NUFFNANG

Ahad, Oktober 07, 2012

Seram Genderuwa suami hantu kopek

Genderuwa dikatakan pernah tertangkap di Indonesia

TANAH Jawa, Indonesia dikatakan satu-satunya lokasi untuk menemui makhluk halus yang dikenali sebagai genderuwa. Dalam bahasa masyarakat Sunda, ia dipanggil genderuwo.

Menurut catatan orang tempatan, makhluk tersebut merupakan jelmaan jin yang terdapat di kawasan Slogohimo dan Wonogiri, Jawa Tengah serta Kulon Progo di Jogjakarta, Indonesia.

Ia gemar mendiami kawasan sunyi terutamanya tempat berbatu dan berair, pokok besar, bangunan lama dan tempat yang jauh daripada manusia.

Fizikal makhluk ini sering diterjemah seperti manusia atau monyet tetapi saiznya lebih besar, memiliki kulit berwarna hitam kemerahan dan badannya ditumbuhi bulu.
Sering menjadi bahan cerita orang tua untuk menakutkan kanak-kanak dan anak gadis agar mendengar kata di Jawa, genderuwa juga dikatakan boleh berubah rupa.

Selain itu, sesetengah rakyat Indonesia percaya genderuwa merupakan jelmaan orang yang mati yang mayatnya tidak diuruskan dengan sempurna.

Penulis kisah misteri Indonesia, R. P. Suyono dalam bukunya yang berjudul Dunia Mistik Orang Jawa menjelaskan bahawa genderuwa memiliki sifat yang boleh menampakkan diri dalam pelbagai bentuk.

Pada waktu siang makhluk tersebut boleh menonjolkan dirinya seperti ular, buaya, burung pemangsa atau haiwan ganas lain yang sering ditakuti manusia.

“Pada malam hari pula genderuwa boleh berubah menjadi seperti lelaki dan menganggu wanita yang suka berjalan sendirian di kawasan sunyi,” ujar Suyono mengenai makhluk kepercayaan agama Hindu dan Buddha itu.

Genderuwa terkenal dengan sifatnya yang gemar menganggu manusia. Masyarakat Jawa percaya bahawa apabila kedengaran seperti sesuatu dicampakkan di atas bumbung rumah, itu adalah angkara genderuwa.

“Makhluk itu memang suka mengganggu manusia dengan cara melempar batu ke atap rumah penduduk kampung atau meludah pada orang dan haiwan dengan air liur sirih.

Isteri

“Orang Jawa percaya apabila lampu yang terpadam dan hidup kembali juga merupakan kerja genderuwa. Ia turut mengetuk dan menggoncang pintu dan tingkap rumah penduduk,” katanya lagi.

Biarpun menurut Suyono bahawa genderuwa tidak merbahaya dan sekadar muncul untuk menganggu ketenteraman manusia, namun makhluk tersebut boleh menyebabkan kematian.

Dipercayai bahawa mereka yang terserempak dengan genderuwa akan terkejut kerana ketakutan sehingga akhirnya menemui ajal.

Tambahnya juga, genderuwa mempunyai isteri yang dikenali sebagai wewe gombel. Ia digambarkan sebagai makhluk yang berupa orang tua yang menakutkan.

“Badan wewe kurus dan kerepot. Buah dadanya panjang dan tergantung hingga mencecah lantai. Makhluk itu mencari kanak-kanak pada waktu senja dan disembunyikan di bawah dadanya,” jelas Suyono mengenai makhluk yang mempunyai sifat sama dengan hantu kopek yang popular di negara ini.

Menurut versi cerita masyarakat tempatan, genderuwa merupakan lembaga yang memiliki nafsu seksual yang tinggi.

Ia boleh menyamar sebagai suami kepada seorang wanita yang ingin ditidurinya dan melakukan hubungan intim dengan wanita tersebut.

Dikhabarkan genderuwa juga boleh menyebabkan seseorang wanita yang kesepian hamil apabila bersekedudukan dengannya.

“Ia sering mencari wanita kesepian untuk bersama,” kata seorang penduduk di Kebumen, Jawa Tengah, Indonesia, Didik Budi.

Link

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: