NUFFNANG

Jumaat, Februari 22, 2013

RAHSIA BATU CINCIN

TANPA menghiraukan keadaan di sekelilingnya, Rahim Hanipah leka menghadap meja kecil pada ruang tamu rumahnya yang terletak di Taman Puchong Intan di Puchong, Selangor. 

Berbekalkan sebuah kanta pembesar, dia memerhatikan objek kecil berwarna hijau gelap yang berada di tangannya dengan penuh teruja.

Lelaki berusia 53 tahun itu kemudian mengambil salah sebuah buku tebal yang tersusun rapi di atas meja di hadapannya sebelum mula menyelak lembarannya.

“Inilah batu maldovite. Ia merupakan batuan semula jadi yang dipercayai wujud akibat impak meteor di bumi sekitar 14.2 juta tahun dahulu. 

Masyarakat neolitik di Eropah Timur percaya batu ini mampu memberi kuasa spiritual dan metafizik kepada pemiliknya,” terangnya sambil menunjukkan helaian yang menunjukkan imej seperti objek sebesar saiz syiling 20 sen itu.

Ujar Rahim, batuan kristal jernih daripada jenis tektite berbentuk bulat atau berkedut yang sering dijadikan batu kalung dan cincin batu permata itu diperoleh daripada seorang rakan di Singapura sejak setahun lalu.

Katanya, batu itu telah diagnosis dan disahkan asli, malah harganya di pasaran mampu mencecah RM2,000 hingga RM3,000.

“Biarpun ada yang berminat, saya tidak mahu menjualnya kerana mahu menjadikannya bahan kajian dan penyelidikan pada masa hadapan,” katanya yang memberitahu batu itu hanya boleh diperoleh di sekitar Republik Czech.

Jelasnya, batu maldovite dan batuan semula jadi seperti agate (batu akik), amethyst (kecubung), aquamarine, beryl bloodstone (batu darah), citrine, cubic zirconia, zamrud, berlian, firuz, batu bulan, opal, batu nilam, batu delima dan topaz sering menjadi buruan peminatnya di negara ini.

Jelasnya, setiap kategori batuan itu memiliki komposisi kimia, struktur, warna dan kekerasan yang berbeza-beza.

Ada batu-batu permata yang terhasil daripada fosil haiwan dan tumbuhan jutaan tahun dahulu seperti batu belut, batu mani gajah, batu teras kelor dan batu jarum emas.

“Ada juga yang cincin yang terhasil melalui teras kayu. Misalnya, kayu tas, raja kayu merah, kayu ibo, teras kayu nibong tunggal dan kayu naga sari dikatakan bernilai tinggi terutamanya dalam bidang perubatan,” katanya yang kini memiliki ratusan batuan, fosil dan cincin sebagai koleksi peribadi.

KISAH PELIK
Bercerita tentang hobinya, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkata, ia bermula kira-kira 12 tahun lalu selepas sering mendengar kisah-kisah pelik dan mistik mengenai batu permata.

“Bagaimanapun, kebanyakannya hanya cerita lisan yang disampaikan dari mulut ke mulut tanpa bukti saintifik dan fakta yang kukuh. Saya mula 

melakukan kajian dan mendalami ilmu ini melalui pembacaan dalam buku dan Internet serta sanggup menjelajah ke seluruh negara bagi membongkar kisah-kisah di sebaliknya,” katanya yang mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengurus pemasaran untuk terlibat secara 
sepenuh masa dalam bidang berkenaan.

Melalui kajian dalam beberapa buku seperti The Crystal Bible, The Complete Guide to Fossils and Fossils Collecting dan Batu Permata : Antara Hikmah dan Hakikat dia dapat mengenal pasti keistimewaan dan sifat sesuatu batu permata dengan lebih mendalam.

“Misalnya, ramai yang percaya batu lek lai atau batu leleh mampu membuatkan seseorang menjadi kebal atau berkhasiat sebagai penawar bisa. 

Secara faktanya, ia merupakan batu biasa yang mengandungi kombinasi ferum dan silika.

“Dari sudut saintifik, kedua-dua kombinasi ini sebenarnya mampu bertindak balas dengan tubuh manusia bertujuan melancarkan pengaliran darah dan saraf,” terangnya.

Ujarnya, perkembangan teknologi moden pada hari ini menyaksikan batu-batu permata kini boleh dihasilkan di dalam makmal melalui beberapa proses utama iaitu melt growth (pertumbuhan cairan), solution growth (pertumbuhan sebatian) atau high-temperature, high-pressure growth  (pertumbuhan suhu tinggi, tekanan tinggi).

“Melalui kaedah itu, ia mempunyai ciri dan sifat seakan-akan batu permata asli tetapi mempunyai sedikit kelainan dari segi ciri optikal, fizikal, dan struktur kimia.

“Bagaimanapun, disebabkan ia sukar dibezakan dengan mata kasar, ada pembeli yang tertipu kerana menyangkakan ia adalah asli sedangkan harganya jauh lebih murah,” jelasnya.

KEASLIAN

Rahim berkata terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan untuk mengenal pasti keaslian batu permata.

Antara teknik yang lazim digunakan ialah dengan menitikkan air ke atas permukaan batu berkenaan.

“Ion-ion kimia di dalam air lazimnya akan bertindak balas dengan ion-ion kimia pada batu permata dan membentuk satu gelembung air.

“Jika gelembung itu pecah, maka ia bukan asli sebaliknya sintetik,” katanya yang telah menghasilkan dua buah buku berkenaan fosil dan batu-batu permata iaitu Mistik Teras dan Kayu dan Mistikal Mistik: Menyingkap Rahsia Mistik.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan tradisional dan juga pengumpul cincin batu permata, Saiful Ibidullah Al Qudsi, 34, berkata, keistimewaan aksesori itu terletak kepada keunikan jenis dan bentuk, warna serta sesetengahnya dipercayai mempunyai khasiat tertentu.

RATUSAN RIBU RINGGIT

Ciri-ciri yang ada menyebabkan batu-batu permata mampu dijual pada harga yang mencecah ratusan ribu ringgit dan menjadi buruan peminat fanatik.

“Semakin sukar sesuatu batu permata itu ditemui, sekali gus menjadikan cincin itu semakin mahal di pasaran.

“Harganya kadangkala boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit, apatah lagi kalau disertai ukiran batu seperti nilam, zamrud dan delima yang menarik,” ujarnya yang berasal dari Kudus, Jawa Tengah, Indonesia.
Tambah Saiful, kebanyakan batu permata mudah ditemui di negara ini termasuk yang diimport dari luar negara seperti Brazil, China, Sri Lanka an India.

Namun, katanya, ada juga batu permata yang menjadi buruan kerana dipercayai berasal dari alam ghaib.

“Antara yang paling popular ialah geliga ular dan geliga lipan. Diceritakan pemiliknya bukan sahaja mampu menahan sengatan haiwan-haiwan berbisa, malah mampu memiliki ilmu kebal dan halimunan.

“Bagaimanapun, batu-batu permata itu hanya diberikan kepada orang-orang tertentu melalui mimpi. Malah, ia juga dikatakan mempunyai khadam atau penjaganya,” ujarnya.

Jelas Saiful, biar apapun tujuannya, pemiliknya digalakkan bersederhana dan tidak terlalu taksub bagi mengelakkan jatuhnya hukum syirik.






VIDEO PANDUAN MEMBELI BATU CINCIN :

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam Tuan Admin..
Ada tak kaedah tertentu seperti mengiraan untuk menentukan batu apa yang sesuai untuk dipakai oleh saya..

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: