SALAH satu bunga yang terkenal dalam industri wangian ialah bunga sundal malam atau disebut juga sebagai santalia. Di sesetengah tempat ada yang memanggilnya sebagai sri pekan.
Ia tahan pada cahaya matahari dan boleh bertahan pada tanah yang separuh kering. Amat sesuai dijadikan pokok hiasan di halaman kerana bunganya yang semerbak terutama pada sebelah malam.
Ketinggian pokoknya sederhana dan tidak melebihi tiga meter. Ia berdaun hijau berkilat dan bunganya putih kekuningan. Nama saintifiknya Cestrum nocturnum dari keluarga Solanaceae. Mudah ditanam melalui keratan batangnya atau ditot.
Perusahaan bedak kulit rambai, Bunga Tanjung menjadikan bunga santalia ini sebagai bahan utamanya. Bunga dikeringkan bersama beberapa jenis herba lain dan diadun menjadi bedah pupuk atau bedak gosok untuk mandian.
Antara campurannya ialah kunyit hidup (Fibraurea tinctoria), lengkuas genting (Alpinia conchigera), serai wangi (Cymbopogon nardus) jeringai (Acorus calamus) dan lain-lain lagi termasuk kulit rambai kering (Baccaurea motleyana) dalam peratusan tertentu.
Bedak campuran bunga santalia juga dijadikan mandian bagi menghaluskan dan melicinkan kulit, menghilangkan parut-parut kecil pada kulit serta mencegah ketumbuhan jeragat pada kulit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan