilihat menerusi laman web YouTube.
Bagaimanapun, seorang pegawai meteorologi menafikan hujah kuasa ghaib itu.
Menurut seorang jurucakap agensi meteorologi di Moscow, kejadian itu disebabkan oleh kesan maya pada pandangan mata.
"Ia merupakan satu kesan maya walaupun kelihatan seperti mengagumkan.
"Jika anda melihat dengan lebih dekat, anda akan mendapati terdapat sinaran matahari yang datang melalui awan itu," katanya.
Sebenarnya, terdapat pelbagai bentuk awan. Di tempat paling tinggi yang udaranya dingin, terbentuk gumpalan awan kecil-kecil. Awan besar yang menyerupai kapas terjadi sewaktu udara panas naik dari permukaan bumi dan menjadi dingin.
Lapisan awan berwarna terbentuk dari udara yang hangat dan lembap dekat permukaan bumi. Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), awan diberi nama menurut tinggi dan bentuknya.
Kuasa ghaib
Awan sirus, sirokumulus dan sirostratus merupakan awan paras tinggi iaitu berada pada ketinggian lebih enam kilometer.
Ia selalunya nipis dan putih tetapi boleh menampilkan warna yang menakjubkan apabila matahari berada dekat dengan horizon. Awan sirus terjadi semasa cuaca baik dan bergerak mengikut tiupan angin.
Altokumulus, altostratus dan nimbostratus ialah awan paras sederhana iaitu di antara dua kilometer hingga lima kilometer. Ia mengandungi air hujan manakala kristal ais di tempat bersuhu sejuk.
Kululus, stratokumulus, stratus dan kumulonimbus adalah awan rendah yang mengandungi air hujan. Ia berada beberapa meter dari permukaan bumi hingga dua kilometer ke angkasa.
BENTUK bergulung terjadi selepas awan altitud rendah terperangkap dalam tiupan angin.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Razak Idris berpendapat kejadian awan membentuk imej manusia berlaku secara kebetulan.
Razak turut menolak dakwaan kononnya peristiwa seperti itu merupakan petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.
"Setiap kejadian Allah di muka bumi sudah diatur. Awan mempunyai peranannya sendiri. Bentuknya yang tidak tetap itu memang boleh menyerupai apa-apa lebih-lebih lagi apabila ada angin yang menolaknya.
"Tiada apa yang perlu dikhuatirkan kerana ia berlaku secara semula jadi," ujar beliau.
Razak turut menggesa umat Islam agar tidak mempercayai bahawa bentuk awan itu adalah jelmaan kuasa ghaib.
"Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan cerita di sebalik objek yang dilihat itu. Sebaliknya jadikanlah ia pedoman untuk kita menginsafi diri dan mengingati Tuhan.
"Kita memiliki al-Quran sebagai panduan. Kitab suci itu ada menyebut bahawa apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Semuanya hanya tunduk dan patuh hanya kepada-Nya," tegas Razak.
Mengulas mengenai awan berbentuk seakan jenazah yang dikafankan dan kalimah Allah, Razak berkata, umat Islam boleh menjadikannya sebagai peringatan supaya sentiasa mengingati Allah.
2 ulasan:
hebat...betul2 kagum
Saya pernah mendengar ustaz berkata ada hadis yang mengatakan,awan itu ibarat segerombolan biri-biri yang dijaga dan dikawal oleh malaikat,untuk mengawal dimana awan hendak berkumpul dan dimana awan hendak menurunkan hujan juga membanjirkan sesuatu kawasan jadi tidak mustahil awan boleh membentuk imej apa saja untuk peringatan manusia dengan perintah malaikat yang menjaganya...Thanks Harith Iskandar atas respon anda.
Catat Ulasan