BMW i8 Jentera masa depan |
BMW i8 dalam kategori kenderaan Plug-in Hybrid itu direka oleh Benoit Jacob, mula menembusi pasaran tempatan sempena program BMW World Malaysia baru-baru ini selepas pelancaran globalnya pada April tahun lalu.
Jentera masa depan untuk pemanduan hari ini, itulah yang boleh diungkapkan bagi reka bentuknya, malah penampilannya tidak banyak berbeza berbanding model konsep diperkenalkan sebelum ini.
Reka bentuk yang futuristik itu memain peranan penting dalam mengurangkan rintangan angin dengan mencatatkan 0.26 pekali seretan (Cd).
Ruang dalamannya pula menyalurkan suasana kereta sporty dengan warna hitam serta padanan kerusi bucket yang perlu dibuka menggunakan pintu gunting.
Jika dihitung rangkaian kuasanya, ia tidaklah menggunakan enjin besar berbanding model BMW lain. Ini kerana ia menggunakan enjin BMW TwinPower Turbo tiga silinder sebaris bersesaran 1,499 cc dengan padanan transmisi automatik Steptronic Sport enam kelajuan.
Video 2015 BMW i8 Start Up, Test Drive, and In Depth Review
Malah, rangkaian enjin itu dibantu teknologi eDrive yang membabitkan bateri Voltan Tinggi dan motor elektrik. Boleh dikatakan, enjin kecil itu tidak langsung ‘kedekut’ menawarkan prestasi yang terbaik selepas mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 362 hp dengan tork setinggi 570 Nm.
Biarpun ia sebuah kereta jimat minyak, ia boleh dipandu dengan kelajuan 250 kilometer sejam (km/j) dan mampu memecut hanya 4.4 saat antara 0-100 km/j.
Harganya boleh dikatakan agak mahal, tetapi padanan teknologi serta rekaan futuristiknya ia dianggap munasabah. Ia dijual pada harga RM1.188 juta yang turut ditawarkan pakej eksklusif membabitkan kos penyelenggaran dan servis dalam tempoh tiga tahun atau 60,000 kilometer.
Pada masa sama, program yang dianjurkan BMW Group Malaysia turut memperkenalkan beberapa model terbaru membabitkan BMW 2 Series Active Tourer dan BMW X6.
Bagi MINI pula, jenama itu memperkenalkan MINI John Cooper Works baru, MINI Cooper 5 pintu dan MINI Cooper Countryman baru yang dipasang di negara ini. Segmen motosikal BMW Motorrad pula melancarkan model BMW S 1000 RR serta BMW R 1200 R baru.
INFO
- Harga di Malaysia : RM1,188,800
- Enjin: BMW TwinPower Turbo tiga silinder enjin petrol bersesaran 1,499 cc
- Kuasa maksimum: 362 hp pada 5,800 rpm
- Tork maksimum: 570 Nm antara 1,200 sehingga 5,000 rpm
- Transmisi: Automatik enam kelajuan Steptronic Sport
- Kelajuan maksimum: 250 km/j
- Tahap penggunaan bahan api: 2.1 liter/100 km
Tiada ulasan:
Catat Ulasan