NUFFNANG

Sabtu, November 01, 2014

GEMPAR! KEDAH DILANDA PUTING BELIUNG KALI KEDUA DALAM MASA SEBULAN

ALOR SETAR 31 Okt. – Sebanyak 71 rumah di tiga kampung dan dua taman perumahan sekitar Kubang Rotan serta Mergong di sini mengalami kerosakan dengan sebahagian daripadanya musnah akibat dilanda pusaran angin seolah-olah puting beliung.


Terdahulu, kira-kira pukul 4.15 petang, pusaran angin tersebut merosakkan 22 rumah di Kampung Sungai Baru dan lapan rumah serta sebuah surau di Taman Inang, Kubang Rotan sebelum berpusar menuju ke arah Mergong.

Di Mergong, pusaran angin itu merosakkan kira-kira 25 rumah di Taman Mergong Jaya 1 dan 10 rumah di Kampung Batin sebelum menuju ke Kampung Mergong Hilir dan merosakkan enam lagi rumah. Seorang remaja, Mohd. Alif Fakih Ramli, 14, yang sedang memukat ikan di sawah, menerima jahitan di kepala akibat terkena kayu.

Salah seorang mangsa di Kampung Sungai Baru, Mohd. Syafik Abdul Kadir, 15, memberitahu, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi kuat seolah-olah pesawat terbang rendah.

“Ketika itu saya berseorangan di rumah sementara ibu dan ayah keluar bekerja manakala dua adik keluar bermain. Selepas terdengar bunyi kuat, rumah tiba-tiba bergoncang dan kayu di tingkat atas mula jatuh menyebabkan saya luka di tangan dan bahagian belakang badan.

“Saya lalu keluar dari rumah dan berlindung di tempat letak kereta di rumah jiran. Tidak lama selepas itu, pokok mangga di tepi rumah tumbang sekali gus meranapkan rumah pusaka yang didiami keluarga sejak 25 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ini merupakan kejadian kali kedua dalam tempoh sebulan di negeri ini setelah pusaran angin hampir serupa melanda Kampung Alor Besar, Kobah, Pendang pada 14 Oktober lalu yang merosakkan 10 buah rumah dan sebuah sekolah kebangsaan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penduduk di situ, Mohd. Nizam Hamzah, 46, berkata, dia sedang berehat di rumah bersama isterinya, Siti Rozah Omar, 43, apabila tiba-tiba terlihat penyidai di hadapan rumah bergerak.

“Cuaca ketika itu tidak hujan. Sebaik sahaja membuka cermin tingkap, saya lihat angin terlalu kuat sehingga pokok janggus yang terletak di tepi rumah tiba-tiba ‘terbang’ ke bahagian hadapan.

“Saya dan isteri lalu keluar daripada rumah dan merakam pusaran angin itu yang melalui kawasan sawah berhampiran rumah menggunakan telefon bimbit. Apabila menoleh, baru saya sedar sebahagian besar bumbung rumah saya rupanya diterbangkan angin," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Negeri, Penguasa Bomba Rahimi Ali ketika ditemui memberitahu, pihaknya menerima panggilan sekitar 5.22 petang sebelum tiba di Taman Mergong Jaya 1 kira-kira lima minit kemudian.

“Di situ, kami melakukan kerja-kerja mengalihkan pokok yang tumbang sebelum bergerak ke Taman Inang bagi membuat pemantauan,” katanya.

LIHAT VIDEO

Tiada ulasan:

NUFFNANG

X-C/P



Configuration After installing, you might want to change these default settings: