NUFFNANG

Selasa, Ogos 23, 2011

Hidup gengster Melayu


Hashim taiko gengster patah gigi buka botol arak.




MULANYA Hashim Atong, 62, enggan ditemu bual kerana kesibukan menguruskan perniagaan kedai makanan yang diusahakan bersama isteri di Lembah Subang, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor.
Malah pertemuan yang cuba diatur menghampiri solat Jumaat juga menyukarkan keadaan.
Tetapi penulis bernasib baik kerana perkenalan dengannya lebih setahun lalu banyak membantu, menyebabkan Hashim akhirnya ‘tewas’ dan bersedia untuk ditemui.
Segak berpakaian baju Melayu, kain pelekat, serban dan memakai gelang dan cincin perak, Hashim masih selesa dengan trademark dirinya yang bercelak serta misai tebal yang terjaga rapi. Kacak sikit, ujarnya.

Beliau membuka perbualan dengan kisah kehidupan ‘gelap’ yang pernah dilalui tidak lama dahulu. Sejarah awal hidupnya diselubungi aktiviti mengedar dadah, gengsterisme dan minuman keras.
“Malah saya pernah digelar sebagai bapa gengster. Ia mungkin berpunca daripada persekitaran hidup saya. Saya menetap bersama keluarga di Sungei Way yang majoriti penduduknya kaum Cina. Saya pula bekerja sebagai pemungut tiket di sebuah pawagam lama di sini.
“Kawan-kawan banyak jadi gengster. Itu membuatkan kita kadang-kadang pukul orang yang enggan bayar tiket. Disebabkan saya satu-satunya Melayu dalam kumpulan itu, saya digelar taiko gengster Melayu,” ujarnya yang boleh bertutur dalam bahasa Cina dan Inggeris dengan baik.
Dua botol sekali gus
Hashim juga mengaku dia dahulu merupakan seorang pemabuk, kaki perempuan dan kaki pukul.
“Saya buka botol arak menggunakan gigi sahaja. Malah dua botol besar arak boleh dihabiskan sekali gus. Saya minum pakai straw dan minum bersama 20 biji telur mentah.
“Sampaikan orang yang biasa minum arak pun terkejut dan menggelar saya taiko arak. Tabiat itu menyebabkan sebatang gigi sebelah kanan saya patah,” katanya sambil menunjukkan gigi palsu yang dipakainya sekarang.
Tambah Hashim, aktiviti sosial di kelab malam sudah menjadi acara wajibnya hampir setiap malam.
“Adakalanya saya berjoget sampai ke pagi hingga kepala jadi pening. Perempuan usah cakap.
“Duit pula sentiasa ada hasil peras ugut orang dengan minta wang perlindungan. Tapi semua itu tidak kekal sebenarnya. Banyak duit tapi hidup tidak pernah aman dan sentiasa ketakutan,” katanya yang tidak habis bersekolah rendah.
Bagaimanapun, kenangan hidup sebagai seorang gengster paling tidak dapat dilupakan Hashim.

Dia mengaku bergaduh dengan hanya menggunakan kekuatan fizikal tanpa senjata walaupun lawannya menggunakan parang, pisau dan senjata tajam lain.
“Lawan lima orang sekali gus pun saya tidak takut. Ini kerana saya belajar silat dan mampu mempertahankan diri walaupun susuk badan saya kecil.
“Sebenarnya kita perlu gunakan helah dan ketawa semasa berlawan. Pelik bukan? Tapi jika kita emosi, kita banyak tumbuk angin dan tidak fokus untuk menyerang bahagian yang lemah pada tubuh seseorang.
“Saya juga pakai helah dengan menyembur serbuk lada atau melempar pasir ke arah mata musuh. Masa dia tak nampak apa-apa, saya pukul cukup-cukup. Tapi kalau dah ramai sangat, lari sajalah. Saya tunggu hari lain untuk balas dendam,” katanya.


PEKAN Sungei Way di Petaling Jaya pernah berada di bawah 'taklukan' Hashim suatu waktu dahulu.



Tidak tenteram
Setelah puas bergelumang dengan dunia gelap yang menjadikan hidupnya sempit dan sentiasa tidak tenteram, Hashim berfikir sampai bilakah dia terus begitu.
“Ya, sampai bila hidup ini asyik diburu. Tengok orang pun takut. Jalani hidup seharian dengan ketakutan.
“Arwah ibu menjadi sebab saya berubah. Doa ibu mustajab walaupun dia telah lama meninggal dunia. Saya tidak dapat melupakan saat mak memandikan saya dan memberi minum air limau nipis bagi ‘membuang dosa’ minum arak dan dadah,” katanya dalam nada sedih.
“Saya juga tertangkap dan dihantar ke Pulau Jerejak di Pulau Pinang selama dua tahun pada awal 1970-an kerana kegiatan jenayah yang saya lakukan.
“Pengalaman di sana cukup memeritkan. Bayangkan anda bekerja setiap hari tanpa henti. Berada di pulau yang sepi, kita bagai telah mati. Seksanya waktu itu,” katanya sambil air mata mengalir membasahi pipinya.
Selepas Pulau Jerejak, Hashim telah dibuang daerah ke Bukit Payung, Kuala Terengganu. Dia membawa bersama isteri dan anak-anaknya.
“Saya menangis melihat isteri dan anak-anak. Adakah mereka perlu terus dikeji kerana kesilapan saya. Hidup tidak menentu dan mulai saat itu saya bertekad mengubah diri,” katanya.
Kini Hashim bersyukur kerana masyarakat mula menerimanya kembali dan berjaya membuka kedai makan hasil usahanya dengan isteri.
“Perit juga, pelbagai ujian datang. Dahulu saya berniaga tepi jalan sahaja sampai berapa kali kena saman pihak berkuasa tempatan.
“Modal tidak banyak. Jika peralatan berniaga kena rampas, perit untuk mengumpul modal lagi.
“Sekarang saya juga menjadi penasihat kepada bekas penagih dadah yang menubuhkan sebuah syarikat jualan cenderamata di Puchong, Selangor.
“Memang sukar untuk masyarakat menerima saya pada mulanya. Tapi jika kita ikhlas lama-kelamaan orang akan sedar. Ibarat kita ketuk pintu rumah seseorang, pada mulanya dia tidak buka tetapi kalau berulang kali akan dibuka, bukan,” katanya.
Kini Hashim hidup bahagia di samping 14 orang anak hasil daripada dua perkahwinannya dan 11 cucu yang amat disayanginya.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: