NUFFNANG

Sabtu, September 17, 2011

Oh walit yang ralit

Oleh AMREE AHMAD


Sekumpulan burung walit yang tinggal di dalam bangunan lama.

MENDENGAR kicauan burung pada pagi hari mungkin agak syahdu bagi kebanyakan orang, seolah-olah mereka berada di kawasan hijau yang jauh daripada hingar-bingar enjin kenderaan.

Namun bagi pemilik kedai kopi, Ong Poh Kok, 54, di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, kicauan harmoni burung layang-layang yang juga dikenali sebagai walit kini berubah menjadi mimpi ngeri.
Poh Kok bersama jirannya, pengusaha kedai makan, M. Ramachandran, 58, dan penduduk lain di Jalan Tok Lam ibarat hidup di sarang burung gergasi.
Mereka pernah berpiket secara aman bagi membantah pihak berkuasa tempatan yang didakwa gagal bertindak biarpun puluhan aduan dibuat mengenai pencemaran udara dan bunyi di situ.
“Kami bukan dengki dengan pengusaha burung itu tetapi perniagaan itu biarlah sensitif dengan penduduk di sini yang merana kerana dia menjadikan bangunan mereka sebagai sarang walit,” katanya.
Masalah bermula apabila beberapa pengusaha membuka operasi penternakan burung layang-layang di tingkat atas rumah kedai di kawasan itu lima tahun lalu. Sejak itu, kicauan walit menjadi irama wajib Jalan Tok Lam.
Ramai penduduk mengakui anak mereka juga tidak lagi mahu balik beraya ke rumah disebabkan kicauan burung itu selain aroma dan ketulan najisnya mencemarkan kawasan tersebut.
SARANG burung ini biarpun berbau kurang enak mendapat permintaan tinggi di pasaran. - Gambar hiasan


Gejala ini bukan sahaja berlaku di Terengganu. Ia juga menjadi masalah di Pulau Pinang.
Kerajaan melalui Majlis Negara Mengenai Kerajaan Tempatan membenarkan industri itu dikembangkan secara komersial pada Oktober 2005 tetapi dengan syarat-syarat tertentu.
Antaranya ialah bisnes itu tidak dibenarkan di dalam atau dekat dengan kawasan perumahan dan penghasilan bunyi untuk memanggil burung itu hendaklah pada tahap nada bunyi rendah.
“Malangnya kerajaan negeri kurang bertindak tegas dalam menutup perniagaan sarang walit yang jelas ‘merosakkan’ sejarah bandar George Town,” kata Dr. Choong Sim Poey.
Presiden Yayasan Warisan Pulau Pinang itu berkata, selaku badan bukan kerajaan yang membela nilai khazanah sejarah negeri, tapak warisan dunia itu kini menjadi syurga walit.
“Ia sepatutnya sudah lama dihentikan tetapi lihatlah beberapa jalan bersejarah yang berubah kepada imej bising akibat burung walit seperti Lebuh Armenia dan Lebuh Campbell,” jelasnya dalam nada kesal.
IBRAHIM meninjau keadaan sarang burung walit miliknya yang dibina dalam bangunan khas dekat rumahnya di Kota Tinggi, Johor.


Bayangkan terdapat lebih 155 buah kedai sarang walit di hampir semua jalan di pusat bandar George Town sahaja dan dianggarkan kini terdapat lebih 10,000 premis burung walit di seluruh negara.
Kerajaan tempatan perlu memperkenalkan syarat yang ketat untuk dipatuhi kerana industri itu menimbulkan pelbagai risiko di kalangan penduduk seperti penyakit, kotoran dan gangguan bunyi.
Kesannya boleh menyebabkan nilai hartanah jatuh, kualiti hidup terjejas dan ternakan burung walit di kawasan padat penduduk akan membawa jolokan bandar hantu dalam jangka panjang.
Di Pulau Pinang, sebahagian besar daripada lebih 800 pengusaha burung itu beroperasi di daerah Seberang Perai Selatan khasnya Nibong Tebal.
Berdasarkan rekod semasa, Majlis Perbandaran Seberang Perai pernah menerima 1,046 permohonan daripada pengusaha di semua tiga daerah di Seberang Perai.
Pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim memberitahu, pihaknya banyak menerima aduan mengenai gangguan burung itu dari seluruh negara.
“Dalam satu kes di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, sejumlah 60 penduduk di kawasan itu menghantar memorandum kerana aduan mereka sejak 10 tahun lalu tiada tindakan,” katanya.
Penduduk beberapa pekan kecil di Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat turut menyuarakan ketidakpuasan hati ekoran industri itu dijalankan tanpa kawalan pihak berkuasa.
Bau loya bahan makanan burung itu, pembiakan nyamuk daripada takungan air di sarang, tompokan najis selain bunyi cicipan tanpa henti daripada pembesar suara nyata menjadi masalah besar.
“Tindakan keras perlu dikenakan kerana ada kes premis yang diluluskan tidak mematuhi syarat terutama mengeluarkan tahap bunyi lebih 40dB dan gagal mengikut jangka masa operasi,” katanya.
PULANGAN lumayan bisnes sarang burung walit menjadikan semakin ramai yang berminat menternak spesies tersebut sejak kebelakangan ini.
Namun, burung berwarna gelap itu sebenarnya ada kehidupan unik. Ia perlu diketahui sebelum seseorang menceburi bidang ternakan sarang burung walit.
Selain kegemaran meluncur dan terbang pantas kerana saiznya kecil, haiwan itu adalah pemakan serangga kecil di sawah, tanah terbuka, hutan, pantai dan perairan.
Spesies itu menetap di gua atau rumah yang mempunyai suhu lembap dengan keadaan remang dan menggunakan lelangit bangunan untuk membuat sarang daripada air liurnya.
Bagi seorang penternak, Ibrahim Marsan, bukan mudah untuk memulakan projek sarang walit tetapi atas minatnya, dia menebalkan muka bertanya kepada penternak yang lebih berpengalaman.
Peneroka Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, Johor itu bernasib baik kerana ada ramai rakan kaum Cina mengusahakan ternakan itu dan menurunkan ilmu kepadanya.
Salah satu faktor dia menceburi bidang itu kerana ia mampu memberikan keuntungan lumayan selepas 22 tahun terlibat dalam kerja penanaman kelapa sawit.
“Dalam penanaman kelapa sawit, pokok perlu ditebang untuk program tanam semula. Apabila pokok tiada, kita tiada hasil bagi meneruskan hidup. Saya lihat ternakan walit berbeza daripada kelapa sawit.
“Tidak perlu benih, jagaan rapi atau bagi makan, cuma sediakan rumah dan bila cukup masa, kutip hasil,” katanya yang nekad membina rumah burung tersebut dua tahun lalu.
Dengan modal permulaan sebanyak RM40,000, rumah burung itu yang dibina hasil titik peluh tanaman kelapa sawit didirikan di bahagian atas rumahnya sendiri.
“Bisnes ini memang untung waima belum dikomersialkan sepenuhnya. Pulangannya cukup untuk rezeki sekeluarga,” katanya yang turut memiliki bengkel motosikal yang diuruskan anaknya.
Pada masa ini terdapat 2,000 ekor walit menginap di rumah burung itu dan setiap hari Ibrahim memainkan bunyi burung itu dari pukul 6.30 pagi hingga 7.45 petang untuk memanggil mereka.
Burung walit tidak mudah membina sarang jika kawasan sekitarnya tidak sesuai. Setelah empat bulan menginap, barulah burung itu membina sarang daripada air liurnya.
Menyedari projek itu mampu memberi pendapatan lumayan, Ibrahim memperuntukkan RM200,000 untuk membina sebuah lagi rumah burung setinggi dua tingkat.
“Kini saya hanya pungut hasil satu kilogram sebulan. Pada saya itu sudah baik kerana satu gram jualan ialah RM4.50. Mungkin pada masa depan saya mampu raih 10 hingga 20 kilogram sarang burung sebulan,” katanya.
Setiap satu sarang burung mampu mencecah berat kira-kira 10 gram dan ia dijual dengan harga tinggi kerana khasiatnya dipercayai baik untuk kesihatan.

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: