NUFFNANG

Ahad, Oktober 09, 2011

Terpedaya dakyah Jepun



MENGIMBAU kembali sejarah pembinaan landasan kereta api maut dengan melintasi kawasan berkenaan pastinya memberikan satu pengalaman yang unik kepada pengunjung.



FILEM Bridge On The River Kwai keluaran Hollywood pada tahun 1957 mungkin jarang dikenali anak muda kini, namun kisah sekumpulan tahanan perang tentera British itu popular di kalangan generasi lama.
Malah ia lebih sentimental jika individu itu sendiri pernah terlibat menjadi buruh paksa dalam membina landasan kereta api maut di antara Thailand-Burma (kini Myanmar) semasa Perang Dunia Kedua dahulu.
Biarpun plot filem diubah, tetapi realitinya jambatan yang dimaksudkan itu yang terletak di Sungai Mae Klong dalam Wilayah Kanchanaburi, Thailand masih wujud dan dikenali sebagai Jambatan Sungai Khwae Yai sejak 1960.
Salah seorang yang terbabit membina jambatan itu ialah Daud Puteh, 82. Anak kelahiran Kampung Cherang Hangus, Lubok Jong, dekat Pasir Mas, Kelantan ini turut merasai kepayahan bergelar buruh paksa tentera Jepun.
Memulakan bicara, kesusahan hidup semasa era perang menyebabkan dia beria-ia memujuk ibunya agar membenarkannya bekerja dengan tentera Jepun di Thailand, apatah lagi beberapa teman sekampung turut serta.
"Walaupun kehidupan kampung tidak seteruk di bandar, tetapi janji Jepun mahu beri upah yang besar sebagai buruh menyebabkan saya teruja apatah lagi ingin lihat negara orang," ujarnya mengingati detik itu.
DAUD PUTEH


Daud berkata, pemergiannya ke sana atas kerelaan sendiri setelah tertarik dengan kempen dakyah Jepun yang menjanjikan layanan istimewa dan jaminan akan dihantar pulang ke kampung sebaik kerja-kerja buruh itu selesai.
"Dari kampung, saya bersama lima rakan berjalan kaki ke stesen kereta api Pasir Mas dan agak terkejut apabila melihat tidak kurang 200 anak muda seusia kami juga telah berada di situ sejak awal pagi lagi.
"Setelah kira-kira empat hari menunggu, kami diarah pula oleh tentera Jepun untuk menaiki gerabak kereta api barang yang setiap satunya mampu memuatkan 50 orang dan tidak kurang 20 gerabak kesemuanya.
"Sejak hari pertama berada dalam gerabak yang sesak itu saya dah mula rasa macam tertipu, apatah kami cuma diberi makan nasi dengan ikan kering saja sepanjang perjalanan," jelasnya mengimbau peristiwa itu.
Setelah lima hari perjalanan, kereta api berhenti di sebuah tempat dipercayai di Thailand dan semua buruh diarah keluar sebelum dipaksa berjalan kaki selama tiga hari tiga malam tanpa bekalan makanan yang mencukupi.
"Kalau tak silap, kami kemudian tiba di tempat bernama Nong Pladuk dekat Wilayah Ratchburi lalu diarah mendirikan sebuah bangsal besar yang boleh memuatkan antara 100 hingga 200 orang buruh," tambah Daud.
Ia menjadi tempat tinggal mereka sepanjang bekerja di situ. Mulai saat itu, dia mula terfikir untuk melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan yang mengancam keselamatan tetapi sering terbantut.
"Maklumlah bimbang ditangkap tentera Jepun yang bengis. Semua buruh Malaya bekerja mencangkul, angkut dengan pongkes bagi tambak jalan untuk bina laluan kereta api namun kesihatan kami mula merosot.
"Ini kerana kerja berat dan tidak cukup makan. Buruh yang maut cuma dibakar, dihanyut ke sungai atau ditanam macam bangkai haiwan saja. Bermula saat itu, saya berazam untuk lari daripada igauan ngeri," ujarnya.
Bersama beberapa rakan, Daud berjaya meloloskan diri dari kem itu pada waktu malam sebelum hanyut selama dua hari dua malam di atas sebuah rakit yang mereka dibina sehinggalah tiba di sebuah wat Siam.
Dari sana mereka naik ke daratan lalu meredah hutan selama tiga hari tanpa tujuan sebelum tiba di pinggir kota Bangkok dan sepanjang tempoh itu mereka hanya makan pisang dan minum air hujan sahaja.
"Melalui bantuan penduduk tempatan, kami kemudian tinggal di Kampung Kok Nyai di pinggiran Bangkok sebelum pak cik berkahwin dengan seorang gadis tempatan dan dikurniakan seorang cahaya mata," katanya.
Ketika di situlah Daud turut mempelajari pelbagai ilmu perubatan tradisional berkaitan urat saraf khususnya dalam mengubati penyakit lemah tenaga batin, selain menguasai kemahiran tinju popular tomoi.
"Setelah kematian isteri, pada pertengahan tahun 1950, saya kembali ke Pasir Mas lalu menetap di Kampung Acing sebelum menikahi gadis tempatan (isterinya sekarang) dan dikurnia dua anak," ujarnya lagi.
Daud yang juga salah seorang guru tomoi tersohor di kampungnya malah dikenali kerana berkebolehan dalam perubatan tradisional seperti memulihkan semula tenaga batin, uluran, medu batu dan angin.
Uniknya, kisah hidup beliau turut dimuatkan dalam buku Buruh Buruh Paksa Landasan Keretapi Maut Burma terbitan Jabatan Muzium Negeri Kelantan pada tahun 2003 lalu.
Mengakhiri perbualan, Daud bagaimanapun melahirkan perasaan kecewa kerana harapan untuk merasai pampasan kerajaan Jepun yang dijanjikan Persatuan Buruh Buruh Paksa Landasan Keretapi Maut Burma tidak kesampaian.
Oleh ZAKI SALLEH & ABDULLAH AWANG

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: