MASA oh! masa. Kenapalah kau terlalu pantas, sampaikan banyak individu yang tidak ada masa. Ramai pula yang mendakwa tak sempat nak kejar masa. Ramai juga yang ditinggalkan masa.
Yang tunggu masa, masa pula tidak tunggu mereka.
Yang berjanji dengan masa, masa tidak pula berjanji dengan mereka.
AIR MATA DARAH
Siapa kita yang nak kawal masa? Kadang-kadang kita ingat kita senang esok lusa, rupa-rupanya esok lusalah masa yang paling sibuk bagi kita. Rupa-rupanya, kita dapati kita sudah tidak ada masa. Tiba-tiba kita dapati kita sudah buang masa, sudah rugi masa, kita bazir masa.
Yang dahsyatnya, masa yang berlalu tak boleh diganti lagi.
Kalau manusia menangis mengalirkan air mata darah sekalipun, masa tidak peduli, ia tetap berlalu dan berlepas.
Itulah hebatnya 'orang' yang bernama masa itu.
'TAYANGAN PERDANA'- SIAPA RUGI, SIAPA UNTUNG?
Masa remaja sekali sahaja. Gunakanlah masa itu semaksimum yang boleh. Jangan penuhi dengan kerja-kerja yang sia-sia saja. Misalnya, buat 'tayangan perdana'.
Sebenarnya, dalam era ini, 'tayangan perdana' melambak di internet dan hebatnya boleh dilayari secara mudah dan percuma.
Malangnya, masa dulu, ia melibatkan manusia luar, sedihnya kini, daripada pengarah, sehinggalah kepada pelakon, penjual dan penonton adalah orang kita, budak kita.
Masa melakukan aksi berani itu, budak kita ada masa melakukannya. Orang lain yang kononnya tidak ada banyak masa, ada pula masa untuk mencari klip video 'tayangan perdana' itu. Dan ada pula masa untuk menontonnya. Kadang-kadang berulang kali. Bab ini, semua ada masa.
Rupa-rupanya kita sudah ditinggalkan masa, masa yang menyaksikan budak hormat orang tua, orang tua hormat budak, guru ditakuti murid umpamanya. Masa itu sudah berlalu dan tidak akan datang lagi.
Sekarang ini masa budak boleh cabul orang tua begitulah sebaliknya. Masa pelajar tendang guru, ibu bapa saman guru.
Inilah realiti masa.
Jadi, dalam menghadapi perubahan masa, apakah kita akan gunakan pendekatan masa dulu untuk menangani masalah masa sekarang.
Atau kita semua diamkan diri, jaga periuk nasi masing-masing dan biarkan episod 'tayangan perdana' berlalu begitu saja. Atau kita biarkan masa menentukannya, Atau kita biarkan generasi akan datang selesaikan masa yang kita gagal selesaikan hari ini.
Sebenarnya kita kena serius dan proaktif tangani krisis tingkah laku daripada remaja sampai kepada orang tua.
Kalau tidak, kita sudah tidak ada masa. Masa tak tunggu lagi. Mungkin masa akan datang, lebih hebat lagi bentuk 'tayangan perdana'. Apakah jaminan masa itu kita boleh cari penawarnya sedangkan hari ini pun kita tidak seiya sekata tangani masalah ini. Salahkah kalau kita katakan, tidak ada orang peduli tentang keruntuhan akhlak remaja dan orang tua.
Mungkin ia berlaku kerana, masa ini bukan anak kita, mana tahu esok-esok, anak kita, atau kekasih, buah hati kita yang jadi pelakon utama 'tayangan perdana ' itu.
Apa-apapun jangan tunggu masa, ayuh kita ramai-ramai banteras gejala keruntuhan moral ini sampai ke lubang cacing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan