SUNGAI PETANI - "Semasa saya masuk bilik tersebut untuk mengambil sijil kelahiran cucu saya yang hilang, tidak ada apa-apa barang di atas katil, tetapi selepas 10 minit saya masuk semula ke bilik itu saya hairan melihat sesuatu berbungkus atas katil.
"Saya hampiri bungkusan itu dan bila saya buka saya amat terkejut melihat cucu saya, Norshahmimi ada dalam selimut yang dibungkus macam lepat pisang."
Demikianlah cerita Asmah Ahmad, 70, nenek kepada kanak-kanak yang hilang selama empat jam di rumahnya di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau di sini kelmarin.
Asmah merupakan orang pertama menemui cucunya itu.
Menurutnya, dia masuk semula ke bilik tersebut kerana mahu menyimpan kembali sijil kelahiran Norshahmimi selepas ditunjukkan kepada polis.
Asmah memberitahu, sebelum itu dia, ibu bapa Norshahmimi dan seluruh jiran telah menggelidah seluruh rumah, malah selepas digelidah, bilik tempat Norshahmimi ditemui semula turut dikemas semula.
"Semasa itu tidak ada pula Norshahmimi, entah dari mana tiba-tiba dia muncul dalam keadaan dibungkus," katanya semasa ditemui semalam.
KOSMO! melaporkan seorang murid tahun tiga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Fuh Shan, Bukit Selambau di sini hilang ketika sedang bersiap untuk ke sekolahnya pada pukul 6.45 pagi.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu ditemui semula dalam bilik di rumahnya pada pukul 10.45 pagi.
Sementara itu, Norshahmimi yang baru pulang dari sekolah dilihat ceria dan sanggup melakonkan semula bagaimana dia ditemui berselimut di atas katil.
Anak bongsu pasangan Mohd. Sabrin Shamsudin, 44, dan Rozina Shuib, 42, dari- pada empat beradik itu turut menyatakan berkali-kali kepada wartawan KOSMO! bahawa dia dibawa bersiar-siar di kawasan sekitar belakang rumahnya oleh seorang lelaki tua dengan menaiki sebuah kereta.
"Adik (Norshahmimi) turut dipelawa untuk makan oleh lelaki itu di sebuah kawasan lapang, tetapi adik menolak sambil mena- ngis sebelum adik dihantar pulang ke rumah dan dibalut dengan kain selimut dan ditidurkan oleh lelaki yang tidak adik kenali itu.
"Adik hanya tersedar setelah nama adik dipanggil oleh nenek dan terkejut melihatkan orang ramai mengerumuni adik sambil ada yang menangis," kata Norshahmimi yang juga fasih berbahasa Cina itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan