KUKU Lee Redmond patah akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2009. |
DENGAN kuku sepanjang 606 sentimeter (sm), Chris ‘The Dutchess’ Walton kini memegang rekod sebagai pemilik kuku terpanjang di dunia. Ia mengambil masa selama 18 tahun untuk tumbuh dan mungkin memerlukan rawatan manicure paling mahal di dunia.
Penyanyi dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berusia 45 tahun itu mencatat nama dalam Guinness Book of Records dengan ukuran kuku tangan kiri sepanjang 309 sm dan 297 sm bagi tangan kanan.
“Ia sebahagian daripada tubuh kita,” kata Walton.
Sementara dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya tanpa kuku yang panjang, ramai yang tertanya-tanya apa yang boleh dilakukannya dengan kuku sepanjang itu?
Menurut Walton, dia boleh melakukan semua perkara termasuk memandu kereta, membeli-belah dan membuat kerja rumah. Ya, semua perkara kecuali menyeluk poket seluarnya.
“Perkara paling susah bagi saya ialah untuk menyeluk poket. Yang lain saya boleh buat sendiri - memandu, pergi ke pasar raya dan membersihkan rumah walaupun kadang-kadang wayar vakum akan berbelit pada kuku saya,” ujarnya.
Pakaian
Satu lagi aktiviti yang tidak dapat dilakukannya ialah berenang. “Saya tidak berenang bukan disebabkan kuku tetapi masalah rambut,” akui Walton.
Dalam satu interviu dengan akhbar Huffington Post di New York, Walton menunjukkan cara dia menggunakan telefon bimbit iaitu dengan menekan butangnya menggunakan buku jari bagi menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).
Walton memberitahu, dia sentiasa memikirkan mengenai kukunya sejak 18 tahun lalu. Dia juga terpaksa mengubahsuai pakaiannya khususnya membuang semua kelim tangan dan menggantikannya dengan zip. Jadi dia tidak perlu menyarungkan tangan pada lengan baju sebaliknya cukup dengan mengenakan baju ke badan dan tangannya sebelum mengemaskannya dengan zip.
Ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada tiga cucu itu berkata, dia tidak membela kuku sebagai hobi sebaliknya ia hanya satu kebetulan.
“Saya tidak membiarkannya panjang semata-mata untuk memasuki rekod Guinness,” katanya.
“Satu hari saya berhenti memotong kuku kerana saya mahu lihat bagaimana rupanya jika panjang,” tambahnya.
Walton berkata, dia tidak mempunyai diet khusus untuk kuku atau mengambil vitamin dan suplemen tertentu. Dia cuma gemar mengunyah gula-gula, katanya.
Dia bagaimanapun begitu menjaga kukunya dengan menjalani rawatan manicure sebulan sekali. Apabila ditanya berapa botol cecair pengilat kuku digunakan dalam setiap rawatannya, Walton memberitahu: “Ia bergantung pada jenama dan bagaimana ia berfungsi.”
Walton turut digelar ‘Edward Scissorhands’ sebenar iaitu lelaki bertangan gunting lakonan Johnny Depp dalam filem tahun 1990 dengan tajuk yang sama itu.
Kemalangan
“Saya pasti memotongnya suatu hari nanti tetapi saya sudah biasa hidup berkuku panjang. Seperti juga kaki, bukan senang untuk saya membuangnya begitu sahaja,” ujar Walton.
Pemegang rekod kuku terpanjang sebelum ini ialah seorang nenek dari Salt Lake City, Utah, AS, Lee Redmond. Redmond tidak pernah memotong kukunya selama 30 tahun iaitu sejak tahun 1979.
Malangnya, semua kukunya patah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan pada tahun 2009.
Nama Redmond disenaraikan dalam Guinness Book of World Records pada tahun 2008 dengan panjang keseluruhan kukunya ialah 848 sm.
Kuku terpanjang, di ibu jari kanan, ialah sepanjang 87 sm. Redmond yang suatu ketika dibayar setinggi AS$100,000 (RM300,000) untuk muncul dalam rancangan televisyen secara langsung, sekarang telah kehilangan mahkota kebanggaannya.
Pada tahun 2006, dia dilaporkan bersedia memotong kuku bagi membolehkannya menjaga suaminya yang menghidap Alzheimer.
Bagaimanapun, dia mengubah fikiran dengan berkata kuku itu tidak mengganggu kerja-kerja hariannya. Menurut Redmond, dia menjaga kukunya setiap hari, melumurnya dengan minyak zaitun dan membersihkannya dengan berus gigi. Dia juga pernah ditanya bagaimana dia menggunakan tandas dan bilik mandi, Redmond menjawab: “Dengan sangat berhati-hati.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan