Jawapannya 'Ya'. Kedua-duanya daripada umat manusia. Iaitu dua kabilah. Dikatakan daripada Yaputh bin Nuh. Ini dikuatkan lagi daripada hadis Bukhari.
2 - Apakah sifat Yakjuj dan Makjuj?
Antara sifat mereka ialah
- Kekuatannya yang amat luar biasa.
- Mata mereka sepit.
- Banyak bulu pada badan mereka.
- Jumlah mereka tersangat ramai.
Manakala Ibnu Hajar menyebut tiga sifat iaitu:
- Jasad mereka seperti pohon yang besar.
- Jasad mereka empat hasta lebar x empat hasta tinggi.
- Sebahagian mereka boleh duduk di atas telinga-telinga mereka seleret ke tanah.
Pun begitu, sifat ini tidak disandarkan pada riwayat yang sahih, tetapi didhaifkan sifat tersebut oleh sebahagian ulama.
3- Bilangan Yakjuj dan Makjuj?
Bilangan mereka teramat ramai. Ini berdasarkan hadis di mana bilangan mereka tanpa diketahui jumlahnya. Dalam hadis al-Hakim melalui kitabnya al-Istadrakh menyebut: Manusia dibahagikan kepada 10 juzuk dan 9/10 daripadanya Yakjuj dan Makjuj sedangkan sejuzuk yang lain adalah semua makhluk atau manusia.
4- Apakah agama Yakjuj dan Makjuj?
Mereka adalah yang kufur dengan Allah. Kalaulah tidak, nescaya tidak dihukum ke atas mereka serentak. Ini berdasarkan mafhum hadis.
5- Tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj?
Berdasarkan riwayat hadis, mereka dikurung dan disekat antara dua gunung yang besar di Turki. Apabila mereka keluar, mereka terus menuju ke Laut Mati dan meminum semua air tersebut. Kemudian mereka menuju ke Baitul Maqdis, Palestin.
6- Bilakah mereka keluar?
Mengikut riwayat yang sahih mereka keluar pada zaman Nabi Allah Isa bin Maryam selepas turunnya Nabi Isa dan dia membunuh Dajjal dan ketika itulah keluarnya Yakjuj dan Makjuj menyebabkan Nabi Isa telah membawa bersamanya orang yang beriman ke gunung yang berhampiran iaitu gunung Thur.
Ini bertujuan untuk berlindung kerana ramainya jumlah Yakjuj dan Makjuj seperti ombak laut yang tidak diketahui hujung dan pangkalnya.
7- Tempat tinggalnya sekarang?
Sekarang ini dengan kemudahan teknologi bahkan melalui udara dan satelit yang mungkin dapat mengesan tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj. Dalam hal ini, kudrat Allah SWT yang boleh melakukan apa saja. Berdasarkan nas hadis menunjukkan mereka berada di dalam tanah dan percubaan untuk keluar berlaku dari semasa ke semasa. Samalah seperti kita beriman adanya jin dan di manakah mereka.
8- Bagaimana cara Yakjuj dan Makjuj dibinasakan?
Mengikut riwayat Nawwas bin Sam'an bahawa Yakjuj dan Makjuj telah dibala dengan leher mereka dimakan ulat dan mereka mati serentak, selepas itu Nabi Isa dan pengikutnya turun ke bumi.
Mereka tiada tempat kerana dipenuhi jasad Yakjuj dan Makjuj dan bau jasad mereka yang tidak baik. Kemudian Allah SWT utuskan burung seperti leher-leher unta memakan dan membawa mereka mengikut kehendak Allah SWT. Selepas itu Allah SWT menurunkan hujan membasuh bumi hingga menjadi suci.
PENGETAHUAN TENTANG YAKJUJ DAN MAKJUJ TERBATAS
PADA ayat ke-98, Ibnu Kathir berkata: "Iaitu untuk umat manusia. Allah telah menjadikan antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj dinding pemisah yang menghalangi berlakunya kerosakan di muka bumi."
Al-Maraghi berkata: "Sehubungan itu, Zulkarnain berkata kepada penduduk negeri itu: Tembok ini suatu nikmat dan rahmat daripada Allah kepada para hamba-Nya kerana dia menjadi benteng di antara kamu dengan Yakjuj dan Makjuj serta menghalang berlaku kerosakan di muka bumi."
Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka hampir keluar dari balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah akan menjadikan tanah yang datar, lalu Allah menghapuskan mereka dengan memusnah dan meratakan sama dengan bumi.
Hari berganti hari, lubang itu semakin melebar sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya terbuka pada abad ke-7 Hijrah, Yakjuj dan Makjuj keluar dan melakukan kerosakan seperti yang telah diceritakan.
Sayid Qutub berkata: "Siapakah kaum Yakjuj dan Makjuj? Di manakah mereka sekarang? Apakah tindak-tanduk mereka di masa lampau dan apakah yang akan berlaku kepada mereka?
Semua pertanyaan ini sukar dijawab secara pasti, kerana kita tidak mengetahui keadaan mereka melainkan apa yang diterangkan dalam al-Quran dan beberapa hadis sahih.
Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang tertentu dan yang dimaksudkan dengan janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu yang mungkin telah berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.
Pada ayat ke-99, Ibnu Kathir berkata: "Sebahagian manusia pada hari itu atau hari hancurnya dinding tersebut. Kemudian mereka itu keluar dan bergabung bersama umat manusia serta melakukan kerosakan harta kekayaan manusia dan segala sesuatu yang mereka miliki."
Ayat ini ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Yang demikian itu adalah pada saat mereka keluar ke tengah-tengah umat manusia. Semuanya itu terjadi sebelum hari kiamat tiba dan sesudah munculnya Dajjal. Itu adalah permulaan hari kiamat. Inilah pendapat al-Suddi.
Al-Maraghi berkata: "Pada waktu tembok itu ditembusi, Yakjuj dan Makjuj telah keluar dari balik tembok itu. Mereka telah (bertebaran) bercampur gaul di tengah-tengah manusia dengan merosakkan tanaman serta harta mereka."
Iaitu mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Gengis Khan (sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis bahawa peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah).
Apabila kiamat hampir tiba, Sangkakala akan ditiup, (Allah SWT) akan mengumpulkan seluruh manusia untuk dihisab.
Sebenarnya, tanda-tanda kiamat amat banyak. Terutamanya tanda-tanda besar disebut seperti keluarnya Dajjal, turunnya Nabi Isa dan juga keluarnya Yakjuj dan Makjuj.
Ini menambahkan yakin dan keimanan kita bahawa wajib beriman dengan hari kiamat. Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang bala dan bencana yang boleh merosakkan akidah kita. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan