Saya tidak pernah dengar yang hospital tempat saya ditahan itu berhantu. Yang saya tahu, hospital itu memang telah lama wujud. Ia dibina beberapa tahun selepas Perang Dunia Kedua lagi, tapi tidak pula saya dengar kisah-kisah pelik tentangnya.
Inilah kali pertama saya ditahan di wad, hari-hari berlalu sungguh membosankan... |
Kebanyakan masa siang saya habiskan dengan tidur. Bila siang dipenuhi dengan aktiviti tidur, malamnya saya sukar untuk melelapkan mata. Ketika inilah saya akan merayau di sepanjang wad.
Ada kalanya saya berborak dengan dua tiga orang jururawat yang bertugas. Ada masanya saya minta izin untuk menghirup udara di luar. Asyik terperuk di wad di tingkat tiga sahaja, sesekali hendak juga saya turun, hilangkan bosan.
Pada hari ketiga di wad, ketika jam di dinding menunjukkan pukul 3.00 pagi, saya minta izin kepada jururawat untuk turun sebentar bagi membeli air minuman di vending machine.
Itu sebenarnya adalah alasan untuk saya keluar sekejap. Agaknya kerana kesian, mereka berikan kebenaran. Tapi sekejap saja, kata mereka.
Siapakah perempuan yang mencangkung pukul 3 pagi ini? |
Terkejut juga saya. Pukul 3.00 pagi, ada juga orang yang duduk mencangkung di tepi longkang. Mungkin dia juga bosan macam saya agaknya!
Saya turun ke bawah tidak menggunakan lif, hanya menuruni anak tangga satu persatu. Sepanjang menuruni anak-anak tangga itu, mata saya tidak lepas daripada memerhatikan perempuan tadi.
Melalui celah-celah ‘kipas-kipas’ pada batu-batu blok di dinding tangga, sepatutnya saya mampu melihat perempuan tersebut dengan jelas. Apa yang memusykilkan saya adalah, sepanjang saya menuruni anak-anak tangga itu, perempuan tadi tiada di tepi longkang.
Tapi apabila tiba di bawah, dia ada di situ. Dia tetap juga mencangkung. Perempuan itu tidak memakai pakaian hospital seperti saya, tetapi serba putih. Mungkin dia seorang doktor, saya fikir begitu.
Lama juga saya berdiri di pintu tingkat bawah berdekatan dengan seorang pengawal keselamatan berketurunan India, dan memerhatikan perempuan itu. Sepanjang berjalan menuju ke vending machine itu, saya terus memerhatikannya.
Berdasarkan posisi badan dan kepalanya, dia juga memerhatikan saya. Wajahnya tidak jelas kelihatan, terlindung oleh rambutnya yang lebat dan panjang.
Selubung
Tiba-tiba perempuan itu tubuhnya begitu tinggi... |
Tangan saya menggeletar, hinggakan tanpa sedar beberapa keping duit syiling saya jatuh bertaburan di lantai. Saya terus berlari naik ke wad dan terus menuju ke katil. Sampai di katil saya terus baring dan tarik selimut.
Seorang jururawat datang dan bertanyakan saya, kenapa? Sejuk, jawab saya ringkas. Habis bertanya, jururawat itu pun berlalu.
Saya terus selubung muka sambil mengingat kembali apa yang saya nampak dan alami tadi. Kalau tingginya sama seperti pokok yang juga sama tinggi dengan bumbung bangunan setingkat di sebelahnya, memang sah perempuan itu bukan manusia.
Saya menarik ke bawah sedikit selimut yang menyelubungi muka bila terasa agak panas. Pesakit di katil sebelah-menyebelah sudah lama nyenyak tidur.
Dalam memerhatikan sekeliling, tiba-tiba mata saya tertumpu ke bahagian atas tingkap yang bertentangan dengan katil saya. Perempuan yang saya lihat tadi sedang memerhatikan saya!
Luluh lemah terasa segala sendi-sendi. Nasib baik ketika itu saya baring di katil, kalau sedang berdiri, tak mustahil saya jatuh terjelepok.
Apa lagi, saya menjerit sekuat hati sambil menyelubung kepala dengan selimut semula. Jeritan saya membuatkan sebahagian pesakit yang tidur nyenyak di wad itu terjaga.
Tiga orang jururawat yang bertugas bergegas lari mendapatkan saya. Pesakit yang tersedar hanya memerhatikan dari katil masing-masing dengan rasa hairan.
Apa yang saya nampak, saya beritahu kepada jururawat tersebut. Tapi mereka semacam tidak hairan langsung dengan cerita saya. Saya tidak bohong. Mungkin saya dalam keadaan masih demam ketika itu, tapi saya tidak mereka-reka cerita yang bukan-bukan.
Percaya atau tidak terpulanglah kepada mereka. Bagi yang mengalaminya sendiri, saya seratus peratus percaya apa yang saya lihat adalah benar.
Ramai orang kata itulah Hantu Galah... |
Saya yang masih trauma dengan kejadian itu, bertambah terperanjat apabila beberapa hari kemudian seorang kakak sepupu bercerita bahawa kejadian yang saya alami ini bukanlah kali pertama. Cerita yang sama – ternampak perempuan tinggi di sebelah bangunan setingkat di hospital itu.
Kakak sepupu saya yang bekerja tidak jauh dari hospital itu, juga bercerita bahawa bangunan tempat perempuan itu berdiri sebenarnya adalah bilik mayat! Ya-Allah... padanlah ada sesuatu di situ. Patutlah reaksi para jururawat seakan tidak hairan. Agaknya sudah ramai pesakit yang mengalaminya.
Mungkin ramai pesakit di hospital itu tidak tahu blok G yang terpisah daripada blok lain merupakan bilik mayat. Tapi mengapa tiada signboard mengatakan yang itu adalah blok yang menempatkan bilik mayat?
Banyak kisah-kisah seram dikatakan berlaku di hospital ini... |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan