NUFFNANG

Khamis, Disember 01, 2011

Secawan kopi luwak RM300



SIAPA sangka najis musang atau luwak kini mampu menjadi komoditi bernilai tinggi yang menguntungkan pengusaha kopi di Indonesia.


LELAKI Indonesia yang menggelarkan dirinya Raja Luwak, Gunawan Supriadi kini berdepan kesukaran untuk memenuhi permintaan tinggi kopi luwak yang diproses daripada najis-najis musang peliharaannya.
Gunawan tidak bersendirian, pengusaha-pengusaha lain turut mengalami dilema yang sama.
Pengeksport-pengeksport berkata, permintaan terhadap biji kopi yang diproses daripada haiwan berbulu spesies musang atau lebih dikenali sebagai luwak meningkat secara mendadak dalam kalangan penggemar kopi di seluruh dunia.
Di ladangnya yang terletak di daerah, Lampung Barat, Sumatera terdapat sekitar 40 ekor musang yang memproses biji kopi secara semula jadi di bawah jenama kopi Raja Luwak. Daerah itu sememangnya terkenal sebagai pusat pengeluaran kopi luwak.
Pelihara musang
"Saya bercadang untuk memelihara 150 ekor musang pada masa hadapan bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.
"Tiga tahun lalu, saya berjaya mengeluarkan kira-kira 50 kilogram (kg) kopi itu dan menjualnya kepada pengedar-pengedar tempatan.
"Bagaimanapun jumlah jualan pada tahun 2009 meningkat kepada 300kg. Pada tahun lalu, saya berjaya menjual sebanyak kira-kira 1.2 tan."


SELAIN menjadi penghilang dahaga, ada yang mempercayai khasiat kopi luwak dapat mengubati pelbagai penyakit.



Nilai najis emas luwak, musang dari spesies Asian palm civet itu mampu mencecah sehingga AS$800 (RM2,422) sekilogram di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
Kisahnya berbeza sebaik sahaja ia memasuki pasaran. Secawan kopi luwak yang diiktiraf antara kopi yang termahal di dunia mampu mencecah sehingga AS$100 (RM300) di beberapa lokasi terkemuka di London.
Haiwan itu memainkan dua peranan penting dalam penghasilan kopi. Pertama, ia memilih biji kopi terbaik untuk dihadamkan. Pakar-pakar turut berpendapat musang liar paling dicari-cari kerana kecerdikannya, namun ia agak sukar ditemui.
Setelah menggigit lapisan luar kulit buah kopi, biji kopi yang masih berkulit ditelan sebelum sistem pencernaan haiwan itu mula memprosesnya secara semula jadi. Enzim-enzim mula meresap dan memberi keseimbangan kimia terhadap biji kopi, lazimnya jenis Arabica kerana ia banyak ditemui di sekitar Sumatera.
Selepas dibersihkan, biji kopi kemudiannya dijemur dan dibakar. Produk akhirnya ialah kopi yang kurang pahit berbanding kopi-kopi biasa serta mempunyai rasa yang unik dan lazat.
"Jika ia boleh diumpamakan seperti sebuah kereta, ia setaraf dengan Rolls-Royce," ujar Supriadi.


BIJI kopi yang sedia tercerna, dibersihkan, dijemur dan dibakar sebelum diproses menjadi serbuk kopi.


Seorang pengeksport kopi luwak, Doni Irawan memberitahu, jualannya meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Ia telah menjadi primadona disebabkan harganya yang tinggi dan bekalan terhad. Penggemar-pengemarnya sentiasa bertambah dari semasa ke semasa," katanya.
Tradisi kopi luwak dikatakan bermula sejak beberapa ratus tahun lalu ketika era penjajahan Belanda di Indonesia.
Larangan membawa pulang kopi yang ditanam oleh tuan-tuan tanah ketika itu menyebabkan petani-petani tradisional mengumpul, membersihkan dan membakar biji-biji kopi tidak tercerna daripada najis haiwan yang mereka temui di dalam hutan.
Negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai populasi 240 juta penduduk itu kini merupakan pengeluar utama kopi luwak. Bagaimanapun industri itu hanya berkembang dalam tempoh beberapa tahun lalu menyebabkan data-data rasmi mengenai jumlah eksport yang dilakukan sukar diperoleh.
Penjual-penjual memberitahu, permintaan terhadap kopi luwak sentiasa tinggi dalam kalangan golongan berada dan pertengahan di negara itu.
Jenama tiruan
Di negara yang mempunyai kira-kira 40 peratus rakyatnya berpendapatan kurang daripada AS$2 (RM6) sehari, kopi luwak dijual pada harga AS$8 (RM16) secawan di sekitar pusat beli-belah.


TRADISI kopi luwak dikatakan bermula beberapa ratus tahun lalu ketika era penjajahan Belanda di Indonesia.



"Saya tidak pernah menyukai kopi, tetapi selepas mencuba kopi luwak, saya rasakan dunia saya berbeza. Saya semakin ketagih padanya," kata seorang penduduk di Jakarta, Galang Sulung Ramanda, 24.

"Saya minum kerana kebaikannya dari sudut kesihatan. Saya diberitahu ia mampu mencegah penyaki asma, Parkinson, kanser usus dan diabetes," jelasnya.
Kejayaan kopi luwak menyebabkan wujudnya beberapa jenama tiruan di pasaran yang menjanjikan pengalaman menikmati kopi yang sama pada harga separuh daripada harga asal.
Tidak mahu ketinggalan dalam persaingan itu, usahawan-usahawan di Vietnam memberitahu, mereka telah membangunkan kaedah mengubah biji kopi biasa secara kimia dan menghasilkan rasa yang sama seperti kopi luwak. - AFP

Source Link

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: